top of page

Hidup Adalah Timbunan Najis

  • Johnny Nepp
  • Mar 10, 2017
  • 3 min read

"Life

is a pile of shit”

(Petikan dari Filem Ali Zaoa)

Membentuk pemikiran untuk keluar dari longgokan najis akan menjadi mudah jika kita menyedari hakikat bahawa kita sedang mendiami tempat tersebut. Namun sebaliknya jika kita tidak sedar atau lebih teruk lagi jika menjadi selesa dalam suasana yang kotor itu. Ali Zaoa(2000) merupakan filem Morocco tentang golongan gelandangan terdiri daripada anak-anak kecil yang naif dan malang. Subjek anak-anak gelandangan ni bukanlah subjek yang popular untuk diutarakan, dan ia tak lah se-gah subjek serigala Wall Street pun. Namun ia antara hal yang penting untuk diberi perhatian.

Filem ini bermula dengan shot corak dan contengan lukisan naive-art di dinding-dinding bersama voice-over Ali yang sedang ditemu ramah oleh wartawan. Ali memulakan ceritanya tentang mimpi ketika dia sedang belayar sambil dinantikan oleh seorang wanita. Sehinggalah corak lukisan tadi hilang dan visual tertancap pada Ali yang sedang ditemu ramah sambil dikeliling oleh rakan dan beberapa orang dewasa yang cuba menumpang glamour. Dalam temu ramah tersebut, Ali ada menyebut beberapa perkara tentang ibunya yang ingin menjual matanya dan disaat itu dia lari dari rumah. Sebelum mengakhiri sesi temu ramah Ali ditanya tentang cita-cita, lantas menjawab dia ingin menjadi seorang pelayar.

Setelah selesai sesi temu ramah, Ali dan rakan-rakan segelandangan menjalani hidup seperti biasa. Waktu sedang melepak dengan Kwita selaku teman paling rapat dengan Ali, Ali ada bagitahu yang dia nak pergi berlayar. Dia dah set goal dalam hidup dia. Dia nak pergi cari pulau dua matahari. Kwita jadi terkejut dan ingat Ali main-main. Lalu Ali pun menunjukkan kompas pemberian dari seorang nelayan laut dalam di situ, menandakan yang dia serius mahu mencari pulau dua matahari. Namun, sebelum sempat Ali pergi belayar, dia telah dibunuh oleh geng gelandangan yang diketuai oleh Dib si bisu.

Dib antara anak gelandangan yang paling tua, kalau ikut dari tubuh dah menjangkau usia remaja. Dib telah merekrut anak-anak gelandangan di sekeliling pekan untuk ikut dan patuh pada dia. Walaupun Dib ni bisu, dia ada jurucakap dan antara gelandangan paling berkuasa. Hasil kutipan sedekah dan jualan akan diberi pada Dib. Sebagai balasan Dib akan “beri” tempat tinggal untuk mereka hidup bersama serta perlindungan kerana mempunyai geng yang ramai.

Watak Ali Zaoa dalam filem ini tak lama pun. Tak sampai sepuluh minit. Tapi karakter Ali Zaoa menjadi lebih besar setelah kematiannya dan mampu menggerakkan naratif filem ini menjadi lebih menarik. Dari situlah perjalanan Kwita, Omar dan Boubker selaku anak gelandangan yang miskin bermula untuk menguruskan mayat Ali Zaoa dengan sesempurna mungkin.

Kemiskinan dan kesusahan adalah latar bagi filem ini. Kekotoran adalah kehidupan yang dijalani oleh anak-anak gelandangan di sekeliling pekan. Mereka terdesak untuk melakukan apa saja demi meneruskan hidup. Keterdesakan dalam hidup mengakibatkan anak-anak ini mencuri, menghidu gam dan berbuat apa saja untuk hari esok. Terlalu banyak perkara sial untuk dilupa dan ditinggalkan. Ianya nyata berat untuk dipikul oleh anak-anak yang sepatutnya berada di bangku sekolah ini. Namun hal-hal ini disangkal oleh Ali Zaoa. Cuma Ali yang berani bermimpi dan mempunyai cita-cita. Ali benar-benar ingin keluar dari timbunan najis itu. Tak seperti anak-anak lain yang sekadar selesa berada di bawah pimpinan Dib si bisu. Walaupun diperkosa dan diperlaku apa saja asalkan ada perlindungan dari Dib sudah memadai bagi mereka. Ali Zaoa ni ibarat lejen yang mati muda lalu menginspirasi orang lain untuk keluar dari penyiksaan yang tak terperasan. Dia juga diagungkan oleh rakan-rakannya sebagai The Prince of The Street.

Dalam filem ini, kematian Ali Zaoa telah menyedarkan rakan-rakannya akan kepentingan untuk hidup dan keluar dari penyiksaan. Mereka belajar mengenal dan melihat dunia sepertimana Ali Zaoa melihat dunia. Sehingga mereka mula terjaga dan bangun dari mimpi-mimpi buruk.

Lalu, kita perlukan kematian siapa untuk menyedarkan kita?


 
 
 

댓글


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page