Etika & Pegangan Yang Hilang Di Dalam Hackshaw Ridge
- Lucy Montok
- Mar 2, 2017
- 2 min read

Desmond Doss meskipun tidak mengangkat senjata, dia memihak kepada invasi Amerika ke atas Jepun dengan menawarkan diri ke dalam pasukan tentera. Dia bergelut di medan perang agar tentera Jepun tidak berupaya membidik rakannya sementara rakan pasukannya pula mampu untuk menembak tentera-tentera Jepun. Hacksaw Ridge mensasarkan kepada dilema etika. Mahukah engkau membunuh seorang manusia untuk kesejahteraan 100 orang manusia? Zalimkah engkau bila menyingkirkan seorang lelaki tua untuk menyelamatkan 10 orang kanak-kanak?
Pegangan moral dan etika terus dibentak dan dihenyak sepanjang filem berlangsung. Semua orang percaya apa yang Desmond pilih untuk lakukan sebagai benar, tapi dalam perang, all is fair. Jika Desmond berada dalam pasukan tentera yang berasal dari negara kecil dan miskin seperti Jordan, adakah pegangan Desmond akan berubah bila melihat setiap dari apa yang berada di sekelilingnya dijarah oleh kuasa besar?
Sudah bertahun, konsep Negara memisahkan semua orang dan menyaksikan jutaan perang- yang mana kononnya perang untuk mengakhiri semua perang berlaku atas nama kesejahteraan Negara. Desmond percaya kepada konsep ini walaupun tingkat kemanusiaannya dilihat berada di peringkat yang tertinggi.
Menonton Hacksaw Ridge benar-benar menyakitkan hati. Kerana ia mendobrak pegangan diri. Kerana Desmond Doss cuba menyogok idea yang dunia yang dipenuhi dengan peluk dan cium itu mampu wujud.
Realitinya, semua yang pernah menjerit mengenai Kapitalisme, Neo-Liberalisem, Revolusi, Penindasan, Kelas, Tertindas, Patriarki, tahu suatu hari nanti perlawanan akan tercetus. Bila ia tercetus, ia bukanlah perang bantal peluk melainkan perang yang benar. Perang melawan sang penindas. Perang di mana segala apa yang berada di belakang penindas yang mampu dijadikan sebagai alat penindas dan semua yang berada di antara sang penindas dan mereka yang melawan akan didobrak sepenuhnya. Aparat Negara, lebai agama yang korup, bocah-bocah sang penindas- semua ini akan dihenyak dan dilawan.
Maka beritahulah, adakah sepanjang perang ini, tidak akan ada setetes pun darah yang bakal tertumpah?
Dan beritahulah lagi, jika kemanusiaan itu harus didahulukan, siapakah yang sanggup menanggalkan kemanusiaannya, memikul dosa-dosa kutukan janda dan anak yatim yang kehilangan ayah dan suami mereka yang dulunya adalah seorang menteri yang korup, untuk membina dunia yang lebih baik yang diimpikan oleh semua orang yang pernah ditindas oleh menter korup sepertinya?
Siapa saja yang pernah melaungkan revolusi, haruslah sedar tangannya akan berlumuran darah.
Sama ada darahnya sendiri, atau darah lawannya di medan juang.
Comments