Kesalahan Lelaki Dalam Memahami Wanita. (Bahagian 1)
- Aqilah Abd Samad
- Mar 13, 2017
- 3 min read

“Men still have trouble recognizing women can be complex, can have ambition, good looks, sexuality and common sense. Yet men, in literature or in drama, seem to need to simplify women either whore or angel.”
Aku terpanggil untuk menulis pasal benda ini selepas aku lihat beberapa komen netizen seusai Sari Yanti memilih Jep Sepahtu untuk menjadi pedamping hidupnya. Komen-komen yang dikeluarkan netizen termasuklah “Untung jadi lelaki pandai buat lawak ni.” Diikuti beberapa gambar pelawak Malaysia lain yang mempunyai bini yang lawa. Komen berikutnya daripada netizen “Bukan kes lawak ni wei. Perempuan lawa nak lelaki poket tebal.”
Astafirullahalazim. Mengucap panjang aku dengan fitnah yang dilemparkan netizen kepada kaum wanita sehingga kami habis dipukul rata.
Aku akan senaraikan beberapa kesalahan yang dilakukan oleh lelaki bagi memahami perempuan ini.
1. Kami Bukan Bidadari, Robot dan benda-benda lain. Kami Manusia.
Salah satu kesalahan masyarakat kita dalam pendidikan anak perempuan. Anak perempuan diajar untuk menjadi lembut dan taat sepanjang masa. Aku tidak mengatakan bahawa lembut dan taat ini tidak baik tetapi kenapa pendidikan yang sama tidak diimplementasikan kepada anak lelaki juga. Kenapa ada ibu bapa yang selesa apabila anak lelakinya berjaya menegakkan keadilan dengan keganasan dan anak perempuan dilarang sama sekali untuk bersuara dan seringkali ditutup mulutnya dengan kenyataan seperti “Hang perempuan, tak payahlah.”
Pendidikan yang tidak adil ini juga jelas dalam urusan-urusan domestik seperti pengurusan rumah. Anak perempuan diajar masak, basuh, sidai, lipat dan gosok baju, mengemas dan menghias rumah dan pelbagai urusan lain lagi. Pendidikan sebegini akan melahirkan perempuan yang serba-serbi tahu tentang pengurusan domestik dan akan lahirkan lelaki yang sampai mati akan memerlukan perempuan untuk mengurus dirinya. Akhirnya lelaki-lelaki ini akan membesar menjadi lelaki patriarki dan perempuan yang akan menjadi pilihannya hanyalah perempuan yang menggantikan ibunya. Jika perempuan tersebut sedar akan ketidak-adilan ini, maka akan porak peranda lah rumah tangga.
2. Emosi
Aku seringkali mendapat komen apabila aku cuba menyatakan sesuatu, aku dikira sebagai perempuan emosi, dan tidak pandai mengawal perasaan sendiri. Padahal sewaktu aku cuba melahirkan pendapat aku yang panjang lebar itu, aku akan pastikan pendapat itu disokong oleh fakta, statistik mahupun pengalaman aku sendiri. Sering kali serangan peribadi yang aku terima ialah aku perempuan yang emosi.
Setahu aku emosi ini universal. Perasaan sedih, gembira, marah, terkejut dan sebagainya dilalui oleh kedua-dua lelaki dan perempuan. Sejak bila kita dihalang untuk beremosi? Jadi robot lah begitu.
Cuma yang membezakan lelaki dan perempuan ialah kaedah meluahkan emosi-emosi tersebut. Sebenarnya dalam isu ini aku berasa kasihan dengan lelaki. Perempuan mempunyai tiket untuk meluahkan emosi negatif dan mendapat bantuan dengan lebih baik apabila berhadapan dengan emosi-emosi ini namun tidak bagi lelaki. Disebabkan tiada tiket untuk menyalurkan emosi negative dengan baik yang menyebabkan kadar bunuh diri dalam kalangan lelaki tinggi berbanding wanita dan jangka hayat lelaki lebih pendek.
3. FETISH HANGPA BUKAN MASALAH KAMI LAH SETAN !!
Aku sering kali berhadapan dengan dakwah-dakwah agama yang mengajak perempuan untuk menutup aurat dengan lebih sempurna menggunakan ayat-ayat seperti berikut, “Kalau lah perempuan tahu apa yang lelaki nampak, mesti perempuan akan menutup aurat.”
Ada seorang sahabat lelaki aku dah terima tarbiah sentap apabila dia menggunakan kaedah ini untuk menyampaikan dakwahnya barangkali. Dan seperti biasa, aku membalas dengan beberapa pertanyaan seperti, “Sejak bila urusan perempuan berkenaan menutup aurat ini menjadi urusan lelaki? Bukankah menutup aurat ialah manifestasi hubungan perempuan tersebut dengan Tuhan?”
Aku bukanlah menidakkan kebaikkan menutup aurat dengan baik ini. Aku sendiri dah jumpa kenapa aku perlu memakai tudung dan pakaian yang baik-baik. Sekali lagi urusan apa yang kami(perempuan) pakai bukanlah urusan kalian ya.
Lelaki-lelaki yang menggunakan ayat-ayat agama untuk kepentingan diri ini sebenarnya bagi aku tengah melawan bangkitan seksual diri sendiri. Sekali lagi aku berasa kasihan dengan lelaki sebab perempuan tidak ada sangat masalah ini. Tetapi apa yang aku cuba sampaikan hanyalah bangkitan seksual kalian itu tidak apa, normal, fitrah. Tetapi yang salah hanyalah apabila kalian menidakkan bangkitan tersebut dan yang lebih teruk lagi apabila kalian tidak mampu mengawal bangkitan tersebut sehingga menyebabkan peningkatan kadar jenayah berkaitan seks seperti pedophilia dan rogol. Dan pelaku-pelaku jenayah ini rata-ratanya pelanggan porno yang tegar.
Takkan lelaki ini lemah sangat ye dak? Iman senipis kulit bawang? Hmmm itulah, orang suruh kahwin taknokkk. Padan muka terseksa sorang-sorang.
Comentários