Dunia! Dengarkan Aku!
- Lucy Montok
- Mar 10, 2017
- 3 min read
Katakanlah konsep kebebasan bersuara terpakai kepada semua yang mampu bertutur, adakah ia bermaksud semua hal yang dituturkan oleh sesiapa pun sifatnya valid untuk didengari? Mungkin idea yang cuba disampaikan tidak diterima sepenuhnya tapi adakah platform untuk bersuara ini harus dibuka kepada semua orang?
Kebebasan bersuara telah menjadi antara isu yang paling kritikal dibidas di medan debat. Pada siapakah dunia boleh membuka telinganya dan pada siapakah dunia wajib memekakkan telinganya?
Kebebasan bersuara berdiri di atas puing hak untuk mengekspresikan pendapat selaku manusia yang berfikir. Kerana ia terkandung dalam hak asasi seorang manusia, kebebasan bersuara dianggap sebagai sesuatu yang amat sakral. Dan sakral sungguh sinonim kepada imuniti dari segala bilah kritikan.
Di dalam ruang bersuara, ada dua jenis suara yang sering berkumandang dan cuba didengungkan menggunakan kad kebebasan bersuara. Yang pertama ialah suara yang menyinggung, dan yang kedua ialah suara yang menekan. Apakah perbezaan dua jenis suara ini?
Suara yang menyinggung pada dasarnya disifatkan sebagai suara yang sering mencabar status quo. Ia lebih kepada persoalan dan perbandingan. Misalnya, apabila kaum perempuan menyoal kaum lelaki mengapa poligami yang dikatakan sebagai 'payung emas' tidak langsung berupaya untuk memayungi mereka dengan baik? Suara-suara sebegini menyinggung melalui sudut jeritnya yang tersendiri.
Namun suara yang kedua iaitu suara yang menekan, ia bersifat spekulasi dan mempunyai agenda untuk memperkuat status quo. Ambil saja contoh suara menekan seperti suara politikus yang datang dari Partai berdasarkan kaum tertentu dan agama tertentu yang mempropagandakan sentimen bahawa kaum lain selain kaum yang dijuangkannya disifatkan sebagai buas dan tamak dan berniat untuk memonopoli kekayaan serantau demi kepuasan diri dan kaum sendiri. Lebih mudah, bayangkan saja Adolf Hitler mengatakan Jewish sebagai wabak, kotoran dan harus dihapuskan demi kesejahteraan global. Yang mana, kebenaran suara ini bersifat memperjuang Ketuanan Aryan. Tak ubah seperti Donald Trump memperjuang White Supremacy. Sebuah propaganda di sebalik kad perkauman untuk memonopoli kuasa politik.
Dan suara sebegini tidak terhenti di sini saja. Di Amerika, semasa isu perkauman tercetus ketika Era Malcolm X dan Marthin Luther masih hidup, orang kulit hitam disifatkan sebagai hiperseksual. Mereka juga dianggap sebagai hina dina dan tidak mempunyai jiwa sebagai manusia. Media memberi karakter kepada kaum kulit hitam sebagai manusia kelas kedua hanya untuk menguatkan tingkat kelas manusia pertama iaitu kaum kulit putih Amerika.
Lalu, adakah dua jenis suara ini wajar ditempel hak kebebasan bersuara ke atasnya?
Suara yang menekan ialah wabak yang sebenar. Ia bukan sebuah perspektif atau pun titik pandangan tetapi berniat untuk meracuni. Maka, kebebasan bersuara kepada suara-suara sebegini tidak harus diperjuangkan kerana ia membawa malapetaka yang lebih besar sekiranya dibiarkan menular.
Tetapi sekatan ini ditujah dengan pelbagai persoalan yang lain. Bukankah menyekat kebebasan bersuara kepada warga-warga ini yang benar terlihat mempunyai agenda yang tidak baik, hanya akan menjadikan mereka yang melakukan sekatan tak ubah seperti mana mereka yang mempunyai agenda untuk meracuni kemanusiaan? Tidakkah ia bersifat autokratik? Bukankah menggunakan taktik fasisme menjadikan seseorang itu sebagai watak fasisme itu sendiri?
Walaupun sekatan bersuara dilakukan oleh kerajaan autokratik agar status quo dan kebobrokan mereka tidak tercabar, namun wajarlah diingat bahawa adakah Muhammad bila mana Baginda mengisytiharkan perang ke atas puak Musyrikin dan Quraisy menjadikan Baginda tak ubah seperti Musyrikin dan Quraisy yang sukakan peperangan dan gilakan darah?
Adakah antidot untuk menghapuskan virus menjadikan antidot itu sebagai sebuah virus yang baru kerana menghapuskan virus yang membiak?
Orang-orang miskin dan tertindas sering saja tewas pada kelicikan sebegini. Tewas dan jatuh pada perangkap defensif hak kebebasan bersuara sebegini. Lalu mereka akan mula goyah dan berlembut hati dan lantas kemudian suara yang menekan ini yang sebelumnya telah berjaya direbahkan akan naik ke takhta semula. Kerana orang-orang miskin dan tertindas begitu mudah dimanipulasi. Dimanipulasi dalam hak-hak mereka, dimanipulas dalam taktik penyelewengan hak, dimanupulasi dalam hal survival diri dan dimanipulasi dalam strategi memerangi kelicikan.
Muhammad juga tahu bahawa dialog bersama suara-suara yang menekan ini, membiarkan mereka mendengungkan firman-firman dusta mereka, tidak akan mendatangkan apa-apa pun. Dan Muhammad tidak mahu menjadi simpatis dan apologis. Dan lihatlah bagaimana sekatan bersuara yang dilakukan oleh Baginda bukan saja dengan menghapuskan ruang bagi mereka untuk menyebarkan penipuan tetapi juga melalui mata pedang.
Maka, hari ini kebebasan bersuara harus dinilai kembali bagaimana kebebasan bersuara yang tidak dikawal hanyalah memuncak kepada kegilaan dan akan membawa kepada fasisme. Dan fasisme bukanlah untuk diperdebatkan, tetapi untuk dihumban keras ke tanah dan dihapuskan.
Comments