top of page

Gavroche, Lambang Anak-anak Kecil Yang Mengorbankan Dirinya

  • ZF Zamir
  • Mar 15, 2017
  • 5 min read

Petang itu, aku menaiki tren dari Bayswater. Di tengah stesen, aku meneliti ke papan peta Tube, sebelum turun melalui tangga ke laluan Circle untuk menaiki tren menuju ke Baker Street. Tidak ada apa yang menarik di dalam tren. Aku melihat sekeliling, seorang perempuan Asia kelihatan sedang duduk membaca buku di hadapanku. Tiga lelaki berbadan besar memakai sut dengan beg kulit di tangan sedang bergayut sambil berbual sesama mereka di pintu tren. Kemudian tren berhenti, stesen Paddington.

Malam ini, malam Jumaat. Cuaca masih sejuk di luar, sekitar 12 darjah walau kini sudah masuk pertengahan April. Jam di tangan menunjukkan 6.40 petang. Tren berhenti lagi, stesen Edgware Road. Aku perlu sampai ke Queens Theatre jam 7 petang untuk mengambil tiket. Tren sampai di stesen Baker Street beberapa minit kemudian. Bersama ratusan penumpang yang lain aku keluar dari perut tren dan bersesak-sesak menghala ke laluan Bakerloo untuk ke Piccadilly Circus.

Tren bergerak lagi dari Baker Street melangkau Regents Park dan Oxford Circus sebelum sampai ke Piccadilly Circus. Aku naik ke dataran di atas, dan terpempan sebentar melihat bangunan besar bercahaya dengan panel LED di depanku. Jam di tangan menunjukkan 7.10 malam. Disamping warga London yang sedang bergerak pulang dari kerja, atau sedang mencari ruang minum sempena malam minggu, juga di antara golongan yang sedang berpimpinan tangan mencari panggung-panggung yang menyediakan persembahan teater West End, aku melangkah pantas mencari Shaftesbury Avenue dalam kesejukan malam yang semakin memekat.

Setelah mengambil tiket, aku masuk ke dalam panggung dan mencari tempat duduk bernombor L1 dengan bantuan penjaga tiket. Kelihatan dari tempat dudukku, pentas sangat jauh ke bawah. Ya tiketku hanya berharga £26.25 GBP, tiket paling murah yang hanya aku beli pagi tadi ketika minum teh tarik di Malaysian Hall. Tidak ada perancangan untuk menonton teater pada awalnya, namun tiba-tiba tangan pagi tadi sibuk meng-Google. Hasilnya dengan bantuan seorang rakan yang juga penuntut di sini ketika sarapan, aku berjaya mendapatkan tiket secara online. Di sebelahku duduk pasangan dari Portugal, yang datang liburan ke kota London. Panggung kelihatan penuh tanpa ada satu pun kerusi kosong.

Persembahan bermula dengan lagu;

Look down, look down Don't look 'em in the eye Look down, look down, You're here until you die

Now prisoner 24601 Your time is up And your parole's begun You know what that means.

Dan aku tenggelam di dalam pementasan ini sehingga Gavroche keluar.

'Ow do you do? My name's Gavroche. These are my people. Here's my patch. Not much to look at, nothing posh Nothing that you'd call up to scratch. This is my school, my high society Here in the slums of Saint Michele We live on crumbs of humble piety Tough on the teeth, but what the hell! Think you're poor? Think you're free? Follow me! Follow me!

Gavroche ialah anak lelaki Monsieur dan Madame Thénardier yang lahir pada 1820. Dua orang kakaknya bernama Eponine dan Azelma. Gavroche diminta untuk hidup di jalanan oleh kedua ibu bapanya, orang yang sama menjual Cosette kepada Jean Valjean di awal kisah ini. Ketika menyanyikan lagu di atas, Gavroche, berusia 11 tahun berada di tengah kota Paris yang kotor dipenuhi gelandangan, peminta sedekah, pelacur dan pelajar.

Muzikal Les Miserables ini mengisahkan Jean Valjean, banduan bernombor 24601 yang mendapat parol setelah menjalani 19 tahun penjara kerana mencuri roti untuk keluarga adik perempuannya yang kelaparan. Valjean berubah menjadi seorang yang berjaya setelah mendapat inspirasi dari seorang paderi yang memberinya makan dan tempat tinggal setelah keluar dari penjara. Walaubagaimanapun, dia sentiasa diburu polis bernama Javert kerana lari dari parolnya.

Dipendekkan cerita, 8 tahun kemudian Valjean atau nama barunya iaitu Monsieur Madeleine mengambil Cosette, anak perempuan kepada seorang pekerja kilangnya, Fantine yang meninggal dunia sebagai anak angkat kerana telah berjanji untuk membantunya sebelum dia meninggal. Valjean membeli Cosette dari keluarga Thenardier yang menjualnya sehingga 1500 francs. Mereka hidup dalam pelarian sehinggalah bertembung dengan sebuah pemberontakan berikutan kematian Jeneral Lamarque oleh aktivis pelajar di tengah kota Paris pada 1832, 9 tahun kemudiannya.

Dalam pemberontakan yang bertarikh 5 Jun 1832 itu, Gavroche mengikuti aktivis pelajar di dalam benteng ketika melawan tentera. Dia dengan beraninya mendedahkan Javert yang menyamar masuk ke dalam benteng. Ketika tembak menembak di antara aktivis dan tentera berlaku, Gavroche mendengar Enjolras memberitahu bahawa mereka kini kehabisan peluru. Merasakan dirinya perlu membantu, Gavroche menyelinap keluar benteng untuk mengambil peluru dari tentera yang mati. Ketika sedang mengumpul peluru itulah dia - akhirnya mati ditembak.

Pengalaman menonton Les Miserables ialah sebuah pengalaman yang pelik. Les Misérables atau /leɪ ˌmɪzəˈrɑːb/ mula dipersembahkan pada 1980 di Palais des Sport, Paris dalam bahasa Perancis. Produksi di London di bawah Cameron Mackintosh pula mula mementaskan muzikal ini pada 8 Oktober 1985, tanpa henti sehingga sekarang - ‘the longest-running musical in the West End and the second longest-running musical in the world after The Fantasticks’. Ya, tayangan ini berlangsung setiap hari setiap malam tanpa henti sepanjang tahun.

Lebih-lebih lagi, menontonnya berseorangan di kota yang sejuk ini, menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai naskhah Hugo yang muziknya diangkat oleh Claude-Michel Schönberg serta lirik original di dalam bahasa Perancis oleh Alain Boublil & Jean-Marc Natel, serta lirik bahasa Inggeris oleh Herbert Kretzmer ini. Naskhah ini, yang diterbitkan pada 1862 ialah sebuah fenomena yang menyakitkan kerana, isinya seperti ketidakadilan sosial, sistem kelas yang menekan, serta revolusi yang sia-sia ialah realiti yang masih berlaku dan tidak pernah selesai. Lebih menakutkan, watak Gavroche, anak berusia 11 tahun yang hidup di jalanan serta berjuang untuk orang ramai mewakili masyarakat menentang kuasawan dan pemerintah ialah watak hidup yang menjadi simbol betapa dunia tidak langsung mengasihani anak-anak yang masih kecil.

Di luar, malam semakin sejuk. Aku memanaskan tangan dengan menekupnya dekat mulut dan memasukkannya segera ke dalam pokej jaket. Melintasi Gielgud Theatre dan kemudiannya Apollo Theatre dalam perjalanan pulang ke stesen Piccadilly Circus di celah keramaian yang baru usai menonton dan sibuk meraikan hujung minggu, aku berhenti seketika mengambil semula udara sejuk dan menikmati sebentar persoalan, pengalaman dan perasaan yang aku kecapi sebentar tadi setelah menonton teater ini selama 2 jam.

Di bibir bar dan kedai-kedai minum, kelihatan warga Londoners memegang gelas-gelas besar berisi wain dan beer yang berbuih hangat. Mungkin di West End ini, Gavroche ialah simbol kepada perjuangan tetapi di sudut dunia yang lain, Sabah misalnya, anak seusia Gavroche juga hidup tanpa kad pengenalan dan terpaksa bekerja untuk menyara hidup mereka di jalanan – setelah 155 tahun ianya ditulis oleh Victor Hugo!

Aku masih mengingat dengan jelas, pada malam itu – lebih kurang setahun yang lalu, aku pulang dengan hanya memori dan lagu yang diingati melalui rangkap-rangkapnya yang sebati, tanpa ada satu gambar dari telefonku pun – kerana – di dalam panggung, semua orang menikmati persembahan sehingga masing-masing terlupa untuk mengambil hatta satu gambar-pun. Dan aku pulang di malam yang sejuk itu mengenang Gavroche yang tewas di balik lagu;

Do you hear the people sing? Singing the songs of angry men? It is the music of the people Who will not be slaves again! When the beating of your heart Echoes the beating of the drums There is a life about to start When tomorrow comes!


 
 
 

Yorumlar


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page