Ya Aku Feminis, Tapi Aku Tak Benci Lelaki.
- Aqilah Abd Samad
- Mar 9, 2017
- 3 min read

Aku merupakan pengguna tegar pengangkutan awam dan yang selalu aku guna selepas bas ialah KTM Komuter. Disebabkan aku mahasiswa miskin harta dan kaya budi, aku sangat berkira-kira bab duit dan salah satu cara mengurus kewangan yang aku amalkan adalah dengan menggunakan pengangkutan awam.
Buat yang tidak tahu KTM Komuter memberi perkhidmatan dengan beberapa laluan untuk sampai ke beberapa destinasi. Tapi eloklah kita rujuk semula tajuk utama penulisan ini ditulis. Aku nak elakkan daripada jadi promoter komuter sebab kadang-kadang cilaka juga perkhidmatannya. Tapi itulah syukur Malaysia masih aman.
Buat pengetahuan yang tidak tahu juga koc KTM Komuter ini ada enam sahaja. Dua daripada enam koc itu adalah khusus untuk kaum wanita sahaja.
Pada penulisan ini aku hendak kongsikan beberapa pengalaman aku menggunakan perkhidmatan ini yang aku kira lucu sebenarnya.
1. “Adik Cuak Silap Masuk Koc”
Pernah sekali haritu, keadaan dalam komuter agak lengang. Kalau nak tengok lengang atau tidak eloklah kita tengok empat koc yang bukan khusus untuk wanita. Ternyata memang lenggang. Tetapi entah macam mana hari tu ada seorang adik lelaki ni aku kira sebaya dengan adik kandung aku di rumah memakai t-shirt Permata Pintar UKM tersilap masuk koc yang khusus untuk kaum wanita. Muka adik tu cuak nak mati seperti sedang melakukan satu kesalahan besar dalam dunia. Nak gerak kanan ada perempuan, nak gerak kiri ada perempuan. Mati kutu adik itu, hampir menangis aku kira.
Jadi sebagai seorang Kakak yang mengambil kisah akan kesejahteraan emosi adiknya dengan tenang aku bicara, “Takpa Dik, stay saja. Turun UKM kan? Satgi turun dengan Kakak.” Aku kira-kira bicara aku sedikit sebanyak mengubah riak muka adik tadi. Aku terpandang seorang gadis India di hadapan yang tersenyum kepada ku. Aku kira gadis ini bersetuju dengan tindakan aku sebab kami sama-sama sedar betapa cuaknya adik tadi.
2. Aunty Got No Chill
Sekali lagi kisah mengenai koc wanita. Kali ni kisahnya kurang menyenangkan selepas aku melihat seorang Abang Bangla diherdik oleh seorang yang aku kira taraf Aunty kepadaku. Keadaan komuter pada waktu itu agak sesak dan beberapa orang Abang Bangla sekali lagi tersilap masuk koc wanita. Aku kurang faham. Mungkin Abang-abang Bangladesh dan Myanmar ini tidak mengerti Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris barangkali. Aku cuba bersangka baik ini.
Tetapi yang paling mengecewakan aku ialah tindakan Aunty ini kepada Abang-abang Bangladesh ini. Aunty ini aku kira punya masalah peribadi mungkin atau stress sehingga Abang-abang Bangladesh ini diherdik dengan begitu teruk sekali. Aku kira melakukan herdikan sedemikian di tempat awam sangatlah tidak perlu kerana ini melibatkan air muka dan maruah. Ya mereka lelaki, imigran dan tersilap masuk koc wanita tetapi atas justifikasi apa mereka diperlakukan sedemikian rupa? Kadang-kadang aku tidak faham dengan perempuan sendiri yang senang-senang hati menggunakan alasan “Ya Kami Perempuan dan kami perlukan penghormatan daripada lelaki” tetapi sedikit pun tindak tanduk segelintir kaum wanita ini tidak menggambarkan kesopanan, kesusilaan dan tindakan budiman yang aku kira lelaki atau perempuan harus amalkan. Sebab penghormatan bagi aku bukanlah milik gender tetapi milik individu. Masih lagi play victim ini yang merimaskan aku.
Jadi setelah beberapa kejadian dalam koc wanita, aku dengan sendiri membuat keputusan untuk menggunakan empat koc yang lain yang bukan koc wanita setiap kali aku bergerak menggunakan komuter. Tindakan aku ini menggunakan persoalan daripada teman-teman wanita aku. Persoalan pertama, “Tak bahaya kah babe?”
Disebabkan aku sejenis perempuan yang mampu mengurus ketakutan sendiri aku kira bab-bab bahaya ini sedikit sahaja kebarangkalian yang akan berlaku. Aku tidak menidakkan kebarangkalian itu tetapi aku belajar apakah yang dimaksudkan dengan pencabulan seksual di dalam kelas maka aku ada mekanisme bela diri yang aku sendiri amalkan. Dan aku kira dalam koc yang ada lebih kurang 50 orang lelaki dan wanita, gangguan itu barangkali hanya akan datang daripada seorang sahaja, takkan 48 orang yang lain tidak mahu bantu aku ye dak? Tambah-tambah aku perempuan yang cantik pulak. Heeee.
Soalan berikutnya yang makwe (teman-teman wanita) aku tanya, “I rasa tak adillah kita perempuan untuk guna koc lelaki sebab kita dah ada koc perempuan. You rasa macam mana?”
Jawab aku: Kalau betul-betul nak asingkan lelaki dan perempuan, nisbah koc haruslah 50:50. Ini ada 6 koc, 2 sahaja untuk perempuan. Padahal perempuan dekat Malaysia ni separuh tau daripada populasi penduduk Malaysia.
Jadi aku kira sebenarnya tiada keperluan koc wanita ni sebab koc wanita ini tidak menyokong prinsip-prinsip persamaan hak antara lelaki dan perempuan. Implementasi pembahagian koc mengikut gender ini susah sebenarnya sebab macam mana kita nak asingkan yang bergerak dengan satu keluarga yang terdiri daripada lelaki dan perempuan?
Nak asing-asing apa lah, kalau disiplin nak tunggu orang keluar tren bagi habis dulu pun tak berjaya rakyat Malaysia nak amalkan lagi, ye dakk?
Commentaires