top of page

Kesalahan Lelaki Dalam Memahami Wanita (Bahagian 2)

  • Aqilah Abd Samad
  • Mar 14, 2017
  • 3 min read

4. Dak Kami Bukan Damsel In Distress, Kami Tak Perlu Diselamatkan

Point ini aku tulis selepas aku melihat satu tweet daripada rakan kepada rakan aku yang berbunyi begini, “Takpa sebelum kahwin biarlah mereka nak buat apa pun, nanti selepas kahwin kita bentuklah depa.”

Allahuakbar. Mengucap panjang aku.

Rupanya masih ada lelaki yang memandang dirinya sebagai hero sehingga mempunyai cita-cita untuk mengubah seseorang wanita. Aku kira golongan ini memandang kaum wanita sebagai makhluk yang tidak mampu berfikir untuk kebaikan diri sendiri. Aku kira mereka berasa kemampuan intelektual wanita tidak sama taraf dengan mereka. Semasa belajar di dalam kelas Fisiologi Tingkah Laku, tidak ada pulak mana-mana fakta yang mengatakan bahawa terdapat perbezaan struktur otak lelaki dan perempuan. Struktur otak inilah yang membentuk proses mental yang seterusnya menghasilkan tingkah laku ya teman-teman.

Jika ingin berbicara perbezaan fisiologi tubuh badan lelaki dan perempuan, perbezaan ketara hanyalah kadar hormon-hormon tertentu dalam badan iaitu hormon seksual yang mencorak tingkah laku. Juga perbezaan ketara ialah kandungan lemak dan otot dalam tubuh badan lelaki dan perempuan. Wanita secara fisiologi mempunyai kandungan lemak yang lebih tinggi berbanding lelaki kerana kandungan lemak ini berfungsi sebagai pelindung kepada sistem reproduktif wanita. Lelaki secara fisiologinya mempunyai kandungan otot yang lebih tinggi. Maka kaum lelaki mempunyai kudrat dan kemampuan yang lebih baik untuk melakukan pekerjaan yang memerlukan tenaga fizikal yang lebih tinggi.

Walaupun lelaki mempunyai kadar otot yang lebih tinggi, namun kajian menunjukkan kaum wanita lebih mampu untuk menahan kesakitan fizikal lebih baik daripada lelaki. Buktinya, kesakitan melahirkan anak dikatakan kesakitan yang paling tinggi boleh dihadapi oleh tubuh badan manusia dan setakat ini belum ada lagi lelaki yang melahirkan zuriat ke dunia ni, ye dak?

5. Kami Bukannya Nak Lelaki Kaya, Tapi …………..

Hujah-hujah yang selalu digunakan oleh lelaki bagi menyerang wanita apabila berbicara mengenai pemilihan pasangan adalah betapa wanita pada hari ini memandang kekayaan material sebagai indikator utama dalam memilih pedamping hidup. Berbalik kepada komen netizen setiap kali selebriti cantik memilih lelaki yang mempunyai prospek kehidupan lebih baik daripada mereka. Lelaki-lelaki ini lalu meletakkan generalisasi di mana makhluk yang bernama wanita ini merupakan makluk yang bermata duitan.

Tetapi cuba kita tilik, kenapa Sari Yanti memilih Jep Sepahtu dan Siti Nurhaliza memilih Dato’ K sebagai pedamping hidup masing-masing. Kita lupakan Jep dan Dato’ K sebentar. Mari kita fokus kepada Sari Yanti dan Siti Nurhaliza. Kedua-dua wanita ini mempunyai kebolehan untuk membina prospek material sendiri, jadi jika mereka memilih pasangan yang kurang mempunyai kebolehan membina prospek material, sudah pasti pasangan mereka akan berasa inferior. Lelaki yang inferior dengan perempuan inilah lelaki yang paling celaka yang akan perempuan itu temui dalam hidupnya. Lelaki yang inferior dengan wanita yang berhubungan dengannya akan memastikan pasangannya (perempuan) tersebut turut merasa rendah hati dengan menghalang perkembangan kendiri (self growth) wanita tersebut. Perempuan yang berhubungan dengan lelaki yang inferior akan diseksa secara emosi dan diserang bertubi-tubi. Takkan ada satu pun perbuatan yang dilakukan oleh perempuan tersebut adalah benar pada mata lelaki tersebut. Akhirnya hubungan tersebut akan menjadi satu beban emosi kerana soalan yang sering kali ditanya kepada diri sendiri(perempuan), “Apa pulak salah aku kali ini?”

Jadi apa patut lelaki buat?

Senang saja. Jaga hal diri sendiri sudah lah. Jangan berbicara hal-hal yang tidak berkaitan dengan kehidupan anda misalnya keputusan-keputusan hidup yang diambil oleh kaum wanita kecuali lah keputusan itu akan mempengaruhi kehidupan peribadi anda. Keputusan-keputusan tersebut termasuklah pilihan kerjaya, pakaian, apa yang wanita tersebut memilih untuk buat dengan badannya dan beberapa urusan lain lagi. Sekali lagi sekiranya keputusan wanita tersebut tidak mempunyai kaitan hidup atau mati dengan anda silalah jadi manusia waras dengan menjaga hal-hal sendiri semata.

Kadang-kadang ada perkara yang tidak memerlukan kefahaman yang jitu seperti memahami orang lain sedalam-dalamnya. Manusia tidak kira lelaki atau perempuan merupakan makhluk yang kompleks dan dinamik serta perkara yang kekal dalam diri manusia ialah perubahan. Apa yang kita perlu buat hanyalah hidup untuk diri sendiri, kenali dan fahami keperluan serta kemahuan diri sendiri. Dalam usaha kita hidup untuk diri sendiri akan ada manusia-manusia lain yang hidup untuk diri mereka juga dan manusia-manusia ini Tuhan pertemukan dengan kita untuk membuatkan kita faham akan diri kita lagi. Kadang-kadang manusia-manusia ini hadir dalam tempoh yang singkat, eloklah sekiranya kita meraikan kenangan bersama mereka. Tetapi nikmat Tuhan yang paling kita patut raikan adalah sekiranya manusia ini kekal dalam hidup kita dalam tempoh yang lama kerana usahanya datang daripada kita dan manusia tersebut.


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page