ANAK KITA DI TANAH BORNEO
- Suhail Wan Azahar
- Mar 13, 2017
- 5 min read

(Nina Simone) Ain't got no home, ain't got no shoes Ain't got no money, ain't got no class Ain't got no skirts, ain't got no sweater Ain't got no perfume, ain't got no beer Ain't got no man “Mana kembar mu, Cok?”
Tegur ku sambil mencucuh rokok, melihat nyala api terhambur dari pemetik. Dalam kesibukan malam, di kedai yang dipenuhi warga Tawau yang sedang berlibur, sambil diiringi muzik band yang mewarnai nyawa malam itu, aku menegur Siman (bukan nama sebenar) yang sedang galak menjual kacang rebus.
Siman mungkin berumur 7 tahun aku fikir. Atau 6? Ya dia masih kecil. Tubuhnya sedikit kurus. Galak tersenyum sambil tawar menawar dengan pelanggan kedai yang kelihatan sedikit garang. “Ada!” Laung Siman dari jauh. Beliau lantas meluru ke arah ku.
“Sudah kau makan ka?” Aku bertanya, menarik tangannya merapati aku. Dia senyum. Manis. “Oi, kau pergi tapau makan. Order saja. Aku bayarkan” Aku mengarahnya, sambil mengembus rokok. Siman berpaling, tersenyum lagi tapi kali ini lebih lebar. “Apa-apa saja?” “Ya” Siman pantas meluru ke kaunter. Entah apa yang dipesannya. Aku sambung termenung, sambil melihat galak Daniel, Man, dan Ukin berceloteh. Malam ini aku ditemani mereka, selaku tetamu dari semenanjung, yang datang berziarah melihat Sabah dan masyarakat mereka, aku berhasrat berkasih dengan masyarakat yang semajmuk itu. 5 hari 4 malam, belum pasti cinta itu tuntas, tetapi cukup sebagai salam perkenalan.
(1)
Siman, seorang daripada beribu-ribu kanak-kanak yang tidak punya warganegara, atau dalam istilahnya “State-less Child”. Isu ini, bukan masalah baru. Konflik yang berakar daripada Orang Tanpa Negara (OTN) dan Pendatang Tanpa Izin (PATI) ini, sudah menjadi polemik yang menyerabutkan warga tempatan daripada tahun 1970 lagi.
Pada tahun 1970-an berlakunya perang di Selatan Filipina yang merupakan lanjutan dari perlawanan menentang kerajaan pusat di Manila. Selepas Persepakatan Tripoli 1976, berlaku peperangan bersenjata di antara pejuang Moro dan kerajaan pimpinan Ferdinand Marcos yang mengkhianati persekepatan tersebut. Perang yang merebak menyebabkan ramai rakyat dari Selatan Filipina melarikan diri dari daerah masing-masing. Walaupun Malaysia tidak pernah merektifikasikan Konvensyen Pelarian 1951, atas syor PBB, 4 penempatan khas pelarian perang dari Selatan Filipina didirikan di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan. Pelarian ini kemudiannya diberikan dokumen khas yang dikenali sebagai IMM13.
Masalahnya timbul dengan mencapah sekali. Bermula dengan isu tempat tinggal. Mereka bukan warganegara, jadi amat mustahil dalam dunia yang punya undang-undang, untuk mereka miliki tanah/rumah/penempatan sendiri yang mengikut undang-undang.
(2)
Kesihatan. Kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen tidak akan menerima rawatan di hospital mahupun klinik kerajaan mahupun swasta sejak dari bayi. Mereka tidak menerima vaksinisasi, rawatan susulan atau sebarang rawatan untuk kawalan penyakit berjangkit. Tanpa kawalan kesihatan ia merupakan ancaman yang serius di masa hadapan. Kita masih selesa?
“Kau belum jawab soalan aku Siman? Mana kembar mu?” “Rumah. Demam” jawabnya pantas, sambil tersengih menunjukkan giginya teratur. Kelihatan beberapa lagi teman-temannya meluru kearah aku. Sama seperti Siman, mereka membimbit raga besar yang dalamnya terisi kacang rebus yang dipaketkan kecil-kecilan. Seorang daripada mereka, Aceng sudah kukenal beberapa hari lalu ketika dia menjual sepaket kacang rebus yang sama.
“Kau datang dari mana Aceng? Tanya aku. Aku mengenali Aceng ketika malam pertama aku sampai di Sabah.
“Dari Maybank sana, bang” balas Aceng, tubuhnya kurus. Umurnya kukira dalam 9 tahun. Rambutnya kemas, bajunya sedikit lusuh dengan seluar jeans sedikit koyak dilutut. Rakannya yang lain, Acong, Aseng dan juga Asung yang bersama menjual dengannya semalam juga berusia lebih kurang sama aku fikir. Sedang mereka berada di mejaku, geli hati melihat mereka bergaduh kecil, membandingkan hasil jualan mereka malam itu. Asung kelihatan sedikit gusar. Jualannya paling sedikit malam itu. “Tenang Asung. Awal lagi. Kau pun datang lambat malam ini” Asung merapatiku.
“Ibu minta jagakan adik. Ibu keluar lawat saudara nya sakit” balas Asung. Tiada senyumannya, masih kecewa, agakku. (3)
Bagaimana dengan keselamatan negara itu sendiri? Anak-anak ini terdedah dengan perkahwinan awal. Ini untuk kelangsungan mereka, akan tetapi, kenaifan mereka menyebabkan mereka akhirnya dieksploitasi untuk menjadi buruh atau “perhambaan moden” pada waktu usia. Pada usia yang mereka tidak patut terdedah. Usia yang pada waktu itu sepatutnya, mereka menikmati hidup mereka di sekolah bersama rakan-rakan sekelas. Namun, mereka berada di jalanan dan terdedah dengan gejala-gejala tidak sihat seperti gangsterisme, dadah, alkoholik, dan lain-lain.
(4)
Pendidikan. Ini isu paling penting. Bagaimana setiap agama yang menganjurkan penganutnya untuk mencari ilmu (khususnya Islam), membiarkan pendidikan menjadi subjek bukan utama dalam kehidupan. Mereka seperti dinafikan hak mereka, seperti isu kesihatan. Mereka perlu punya dokumen sah untuk masuk kemana-mana pusat pendidikan dan kesihatan dibawah kerajaan. Kesukaran ini, menyebabkan mereka lebih memilih untuk perjuangan perut sendiri (makan dan minum) berbanding perjuangan akademik (membaca dan menulis), walaupun hakikatnya, kedua-duanya maha penting.
“Bang, nasi sudah siap. Nanti kau bayarkan ya!” Siman mengejutkan lamunan aku. Aku mencapai telefon bimbitku, jam sudah menunjukkan jam 11 malam. “Ya, nanti aku bayarkan. Kau makan aja dulu. Kasi kenyang. Nanti sambung kerja mu”. Aku menghabiskan rokok ku sambil memikirkan, anak sekecil 7 tahun ini menjual kacang rebus RM 1 pada waktu malam. Seingat aku, waktu aku sekecil itu, masa yang paling sesuai untuk aku bermesra dengan keluarga di rumah.
Seperti kanak-kanak ini, mereka juga terpaksa membuat keputusan sukar. Mereka tidak boleh ke sekolah kerana tidak punya dokumen. Mereka menjaja untuk menampung diri. Hasil RM 500 yang tidak seberapa besar, cukup sekadar buat mereka dan keluarga mereka meneruskan hidup untuk sebulan. Jika mereka hendak berniaga secara sah, terpaksa berhadapan dulu dengan pihak penguasa tempatan. Tapi, bagaimana hendak berhadapan dengan pihak penguasa tempatan? Sudahlah mereka ini tiada dokumen yang sah, yang sudah menjadi masalah besar. Masalah itu bertambah besar selepas mereka melanggar lagi undang-undang untuk mengelakkan diri daripada penguasa tempatan.
Maka, daripada permasalahan yang kecil menjadi permasalahan yang besar lantas melemaskan.
“Siman, kamu besar mahu jadi apa?” tanya ku sambil menyalakan rokok di mulut. “Polis, aku mau jadi polis!” Jawabnya lancar.
Mukmin dan Rahman antara yang memulakan kelas pengajian percuma untuk mereka. Organisasi Ikatan Anak Muda Tawau yang dibentuk tidaklah besar, tetapi cukup sebagai permulaan untuk anak-anak kecil seperti Siman dan Aceng mendapat pendidikan asas walaupun tidak sempurna. Kelas ini menyediakan beberapa orang pengajar sukarelawan, yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswa di Universiti sekitarnya. “Belajar rajin-rajin. Kamu jangan ponteng kelas. Dengar sama abang-kakak kamu ini”
Aku memegang tangannya mesra. Merenung tepat matanya, terlintas apa yang Siman ini lalui nanti. Dengan statusnya sebagai kanak-kanak tanpa negara, apa jaminan cita-cita besarnya hanya tinggal cita-cita.
Aku membawa keluar sebatang lagi rokok dari kotak di dalam kocekku lalu membakarnya. Aku termenung di tengah-tengah malam yang gelap gelita. Aku melangut ke langit dan memandang bintang-bintang yang berkerlipan dengan harapan mereka berbual denganku. Aku ingin meluahkan rasa yang terbuku. Bagaimana kita yang katanya sebuah negara membangun, masih lagi dilingkari permasalahan serius seperti ini. Di mana mereka yang bertanggungjawab? Di mana masyarakat? Dan paling penting, di mana Mahasiswa?
Got my hair, Got my head Got my brains, Got my ears Got my eyes, Got my nose Got my mouth, I got my smile I got my tongue, Got my chin Got my neck, Got my boobs Got my heart, Got my soul Got my…
Comentarios