top of page

Ketidakpedulian Politik

  • Wan Khuzairey
  • Mar 20, 2017
  • 3 min read

Sumber: thecompanion.in

Berdasarkan buku catatan seorang demonstran, Soe Hik Gie mengatakan “Hidup adalah keberanian menghadapi tanda tanya”. Kita sedar bahawa bertanya dan mewujudkan persoalan adalah perkara yang paling penting dalam hidup. Hal ini ini juga terkaitkan dengan bidang politik. Namun begitu, menjelang pilihanraya yang hampir tiba, masyarakat hari ini dilihat seperti tidak memperdulikan hal politik. lebih membimbangkan lagi masalah ini diterajui oleh anak muda yang akan menyambung generasi pemerintahan akan datang. Ramai yang mentafsirkan bahawa politik sebagai salah satu perkara yang tidak boleh disentuh kerana politik hanya hak milik pemerintah. Diburukkan lagi dengan kenyataan paradoks oleh ahli-ahli politik mengakibatkan masyarakat sukar untuk membuktikan siapa yang benar dan salah. Secara tidak langsung hal ini akan mewujudkan ketidakpedulian masyarakat terhadap politik kerana mereka tidak mahu berfikir dan mereka tidak tahu bagaimana cara untuk berfikir dengan betul.

Sebab berlakunya perkara seperti ini adalah kerana mahasiswa di negara ini tidak mengambil tahu atau melakukan perkara yang sepatutnya. Mahasiswa berperanan sebagai katalis gerakan masyarakat dan yang paling dekat dengan masyarakat. Tetapi sejauh manakah mahasiswa ini memenuhi tugasnya? Bila bercakap soal Universiti atau soal pengajian tinggi, adakah ia hanya melibatkan publisiti dalam meningkatkan nama universiti dengan memperoleh gelaran Malaysia Book of Records semata-mata? Jika benar Malaysia Book of Records ini penting mengapa tiada gerakkan besar-besaran dari pihak mahasiswa untuk memberi penerangan kepada masyarakat luar bandar dan kawasan terpencil tentang bagaimana memilih pemimpin?atau bagaimana menilai manifesto? Bukankah perkara ini mampu membantu lebih lagi dari menyusun donut sebesar bangunan untuk Malaysia Book of Records? Dengan ketandusan perkara seperti ini mengakibatkan masyarakat seperti ketandusan idea dan tiada bimbingan untuk mengundi. Tambahan lagi, seperti mencurah cuka pada luka, mahasiswa sendiri berada dalam keadaan yang terpinga-pinga untuk mereka memilih siapa yang sepatutnya menerajui negara. Hal ini akan mengakibatkan jurang ketidakpedulian pada politik semakin melebar.

Seterusnya, adalah sikap masyarakat ‘middle class’ dan ‘upper class’ yang tidak memperdulikan hal ini. Kedua-dua golongan yang disebutkan tadi adalah golongan yang memperoleh pendapatan tinggi serta mempunyai akses kepada kemudahan hidup yang mudah. Berbanding dengan kaum miskin, mereka terpaksa bergelut, membanting tulang empat kerat bagi memastikan kelangsungan hidup mereka. Mereka tiada masa untuk memikirkan hal politik, malahan mereka tiada masa untuk mengambil tahu tentang politik kerana mereka hidup dalam tekanan. Oleh itu, golongan kelas pertengahan dan atasan ini harus mempunyai tanggungjawab untuk menyedarkan dan menuntut hak bagi golongan miskin ini. Tetapi apa yang dilihat, golongan-golongan ini hanya mendiamkan diri dan tenggelam dalam arus kemewahan yang mereka kecapi. Mereka tidak memikirkan tentang hal golongan bawahan. Berikutan dengan itu, politik di negara ini seperti tidak diperdulikkan. Banyak pihak tertindas, malangnya lagi mereka tidak tahu bahawa mereka ditindas. Memetik kata Edmund Burke “No body makes a greater mistake, then he who does nothing only because he could only do a little.”

Perkara paling utama yang seharusnya memberi kesedaran adalah sikap diri sendiri yang tidak mementingkan pemikiran kritis terhadap politik. Manusia atau individu lebih suka bergantung kepada orang lain. Jean Jacque Rosseu ada menulis dalam bukunya iaitu Social Contract “manusia adalah dilahirkan bebas tetapi, dimana-mana dia terpenjara”. Stigma ini telah mengakibatkan manusia itu sendiri rasa yang mereka tidak patut mengambil tahu, mereka tidak perlu belajar dan mereka tidak perlu melihat apa yang sedang berlaku dalam persekitaran mereka. Hal ini semua berlaku kerana mereka takut akan kebebasan, jika mereka mengambil tahu, jika mereka mengundi parti yang tidak menang, apakah yang akan berlaku pada mereka? Adakah nasib mereka akan terjamin? Atau mereka disisihkan dari pekerjaan yang mereka alami sekarang? Adakah mereka ini bebas daripada kritikan masyarakat? Berbicara soal politik di negara ini terutama di bangku sekolah dilihatkan seperti perkara yang terlarang. Pelajar tidak boleh menyentuh perkara ini semasa mereka kecil. Tetapi apabila mereka meningkat dewasa, mereka tidak akan memperolehi pengetahuan apa yang sepatutnya mereka tahu sejak kecil, disebabkan hal ini ramai individu memilih untuk menghiraukan kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan lalu mereka tidak ada jalan penyelesaian yang sepatutnya.

Perkara yang berlaku ini perlu diselesaikan bagi memastikan keharmonian politik di negara ini terjamin. Perkara utama yang perlu disentuh dan dibaiki adalah berkenaan dengan pendidikan. Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya memasukkan silibus berkenaan politik di peringkat sekolah menengah. Secara tidak langsung hal ini akan memupuk semangat pemimpin dalam kalangan generasi muda. Seperti yang ditekankan oleh Plato, seseorang itu boleh mengundi setelah mereka menjadi bijak dan rasional, maka pendidikanlah platformnya. Selain itu, mahasiswa haruslah selalu bergiat aktif dalam memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat. Mahu atau tidak mahasiswa seharusnya menjadikan buku sebagai pasangan berasmara dan hasil bacaan, kefahaman serta pendidikan seharusnya dicurahkan kembali kepada masyarakat. Perkara ini akan jelas memperlihatkan betapa petingnya mahasiswa dalam kalangan masyarakat. Memupuk kesedaran politik ini bukan mudah, oleh itu individu seharusnya mempunyai kesedaran yang jitu, mula mencari mula mempersoalkan dan mula menceburi seperti kata Soe Hok Gie “Bagiku sendiri politik adalah barang yang paling kotor. Lumpur-lumpur yang kotor. Tapi suatu saat di mana kita tidak dapat menghindari diri lagi, maka terjunlah.”


 
 
 

Kommentare


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page