top of page

Kandang Jin

  • Zul Azlin Razali
  • Mar 14, 2017
  • 7 min read

Di dalam kandang pesalah, fikirannya mencapah, mencari akal untuk berhujah. Pasti ada cara buat musuh rebah. Tetapi kini dia berada dalam keadaan yang payah. Soalan bertubi-tubi menjengah otak menuntut jawapan yang bukannya mudah. Namun diri mesti dipertahan dari tuduhan jenayah.

“Sekali lagi saya bertanya, di mana awak berada ketika mangsa meroyan?”

“Err.. saya ada di rumah”

“Di rumah mangsa bukan? Setiap kali mangsa jadi gila, kamu ada di situ, bukan?”

“Ya. Saya berada di rumah mangsa ketika dia sakit tetapi saya tidak kena mengena dengan sakitnya itu”

Apa maksud gila? Persoalan yang dia sendiri segan-segan mahu lontarkan. Sekurang-kurangnya dengan pencerahan definisi lebih mudah jawab pertuduhan. Pertuduhan liar luar sangkaan. Manusia sendiri keliru dengan maksud gila dan penggunaan perkataan. Semberono sahaja dia didakwa meng’gila’kan seorang insan. Dia terkilan manusia lain tidak dapat bezakan antara gila dan sawan.

Si cabuk berambut keras bermain sampah, dipanggil orang gila. Sang pendeta petah bicara liar beridea mencabar penggawa juga dicanang sebagai gila. Si ibu tertekan meroyan sewel membunuh anak pastinya dikatakan gila. Jadi yang mana satu sebenarnya menepati maksud gila? Lambakan status gila yang lain tambah keliru pandangannya. Gila kuasa, gila harta, gila talak, gila betina, gila berbini. Lebih ‘trendy’, gila ‘likes’, gila gajet dan gila apa sahaja yang terkini. Mengapa ahli negara pembolot khazanah pencinta rasuah tidak dipanggil gila? Si pemimpin narsisistik pemijak marhaen yang cetek empati, bukankah itu gila dalam personaliti? Bagaimana pula ratusan pemandu mementingkan diri di jalan raya macat hari-hari, gila atau hanya tertekan jiwa nurani? Dan juga pendekar-pendekar pengecut bersenjata skrin dan papan kekunci? Kerjanya hanya menular hasut dan mengapung benci. Golongan inilah yang patut dilabel gila, dia pasti.

Pak Sako sendiri sudah bangkitkan permaknaan ‘gila’ ini dalam masyarakat setengah abad yang lalu. Gila, sasau dan pandir, adakah berlainan setiap satu? Siapakah yang berhak menakrif dengan jitu? Sebagai majoriti, masyarakat mengambil peranan menggilakan seseorang atau sesuatu. Kerana majoriti, masyarakat punya hak meng’gila’kan Mat Lela yang polos seputih salju1. Yang punya bukti jelas, benar dan rajih tidak sepatutnya membisu. Kemajuan ilmu dan sains sepatutnya menarik manusia keluar dari lembah buntu. Yang gila, yang bodoh, yang tiada moral, yang dungu. Semua harus dibezakan dahulu. Tanpa akal, sempit dan keliru tafsiran ilmu wahyu. Sekasih-kasih Tuhan Maha Kasih, pasti Dia berang manusia tidak guna akal yang bersih cari perkara yang sahih.

“Mohon respon!” gema suara Tuan Haji Pendakwaraya menggegar. Keyakinan si pendengar boleh jadi longgar. “Saya ulang sekali lagi, adakah awak penyebab Cik Wati ini menjadi gila?”

“Tapi Tuan Haji Pendakwaraya. Cik Wati bukan gila.” Dia jawab.

“Fokus pada soalan!” bentak Pendakwaraya lagi bikin jantung jadi debar, mulut jadi gamam.

“Sekali lagi, tolong beritahu pada hakim dan pada semua yang ada di sini, adakah awak menyebabkan Cik Wati yang duduk di sana itu gila?” tegas, keras, penuh azam dan mengancam.

“Tidak!” tidak kurang getas jawabnya bersulam geram.

Dia duduk di kandang tertuduh memerhati dan diperhati. Dilayangkan pandangannya pada si gadis sunti. Tiada yang dapat dia beri melainkan simpati. Moga nuraga dan kasihan yang dikirimkan boleh mengubat hati. Hati dia sendiri atau hati Cik Wati, dia tidak pasti. Dia kenal benar Cik Wati. Bukan kesusahan dan kesengsaraan yang dia mahukan pada Cik Wati. Jauh sekali. Hakikatnya anak dara itu merana epilepsi. Dek keghairahan menyibukkan diri dalam alam misteri, akal kurniaan Tuhan manusia sisipkan ke tepi. Semakin moden semakin mundur kebijaksanaan. Orang lain bergulat mencari penawar penyakit sawan, orang di sini meraba-raba ke alam gelap mencari syaitan. Syaitan yang dikambing hitam. Orang lain sudah sampai ke bulan-bulan, mereka di sini masih berwacana apa beza rawatan garam dan lada hitam. Matanya menggelintar ke serata dewan. Bayu penghawa dingin menambat hatinya yang kian rawan. Dia tidak anggap manusia-manusia yang hadir ini lawan ataupun kawan. Hanya bangsa yang lain dijadikan Tuhan. Namun dia kasihan, konon bangsa pilihan.

Pendakwaraya persis sarjana bangsa berketayap melontarkan panahan-panahan soalan. Pemeriksaan terhadapnya yang lebih bernada menuduh daripada mahu mencari kebenaran. Pendakwaraya kelihatan serius seraya berbisik dengan rakan, atau lebih tepat, macai yang berserban. Tujahan soalan pendakwaraya disambut dengan kebenaran. Baginya, tanpa kejujuran tidak mungkin lahir kehormatan. Pendakwaraya seperti sudah berputus asa dengannya. Hakim menawarkan pemeriksaan balas kepada peguam bela. Peguam bela menolak dengan tenang dan bersahaja. Si peguambela tidak berketayap tapi hitam dahinya. Mungkin tanda lahir atau tanda yang tidak punya makna apa-apa. Dia tahu peguamnya itu menyimpan strategi mengatur rencana. Undang-undang hukum pidana memang itu kerja peguambela.

“Yang Arif. Saya mohon keizinan untuk memanggil saksi seterusnya.” Pendakwaraya meminta sopan.

“Baik. Tuan Haji Pendakwaraya. Silakan” Hakim membenarkan.

Bapa si mangsa dipanggil ke hadapan. Pendakwaraya mengukir senyuman. Kepada si bapa, pendakwaraya lembut melepaskan sapaan. Dia hairan ke mana perginya senyuman dan kelembutan di kala dirinya dihamburkan persoalan dan pertanyaan. Soalan-soalan untuk si bapa cukup ringkas. Begitu pantas selesai lantas peguambela pula mengambil alih pentas. Peguambela mengatur soalan baris demi baris dengan kemas. Sambil si peguambela tuntas mengumpul fakta, dia kembali melopong dan melangut. Dia tercenung nasib umat yang makin berkerusut. Yang dikejar lain dengan yang dituntut. Entah bagaimana lah nanti bila berhadapan yakjut dan makjut.

Buat julung-julung kalinya dalam sejarah kehakiman mahkamah Malaysia, jin telah didakwa dan dibawa bicara. Malah bukan sahaja di Malaysia tetapi kes pertama di alam buana. Setelah Kit Anti-Rasuk yang berjaya menjadi produk ulung Malaysia yang dieksport ke merata dunia untuk menghalau kaum jin, kes ini pula menjadikan Malaysia tumpuan masyarakat dunia. Dunia tidak lagi mengenal Malaysia kerana mercu tanda Putrajaya, KL Tower dan binaan-binaan seumpamanya. Dunia tidak lagi hairan dengan pencapaian Malaysia dalam bidang sukan Paralimpik. Dunia langsung tidak terkesima dengan kehebatan pemimpin menjaga keharmonian masyarakat majmuk Malaysia yang saling bersangka baik sesama kaum. Akan tetapi dunia akur bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara yang menjuarai perjuangan melawan jin dan kaumnya.

Tiada bangga langsung untuk dia yang sudah pasrah. Bukan kerana dia prejudis dan berat sebelah. Bukan kerana ini melibatkan keturunannya atau susur galur sejarah. Bukan kerana dia jin dia jadi marah. Ahli bahasa belum pun sepakat penjodoh bilangan yang sesuai, “Seekor kah?”, “Seorangkah?”. Namun sudah ada jin tergesa-gesa didakwa di mahkamah. Dia tidak gentar di kandang pesalah tapi dia tetap berkeluh kesah. Marah dan resah kerana dia risaukan kejumudan makhluk bergelar manusia yang perasan sentiasa di pihak yang benar. Mendabik dada sebagai khalifah Allah tapi kebodohan yang tergambar. Kontradiksi yang sukar dijabar.'

Orang Islam semakin jauh pemahaman spiritual. Spiritual hanya seputar jin. Segala-galanya sihir dan jin. Benda pelik datang menerpa, maka itu pasti puncanya jin. Penyakit misteri yang tidak ketahuan sebabnya, maka itulah jin. Masalah penyakit barah yang serius pun dikatakan jin. Baginya tiada apa yang boleh dibanggakan di negara ini. Tidak ada kemajuan dari sudut naqli mahupun aqli. Berani sungguh dia mengatakan begini.

“Jadi, encik tidak yakin bahawa penyakit anak encik ini ada kena mengena dengan rasukan jin?” Peguambela menguji bapa Wati.

“Saya kurang pastilah Tuan. Doktor kata ini penyakit sawan.” Antara dengar tidak dengar dia dengan jawaban si bapa.

“Yang Arif. Izinkan saya persembahkan bahan bukti seterusnya. Bahan bukti ini adalah ubat anti-epileptik yang pernah diambil oleh Cik Wati dua tahun yang lalu. Sodium Valproate. Menurut laporan doktor bertarikh 23 Jun 2020, Cik Wati dikatakan tidak lagi menunjukkan simtom sawan setelah mengambil Sodium Valproate selama lebih kurang sebulan.”

Suara si peguam bela dan bapa Wati berinteraksi di selang seli dengan bantahan Pendakwaraya yang petah berdebat. Selingan rengusan dan pekikan suara-suara manusia menambahkan gamat. Dewan gawat di saat pengadilan sudah jadi ruwat. Hadirin cukup ramai. Melimpah-limpah ke luar dewan sehingga bersila panggung di lantai. Majoriti anggap ini satu sensasi hiburan santai. Mudah sahaja teruja dengan mistik, karut marut serapah kebayan mamai. Maha sedikit yang ingin tahu dalil langit yang patut dipakai.

“Bantahan Yang Arif. Soalan ini tidak relevan Yang Arif. Penggunaan Sodium Valproate ini masih lagi tidak membuktikan bahawa ini bukan saka.” Tuan Haji Pendakwaraya mencelah mencampakkan soalan yang seperti tidak masuk akal. Seolah-olah sengaja cuba menggoncang tekal dan cekal. Namun wibawa peguambela tetap kental. Terus respon dengan handal.

“Soalan ini penting untuk dijawab Yang Arif. Ini kerana si bapa seorang sahaja yang tidak begitu percaya bahawa anaknya dirasuk jin. Saya ingin membuktikan bahawa si bapa dan si mangsa membuat tuduhan kerasukan ini rentetan tekanan dari orang-orang sekeliling.” Peguambela membela.

“Teruskan.” Arahan Tuan Hakim ini mengisyaratkan peguambela terbela. Si peguambela boleh meneruskan strategi dan rencana.

Dia semakin mual. Perbicaraan ini semakin cetek intelektual. Dia sangsi dengn ketepatan teori saka yang tiada asal. Wujudkah perwarisan jin di zaman Nabi dan sahabat-sahabatnya yang afdhal? Kalau ini bukan perkara agama, maka adakah ini semata-mata budaya? Budaya alam Melayu yang tercoret dengan hinduisme dan animisme purba. Ibu-bapanya kata, “Apalah diribut-ributkan sangat tentang saka? Ruqyah yang nyata, aqidah sempurna selamatlah manusia”. Sains sudah memberi manusia teori genetik tetapi umat Islam Malaysia lebih suka teori saka. Sudah jelas Nabi SAW melarang manusia selalu mengaitkan jin dengan segala malapetaka dan segenap bencana2.

“Sebagai menggulung hujah pihak defenden pada hari ini, saya ingin menegaskan bahawa kes ini tidak membuktikan kebersalahan klien saya. Masalah perubatan mangsa tidak disiasat dengan lengkap dan adil. Simtom-simtom mangsa yang konon dikatakan gila atau kerasukan ini boleh dijelaskan dengan penyakit epilepsi. Selain daripada itu ingin saya jelaskan, perkara yang lebih penting adalah amalan doa dan ruqyah syar’iyyah yang perlu diamalkan oleh mangsa, keluarga mangsa dan seluruh umat muslimin untuk menghindar dari segala musibah tidak kira berunsur ghaib atau masalah perubatan yang nyata. Tenaga dan sumber kita tidak sepatutnya dibazirkan pada perkara ghaib yang sudah lengkap dibentangkan oleh Junjungan Rasul Allah SAW.”

Dia pasti kes ini tidak ke mana. Manusia harus sibuk menguruskan hal yang nyata demi keamanan yang baqa. Cik Wati orangnya ikhlas. Saraf sedikit sakit tapi tetap waras. Mulus dalam perhubungan, tulus dalam peribadatan. Mana mungkin jin ganggu jika pun jin mahu.

1. Ishak Haji Mohamed (1966). Anak Mat Lela Gila. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad.

2. Sunan Abu Dawud, Kitab Al-Adab, hadith nombor 4982;

Dari jaluran Wahb bin Baqiyyah, dari Khalid bin Abdullah, Khalid bin Al Hadzdza, Abu Tami, dari Abul Malih, dari seorang laki-laki ia berkata, "Aku membonceng di belakang Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, maka ketika hewan tunggangan beliau lambat saat berjalan aku berkata, 'Celakalah syaithan'. beliau lalu bersabda: "Jangan engkau berkata, 'Celakalah syaithan', sebab jika engkau berkata seperti itu ia (Syaithan) akan semakin besar hingga seperti rumah seraya berkata 'demi kekuatanku'. Tetapi hendaklah engkau katakan 'Bismillah (dengan menyebut nama Allah). Jika engkau ucapkan itu maka syaithan akan semakin kecil hingga seperti lalat." Disahihkan oleh Sheikh Nasirudin al-Albani.

https://sunnah.com/abudawud/43/210

3. Al-Quran, Al-Hijr, ayat 39-40; “Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba Engkau yang MUKHLIS (orang-rorang yang ikhlas) di antara mereka".


 
 
 

Comentários


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page