Luahan Hati Untuk Ahli Parlimen
- Siti Nurizzah
- Mar 16, 2017
- 3 min read

AKU tertonton video tentang pendidikan seks di sekolah tidak jamin boleh cegah zina. Tak payahlah aku bagitahu Ahli Parlimen mana. Semua orang boleh cari di dunia hujung jari ini.
Malam minggu lepas, balik dari satu pulau kecil, aku pulang bukan dengan rasa penat. Tapi dengan beban yang dipikul di bahu.Mereka kata, berat mata memandang,berat lagi bahu memikul.Tapi adakah mereka tahu, betapa berat hati yang merasa? Dan jiwa yang menanggung.
Melihat Ahli Parlimen yang tidak setuju dengan pendidikan seks, kerana tidak boleh mencegah zina buat aku sakit hati. Marah. Geram. Sial. Tahukah Ahli Parlimen yang pendidikan seks, bukan sekadar sembang macam mana nak buat seks selamat, cara pakai kondom dan buat aksi lucah. Memandangkan semua orang nak jadi bodoh, terpaksa aku tulis hal-hal macam ni. Dan ini realiti. Aku tak tulis benda tipu, dalam hal-hal serius.
Di usia 7 tahun, ada seorang anak kecil yang disentuh kemaluan. Di usia 12 tahun, anak kecil yang sama, hampir-hampir disentuh tubuhnya oleh ahli keluarga. Tapi anak kecil ini cuma sedar, perbuatan yang orang lain mahu lakukan ke atas dia ini salah, hanya setelah dia dewasa. Dan di usia 20-an, dia masih tak pernah lupa sedikit pun peristiwa kecil-latar tempat-siapa-apa-yang berlaku.
Ahli Parlimen dan sekutunya yang bangang, anak kecil ini ada kawan-kawan rapat. Setelah dua-tiga tahun berlalu, tidak seorang pun pernah menceritakan hal-pengalaman-pahit-gelap; masing-masing. Sampai semalam, langit seperti jatuh ke atas bahu mereka. Bukan sebab mereka memikirkan diri sendiri, tapi nasib anak-anak yang seperti mereka.
Tahukah Ahli Parlimen, setiap dari mereka ini ada pengalaman pahit. Terjebak dengan hal-hal porno, onani, seks ringan; bukan sebab diri mereka nak. Sebab yang mengajar mereka adalah dari rumah. Dari seusia darjah satu, tingkatan satu. Tak pernah seorang katakan pada mereka, bahawa bila orang sentuh bahagian ini salah. Orang cium sana salah. Dan mereka membesar dengan tak tahu pun, apa yang mereka buat ini salah. Yang mereka tahu, tiada orang halang. Jadi benda ini betul.
Ahli Parlimen, kamu mungkin dibesarkan dalam keadaan yang cukup sifat keluarga, biah solehah, dan menghafal Al-Quran setiap hari. Tapi segelintir anak kecil macam kami, cuma hidup dalam keluarga sederhana. Makan-pakai-sekolah- cukup-cukup untuk diri kami seorang. Tenaga mak ayah kami diperah dengan sibuk bekerja. Kami mungkin tak dapat perhatian sepenuhnya, tapi begitulah kami hidup sehari-hari.
Ahli Parlimen mungkin tertanya-tanya, di mana kami? Kalau kami ada, munculkanlah diri. Ahli Parlimen mungkin fikir kami dah masuk ke dalam masyarakat yang rosak. Tapi Ahli Parlimen salah. Kami sudah tumbuh jadi gadis dewasa yang cerdik. Bahkan kami mungkin sebahagian, yang akan mendidik pula anak-anak Ahli Parlimen. Usahlah ahli parlimen khuatir. Kami tak rosak. Kami sedang menjadi manusia.
Kami mungkin antara yang terselamat beberapa tahun yang lalu. Tapi hari ini, dalam kepincangan masyarakat, ibu ayah yang lagilah entah ke mana mencari wang, anak-anak terbiar-kami menyokong pendidikan seks-sebab masa lalu mengajar kami- yang kami tak bersalah-tapi orang yang melakukan perilaku binatang ke atas kamilah yang salah.
Waktu itu, kami kecil. Kami naif. Kami tak tahu. Keluarga kami tidak bercakap soal ini dengan kami. Sebab itu, hari ini kami bangkit, sebab kalau kami mendapat pendidikan seks dari awal, kami mungkin bukan mangsa. Kami akan lari. Kami tak terjebak. Bahkan kami boleh sependapat dengan ahli parlimen. Tapi Ahli Parlimen tak lahir dalam jantung keluarga kami. Ahli Parlimen cuma tahu hal-hal yang berkait dengan Ahli Parlimen. Periuk nasi Ahli Parlimen berisi setiap hari, bukan kami. Mana mungkin Ahli Parlimen faham situasi kami?
Ahli Parlimen, luahan ini ikhlas dari sudut hati paling dalam kami, jika Ahli Parlimen terlupa, biar kami yang ingatkan, pendidikan seks, bukan hal sedap-sedap yang lahir dari syurga.
Yang benar,
SITI NURIZZAH
Komentáře