Kaji Semula Peranan Gender : Pengurusan Domestik Dan Penglibatan Wanita Dalam Industri Pekerjaan (Ba
- Aqilah Abd Samad
- Mar 16, 2017
- 3 min read
Aku ingin membawa kembali hujah ‘wanita di bawah spotlight' daripada artikel pertama yang aku mula-mula hantar ke makalah ini : Kenapa Macam Gila Sangat Feminis di Malaysia?
Hujah yang aku sampaikan pada artikel pertama iaitu apabila segelintir feminis atau yang lebih gemar mengidentifikasikan mereka sebagai penyokong matriarki menggunakan hujah wanita bawah spotlight ini bagi mewujudkan rasa superiority dalam kalangan kaum wanita terhadap kaum lelaki.
Ada beberapa tuduhan yang aku terima selepas artikel pertama termasuklah tuduhan bahawa aku tidak menyokong kejayaan-kejayaan rakan-rakan wanita aku sendiri. Jadi eloklah sekiranya aku menjawab tuduhan tersebut dalam artikel ini.
Kita tidak dapat nafikan bahawa terdapat wanita-wanita Malaysia di bawah spotlight ini tidak kira lah daripada bidang sains, seni, sastera, ekonomi, perniagaan, sukan, perubatan dan lain-lain bidang lagi. Jadi sudah terang lagi bersuluh bahawa kemampuan intelektual wanita juga sama sahaja dengan lelaki. Senang kata, wanita dan lelaki ini sama-sama power lah. Tetapi adakah bilangan wanita-wanita yang berjaya dalam pelbagai bidang ini mempunyai bilangan yang sama dengan bilangan lelaki? Adakah beberapa wanita yang diangkat ini mengaburi pandangan masyarakat bahawa sebenarnya bilangan wanita yang terlibat dalam bidang-bidang yang memajukan negara masih sikit bilangannya? Statistik menunjukkan masih lagi terdapat ketidakkeseimbangan bilangan wanita yang terlibat di dalam industri pekerjaan di Malaysia.
Hal ini lah yang dinamakan bias persauhan atau anchoring bias ya teman-teman. Satu ilusi kognitif berkaitan dengan titik pertimbangan yang mempunyai pengaruh besar terhadap pertimbangan akhir. Aduh tergeliat otak nak faham. Aku lampirkan analogi di sini. Kenapa apabila berlaku kemalangan kapal terbang, kesan trauma kepada masyarakat lagi besar berbanding kemalangan jalan raya? Sampai ada yang tidak mahu naik kapal terbang kerana takut terhempas walhal secara statistik kemalangan jalan raya mempunyai kadar kemalangan nyawa yang lebih tinggi berbanding nahas kapal terbang. Senang kata, kalau ikut statistik, hang naik moto pi kedai depan rumah lagi tinggi kebarangkalian nak mati berbanding hang naik kapal terbang sekali sekala tu.
Berbalik kepada isu wanita di bawah spotlight. Wanita-wanita di bawah spotlight ini seharusnya mengkaji kembali peranan mereka. Wanita-wanita di bawah spotlight seharusnya menggalakkan dan memperkasakan wanita-wanita lain agar turut sama mengejar impian dan cita-cita. Perkara memperkasakan wanita-wanita lain seharusnya menjadi agenda utama selain daripada menempa kejayaan peribadi. Wanita-wanita di bawah spotlight ini seharusnya dijadikan role model kepada wanita-wanita Malaysia lain bahawa segalanya mungkin sekiranya kita mahu dan berusaha keras untuk mendapatkannya. Jangan meletakkan alasan jantina sebagai penghalang kita hendak mencapai impian dan cita-cita.
Apa kesan penglibatan wanita secara langsung dalam dunia pekerjaan?
Sewaktu aku berada pada tahun pertama pengajian, aku mengikuti satu perbincangan terbuka yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Politik dan Sejarah sempena kempen #HeForShe yang membincangkan gerakan feminisme dan peranan wanita dalam masyarakat Malaysia. Salah seorang panel yang membincangkan isu tersebut merupakan seorang pensyarah program Sains Politik tak silap aku dan beliau seorang lelaki. Tidak, aku bukan hendak berkata lelaki tidak boleh berbicara isu-isu wanita sebaliknya aku penyokong tegar penglibatan lelaki dalam perbincangan isu-isu ini. Namun salah satu hujah yang disampaikan oleh pensyarah ini ialah jangkaan beliau bahawa penglibatan wanita secara langsung dalam industri pekerjaan akan membawa kepada keruntuhan institusi kekeluargaan.
Hujah tersebut disampaikan dua tahun lalu semasa aku berada pada tahun pertama pengajian dan sekarang aku sedang menghabiskan semester terakhir di universiti. Aku merupakan pelajar program psikologi dan atas tuntutan beberapa subjek, kami sentiasa bergelumang dengan statistik dan kisah-kisah penceraiaan yang meningkat saban tahun.
Pada tahun 2015, penglibatan tenaga buruh wanita berada pada tahap 54.1% (daripada jumlah 9.9 juta tenaga buruh wanita yang ada), ketinggalan jauh di belakang penglibatan lelaki yang mencatat 80.6%. Jumlah ini hanya meningkat sedikit sahaja berbanding 47.2% pada tahun 2000.
Jadi secara kasarnya hujah pensyarah tersebut bahawa penglibatan wanita secara langsung dalam bidang pekerjaan akan meruntuhkan institusi kekeluargaan tidak mempunyai korelasi kerana wanita masih lagi tidak terlibat secara langsung dalam industri pekerjaan dan jumlah kes penceraian masih meningkat saban tahun. Tetapi ini hanyalah pandangan kasar, kajian-kajian lebih terperinci harus dijalankan bagi mengkaji kedua-dua permasalahan ini.
Selain itu, perkara lain yang boleh dikaji ialah kehilangan wanita dalam industri pekerjaan walaupun statistik menunjukkan tahun 2015, hampir 55% pengambilan pelajar ke pendidikan tinggi (universiti awam dan swasta, kolej komuniti, dan politeknik) didominasi oleh wanita. Wanita juga mendominasi pengambilan di universiti awam dengan sejumlah 106,277 diterima masuk; iaitu 63% daripada jumlah kemasukan berbanding pelajar lelaki. Maknanya lebih ramai wanita masuk universiti berbanding lelaki.
Secara peribadi perkara ini mengecewakan aku kerana kekurangan bilangan lelaki membawa maksud kurang lah pilihan. Dah lah kurang bilangan, yang membuat pilihan untuk bercinta sesama lelaki juga ramai. Sungguh keadaan ini mengecewakan aku. Hmmm.
Tetapi yang lebih penting untuk dibincangkan adalah kenapa statistik yang sama tidak diinterpretasi kepada industri pekerjaan? Adakah industri pekerjaan kita didominasi oleh lelaki-lelaki yang sebenarnya tidak mempunyai kompetensi dengan pekerjaan yang mereka lakukan sekarang kerana tidak mendapat latihan peringkat pengajian tertiari? Sekali lagi ini hanyalah pandangan kasar tetapi aku rasa eloklah kita sama-sama fikirkan.
(Artikel ini merupakan ulasan kepada artikel Wanita kunci kekuatan sosio-ekonomi Malaysia oleh Anas Alam Faizli di portal Astro Awani)
Comments