top of page

Masa

  • Abdul Rahman Shah
  • Mar 8, 2017
  • 3 min read

Cuba bayangkan kamu sedang berseronok di salah sebuah pusat membeli belah. Sangat seronok kerana akhirnya berjaya membeli baju atau gajet ataupun buku yang kamu berbulan mengikat perut mengumpul duit untuknya. Dengan hati yang riang ria gembira kamu lihat masa masih awal dan fikirkan untuk pergi makan. Semasa berjalan menghampiri eskalator kamu tekun memikirkan apakah yang ingin dimakan untuk hari ini. Kerana diri sudah gembira, keinginan untuk makan di kedai mahal seperti sushi ke apa mula menjadi-jadi, tetapi: Booommm! Sebuah ledakan yang kuat didengari dan sebelum badan dapat memberi reaksi pada dentuman tadi, kamu sedar diri sudah 10 kaki ke udara. Ditolak sebuah tekanan yang kuat, pengsan sebelum jatuh kembali. Apabila tersedar kembali kamu dalam keadaan mamai sedikit, telinga berdesing kuat, badan terhuyung hayang, tidak tahu dimanakah kamu dan apakah yang sedang dibuat. Secara perlahan memori sebelum letupan kembali, seperti empangan yang bocor, memori keluar sedikit demi sedikit dan akhirnya membanjiri seluruh kawasan hutan. Nafas mula pendek, jantung berdegup deras. Dalam runtuhan habuk memenuhi rongga-rongga badan membuatkan kamu terbatuk-batuk mencari air. Tetapi semua ini masih tidak mengejutkan kamu lagi dalam realiti sehinggalah terlihat sekujur tubuh terdampar atas batu konkrit. Selepas satu, yang kedua, yang ketiga, dari besi menusuk kepala ke bahagian tubuh terputus tercampak jauh dari badan. Seluruh kawasan diwarnai kelabu habuk dengan merah darah. Lutut kamu jadi lemah dan jatuh terlutut atas serpihan batu. Dalam panik kamu menyemak adakah seluruh anggota badan masih bersama tuannya, adakah ada kecederaan berat di mana-mana. Tetapi tiada. Mungkin dalam sejarah manusia terselamat dari tragedi seperti ini, mungkin kamu antara yang bernasib baik. Dalam merangkak kamu bangun semula mencari jalan keluar. Empat tingkat sudah menjadi dua setengah tingkat. Kamu ingin menjerit tetapi debu habuk telah mengambil suaramu untuk seketika. Ini adalah masa adrenalin bekerja lebih masa, survival diri paling utama. Tak... Tak... Tak... Tak... Bunyi tapak kaki kedengaran, bermakna ada orang lain di kawasan ini. Jika itu penyelamat, fuh, lega hati, kalau antara yang terselamat, boleh berkongsi maklumat dan cari jalan keluar bersama-sama. Tetapi apa yang kamu melihat lain rupanya. Seorang gadis muda yang bergaun lace hitam labuh siap dengan sarung tangan seperti kostum dari era gothic sedang berjalan dengan lembut di atas semua serpihan batu dan kaca. Putih kemerah-merahan, bibirnya bak delima merekah, matanya seperti kaca yang boleh tembus melihat kamu. Dan paling aneh, gadis ini tidak berkasut. Dia berkaki ayam berjalan lembut atas segala serpihan tetapi tiada satu pun kecelaan pada dirinya. Dia nampak seperti baru sahaja menghadiri sebuah photoshoot daripada salah seorang mangsa dalam kecelaruan ini. Dia mula berjalan kearahmu. Setiap langkah yang dia ambil membuatkan seluruh jiwa dan ragamu menjadi berat. Beberapa langkah lagi diambil, dan lututmu jatuh. Dia tersenyum dan mendekati sekujur tubuh di sebelah kamu dan menyentuhnya lembut. Pada saat itu akalmu sudah memahami siapakah dia walaupun dirimu masih tidak mahu menerimanya. "Tidak, bukan di sini, bukan begini, aku masih muda, aku masih belum menjumpai cinta hidupku, tidak tidak!” Air mata akhirnya bertitisan dan pasrah memenuhi dada. Kamu melutut tewas. "Angkat dagumu, masamu belum tiba" "Jika bukan sekarang, bila? Bolehkah saya keluar dari neraka ini?" Dia ketawa kecil pada soalanmu sebelum menyambung, "Masamu belum tiba, tetapi yakini kita akan bertemu lagi. Bila? Ianya pada masa depan, ianya pada sekarang, ianya pada masa lampau. Yakinlah saya sudahpun lalui perjumpaan ini berjuta kali, tetapi kamu hanya menyedarinya sekarang, begitu juga pada hari kita akan bertemu lagi, berjuta variasi sudah berlangsung, variasi mana yang kamu akan mengalami, hanya kamu yang akan sedari nanti" "Apakah makna semua ini? Adakah hidup terikat dalam sebuah determinasi yang tidak berubah?" "Oh saudaraku, cuba bayangkan beribu pilihan hidup yang kamu buat untuk hidupmu tiba ke masa ini, dan berjuta lagi pilihan hidup yang kamu ambil selepas ini tetap akan menemukan kita lagi. Pertemuan kami tidak boleh dielakkan, tetapi situasi di mana kami bertemu adalah atas dirimu sendiri. Hidup seperti seorang manusia, dan kita akan bertemu semula seperti kawan lama. Hidup seperti durjana, dan mungkin bukan wajah ini yang akan ditatapmu nanti" "Tapi..." sebelum kamu menghabiskan ayat, gadis bergaun hitam tersebut meletakkan jarinya dibibirmu dan tersenyum. "Apabila kamu sedar, semua ini seperti mimpi sahaja" Secara perlahan kesedaran kamu hilang, benarlah kata orang, orang mana yang kata kamu tidak ingat, yang tidur itu seperti mati. ********** Apabila kamu akhirnya sedar, kamu sudah pun diselamatkan pasukan penyelamat dan kini sedang berehat di hospital. Ibumu sedang tidur di kerusi sebelah katil hospital, mungkin ayahmu keluar membeli air. Surat khabar di tangan ibumu menulis perihal letupan tempoh hari, rupanya paip air di bawah pusat ini meletup menghancurkan beberapa asas bangunan yang kritikal. Sebuah skandal mengenai siapa yang meluluskan projek sudah bermula tanpa sedikit pun perasaan sayu untuk mangsa. Akhirnya mangsa semua prop sahaja untuk drama mereka. Kamu baring semula cuba mengingati sesuatu yang penting tetapi tidak ingat ianya apa. Hanya satu sahaja terngiang-ngiang dalam kepala sejak terjaga. “Jadilah manusia.”


 
 
 

Comentários


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page