top of page

Kenapa Macam Gila Sangat Feminis Dekat Malaysia Ni?

  • Aqilah Abd Samad
  • Mar 8, 2017
  • 3 min read

Aku rasa terpanggil untuk menulis artikel ni selepas Ayah aku meninggalkan komen pada satu artikel yang aku kongsi di Facebook yang membicarakan kesilapan-kesilapan feminis di India yang menyebabkan orang ramai tertanya perlu kah gerakan ini?

Sebelum aku menulis dengan lebih lanjut eloklah aku memberi sedikit pencerahan tentang definisi feminism.

“fem·i·nism

the advocacy of women's rights on the basis of the equality of the sexes.”

Jadi dalam bahasa mudahnya feminism ini merupakan satu gerakan yang mendesak sistem yang tidak adil dan mengamalkan deskriminasi gender terutamanya terhadap kaum wanita.

Feminism ini bermula pada zaman di mana wanita dipandang sebagai jantina sekunder dan wanita dipandang tidak mampu untuk berfikir dan bertindak dengan baik sepertimana lelaki. Gerakan ini bermula dengan desakan-desakan seperti hak wanita untuk mengundi dan gaji yang sama dengan rakan sekerja lelaki mereka.

Dalam artikel ini aku tidak mahu berbicara panjang tentang sejarah gerakan ini tetapi apa yang aku kira penting untuk dibincangkan ialah gerakan feminism di Malaysia dan kepincangan hero-hero feminis yang merosakkan gerakan pemikiran yang pada mulanya mendesak kepada persamaan hak.

  1. Self-proclaimed feminis di Malaysia sering kali muncul di media sosial atas isu-isu picisan seperti isu tudung, aurat, gangguan seksual yang akhirnya mereka membuatkan perbincangan itu berakhir dengan hujah “Kami perempuan dan isu-isu ini semua salah lelaki”.

  2. Self-proclaimed feminis juga tidak berjaya meraikan kepelbagaian latar belakang wanita di Malaysia kerana mereka sering mengatakan untuk menjadi wanita kuat itu perlulah sentiasa di bawah spotlight dan membawa seribu satu kejayaan kepada negara. Misalnya hujah mereka tentang wanita-wanita di dalam berita dunia seperti Yuna dan sebagainya lalu dibandingkan dengan lelaki Malaysia seperti skandal korupsi dan perogol bersiri. Hujah ini hanyalah untuk mewujudkan rasa superiority tentang wanita.

  3. Self-proclaimed feminis juga gagal dan akan terus gagal mendesak persamaan dan perbincangan terbuka tentang isu-isu wanita sekiranya masih menggunakan dua pendekatan di atas iaitu play victim dan superiority.

Jadi untuk mengajak ke arah masyarakat yang lebih baik, perbincangan isu-isu separuh daripada populasi dunia iaitu isu-isu wanita haruslah keluar daripada kelompok wanita sahaja dan gerakan yang mendesak kepada persamaan hak ini haruslah didokong oleh kaum lelaki juga. Ada beberapa isu yang layak dipertimbangkan untuk dibicara.

Pendidikan menyeluruh kepada kaum wanita. Isu pendidikan ini sebenarnya bukan isu gender tetapi lebih kepada isu global. Jika hendak dibincangkan pendidikan kaum wanita di Malaysia jauh lebih baik daripada peluang kepada pendidikan di negara-negara lain. Tetapi kita tidak harus lupa, sistem pendidikan kita tidak memberi peluang yang baik kepada kelompok-kelompok yang kurang bernasib baik seperti golongan miskin, kaum Asal, pelarian dan lain-lain. Jika peluang kepada pendidikan kepada golongan ini tidak ada yang ambil cakna eloklah kita sama-sama ucapkan selamat tinggal kepada masyarakat dan negara yang lebih baik.

Perlindungan secara menyeluruh kepada kaum wanita. Perlindungan secara menyeluruh ini termasuklah akses kepada perkhidmatan kesihatan. Kenapa kesihatan wanita ini dianggap sebagai satu isu penting? Kita jangan lupa di Malaysia, wanita mempunyai jangka hayat yang lebih panjang daripada lelaki dan eloklah kita amik kira isu-isu kesihatan wanita sebab nisbah penggunaan fasiliti kesihatan di Malaysia adalah lebih tinggi dalam kalangan kaum wanita berbanding kaum lelaki. Salah satu sebabnya wanita lebih cepat peka akan kesihatan dan kesejahteraan diri berbanding lelaki (sebab hangpa suka berlagak tough. Booo). Jadi bagi menggalakkan ekonomi negara yang lebih baik, pencegahan penyakit-penyakit kronik yang disebabkan oleh sistem tubuh badan wanita haruslah sampai kepada semua wanita daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan ekonomi. Kos untuk mencegah penyakit-penyakit ini sebenarnya lagi rendah berbanding kos untuk mengubati.

Yang lebih elok dibincangkan juga sekiranya ingin berbicara mengenai pemerkasaan wanita ialah kelompok-kelompok wanita yang seharusnya dilindungi oleh kaum wanita sendiri iaitu wanita tua, kanak-kanak dan remaja perempuan. Jika ingin berbicara mengenai perlindungan kepada wanita tua termasuklah wanita yang kita lihat sudah uzur tapi masih mengemis mahupun melakukan kerja-kerja buruh di kedai makan. Kenapa tidak ada gerakan wanita yang keras melawan bagi memberi perlindungan dan sedikit kehidupan yang lebih baik kepada ibu-ibu kita ini?

Juga kenapa wanita-wanita sendiri susah sekali untuk menyantuni anak-anak perempuan dan adik-adik perempuan mereka yang masih dalam isu-isu perkembangan utama mereka pada masa ini iaitu ‘mencari perhatian’ sehingga anak-anak dan adik-adik perempuan mereka terpaksa mencari perhatian di luar. Lalu anak-anak perempuan dan adik-adik perempuan menjadi mangsa sexual grooming sehingga tahap yang lebih teruk membawa kepada isu mengandung luar nikah. Isu-isu ini merupakan isu yang sangat fragile dan remaja-remaja perempuan yang terlibat dalam isu pula sering kali dipandang hina oleh masyarakat dan yang lebih teruk lagi dibuang keluarga. Kelemahan institusi kekeluargaan ini bukan sahaja berpunca daripada lelaki tetapi daripada wanita yang tidak memberi perlindungan kepada anak-anak dan adik-adik mereka sendiri.

Jadi, relevan kah feminism di Malaysia ini?

Aduh. Haruslah.


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page