top of page

Yang Buta Melihat, Manakala Yang Boleh Melihat Pula Buta

  • Imran Zaki
  • Mar 3, 2017
  • 4 min read

Malam itu agak sunyi. Hampir keseluruhan pelajar pulang ke kampung untuk Tahun Baru Cina. Angin bertiup lembut menggigit seluruh tubuhku. Dingin. Udara segar Kuala Kubu terasa menyihatkan berbanding Kuala Lumpur yang terperangkap dalam pekat jerebu. Aku bersegera masuk ke biliknya, memandang wajahnya sekilas. Senyum, walaupun dia sendiri tak mampu mengetahui apakah mimik mukaku. Seperti biasa, aku harus tetap meneruskan bacaan Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki tulisan Dr Mat Rofa untuk dia, seorang insan buta penglihatan.

“Kau tahu baju kau ni warna apa?”

“Aku memang nampak warna sama sahaja sepanjang hari.”

Setiap orang mempunyai daya imaginasi yang sangat terhad. Kita selamanya tidak mampu membayangkan bagaimana imej Tuhan kerana daya khayalan sangat terbatas. Bahkan jika diperhatikan bentuk-bentuk Tuhan-tuhan yang direka, semuanya tidak lari dari imej makhluk manusia mahupun haiwan.

Begitu juga bagi anak buta ini, dia tidak mampu membayangkan lebih daripada apa yang pernah dilihat, dan apakah perkara yang dia boleh bayangkan sedangkan dia sudah buta sejak kecil? Oleh kerana dia tidak mampu melihat, maka dia tidak dapat bezakan pun siapakah lebih agamawan hanya kerana tingginya kopiah atau serban.

“Kau tahu aku pakai jubah?”

“Entah, manalah aku nampak.”

“Kau tahu imam isyak tadi pakai seluar jeans?”

“Soalan apalah kau tanya ni, aku bukan nampak apa. Apa yang aku nampak, semua orang itu sama.”

Malam semakin kelam dan tenggelam. Angin lembut yang mendayu-dayu tiba-tiba bertukar ganas. Jauh kami berlari tajuk malam ini, melawan rasa mengantuk yang kian datang menjelma. Mataku lebih melilau lalu tertancap pada timbunan buku tersusun rapi tidak berusik. Mejanya sedikit tersorok. Dia menghulurkan aku sepaket coklat.

Apa yang seorang buta dapat fahami hanyalah pemahaman agama secara maknawi, bukan zahiri ataupun literal luaran. Hal ini kerana si buta tidak mampu melihat. Jadi apa yang dilihat semuanya sama. Tiada pengklasifikasian tentang bentuk luaran yang kebanyakan orang agama agung-agungkan.

Namun agama hari ni seakan kehilangan roh. Agama menjadi pentas untuk memperagakan serban yang paling tinggi, agama dijadikan modal besar kapitalis dalam perniagaan agama. Baru-baru ini juga kita dikejutkan dengan perniagaan Valet Doa. Perkhidmatan menghantar doa ke Baitullah supaya lebih makbul dengan bayaran tertentu. Inilah masalah agamawan yang terjadi dalam realiti masyarakat Melayu Islam hari ini. Melacurkan agama untuk keuntungan. Sudah-sudahlah, agamawan sepatutnya mengkedepankan paradigma Al-Quran. Bukan hanya dilagukan atau dihafaz, namun dihayati dengan sebenar-benarnya mengikut konteks yang benar.

Menurut Za’ba dalam bukunya, Mencapai Keluhuran Budi, menegaskan bahawa agama mengajar empat perkara; salah satunya (1) menyuruh percaya dan berbuat baik dan (2) melarang jangan tidak percaya dan jangan berbuat jahat. Penegasan Za’ba dalam umum agama ini sangat bertepatan bahawa semua agama itu bertujuan menjadikan manusia itu manusia. Agama ialah nasihat, dan secara tidak langsung, moral itu sudah distruktur oleh agama itu sendiri.

Allah menurunkan kitab Al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW melalui Jibril AS, yang membawa revolusi perubahan yang menggugat budaya dan pemikiran penduduk Mekah. Islam adalah agama yang menuntut ke arah seruan pengislahan dan pembaharuan. Tujuan terpenting pesan Al-Quran bagi mewujudkan sebuah tatanan sosial yang ideal. Agama menjadi sumber penting dalam menyampaikan pesan moral dan memandu manusia dalam kehidupan. Namun, apakah yang kita lihat hari ini? Berpusu-pusu manusia mula menyarung jubah, cananglah serba sedikit hal agama, kerana menjadi agamawan ini kalis daripada kritikan. Maka tanyakan kembali, apakah semurah ini harga agama? Apakah nabi diutuskan untuk hal sebegini?

Syed Naquib Al-Attas ada menyenaraikan sejumlah permasalan umat Islam, antara masalah terpenting yang dihadapi oleh umat Islam kini ialah masalah ilmu pengetahuan. Pengetahuan dan pengamalan agama di Malaysia nampaknya tidak dapat menggerakkan masyarakat yang lebih progresif dalam menghadapi pelbagai kehidupan yang rencam. Ini bukanlah salah agama, namun budaya keagamaan ini kita yang bina. Agama bukanlah suatu candu dan madah jua untuk menidurkan manusia. Perkembangan ke hadapan dalam pendidikan adalah paling terpenting dalam usaha membangunkan masyarakat yang mengangkat nilai-nilai kemanusiaan, keadilan dan keharmonian.

Berbalik kepada sejarah kemelut pertembungan kezaliman pemerintah yang mendorong kepada revolusi gerakan seperti Ikhwanul Muslimin hingga terjadinya pembunuhan Presiden Anwar Sadat pada 1981, mempamerkan bagaimana ketika itu kaum agamawan begitu ke hadapan melawan kerosakan di dalam negara sehingga rela syahid di medan perjuangan menentang kezaliman. Mereka bukan sahaja membaca kitab-kitab, bahkan merealisasikan wahyu Tuhan ke dalam praktis lapangan sosial dan budaya.

Aku menghela nafas sambil membetulkan kaca mata bulatku. Buku itu terbuka tanpa diteruskan bacaannya. Bab kajian etnografi Turki-Tanah Melayu hanya dipandang kosong. Bising-bising kucing bergaduh nampaknya semakin hangat. Entah apa lagi yang dipertembung mereka.

“Kau dah mengantuk?”

“Belum lagi”, jawabku senyum.

Ibnu Khaldun dalam Al-Muqaddimah ada menulis, “Kezaliman itu mengizinkan kehancuran tamadun berlaku. Para pengumpul harta tanpa jalan yang benar adalah golongan penzalim, orang yang melampau ke atas harta adalah golongan penzalim, orang yang mencerobohnya adalah golongan penzalim, dan orang yang menceroboh hak-hak manusia adalah penzalim. Sekalian penyakit itu akan kembali ke atas negara dengan keruntuhan tamadun yang menjadi kandungannya, lantaran sudah berlalu cita-cita daripada penduduknya. Ketahuilah, ini adalah hikmah dan tujuan syariah dalam mengharamkan kezaliman, iaitu kerosakan tamadun dan keruntuhan yang timbul daripada kezaliman. Ia mengizinkan keterputusan kualiti manusia berlaku.”

Ayat Al-Quran yang sarat dengan nilai dan moral kehidupan bukan sahaja dibacakan hari-hari melalui solat, tahlil mahu pun bacaan doa, bahkan harus diterjemahkan dalam tindakan bagi membentuk pandangan universal dalam menghadapi perubahan sosial, budaya dan masyarakat.

Kami diam sesama sendiri. Masing-masing seperti berfikir sesuatu. Jam sudah menunjukkan jam 1.45 pagi. Malam itu, menyedarkan aku bahawa betapa tenggelamnya kita kepada hal-hal remeh temeh hingga meninggalkan hal yang utama. Mata kita yang terbuka luas akhirnya dilingkung oleh tembok-tembok kebencian sesama kita. Sedang dia si buta lebih merdeka melihat.

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

(Al-Ankabut 29:69)

Kian lama kian sunyilah tanah Kuala Kubu Bharu ini. Bukit-bukit yang tegak dengan teguhnya menjadi kubu laksana pengawal setia berdiri meneguhkan bumi. Kubu-kubu ini umpama manau, seperti kau tahu, seribu kali empat haram tak patah. Angin masih kencang. Aku keluar dari biliknya, bersegera naik ke tingkat atas, masih tidak berhenti berfikir, apakah aku ini dibutakan?

*Imran Zaki ialah salah seorang peserta Bengkel Menulis ZF Zamir anjuran Thukul Cetak


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page