top of page

Representasi Intelektual – Edward Said (Bahagian 2)

  • Writer: thukulcetak
    thukulcetak
  • Feb 28, 2017
  • 8 min read

Penceritaan Turgenev berkenaan kehidupan di Rusia pada tahun 1860-an sentiasa tenang dan bebas dari konflik: orang-orang muda yang berharta mewarisi tabiat hidup dari ibu bapa, mereka berkahwin dan mendapat anak, dan kehidupan berterusan seperti biasa. Begitulah keadaannya sehingga Barazov, seorang yang bebas jiwanya tetapi sangat bersemangat muncul dalam kehidupan mereka. Perkara pertama yang kita dapati dari watak ini ialah dia telah memutuskan hubungan dengan kedua-dua orang tuanya, dan karakternya seolah-olah terhasil dengan sendirinya tanpa panduan orang tua. Barazov mencabar rutin harian, mengutuk kesederhanaan dan klise, berkeras dengan nilai saintifik baru yang tidak sentimental, yang kelihatan rasional dan progresif. Menurut Turgenev, beliau enggan mencantikkan watak Bazarov; sememangnya beliau mengkehendaki agar watak itu “kasar, tidak berhati perut, angkuh dan biadab.” Bazarov mengetawakan keluarga Kirsanov, beliau ketawa berdekah-dekah apabila si bapa yang di pertengahan usia memainkan lagu Schubert. Bazarov membawakan idea-idea sains kebendaan Jerman: pada beliau alam sekitar bukanlah untuk ditakuti dan dipuja, sebaliknya merupakan alat untuk penghasilan. Apabila Bazarov jatuh cinta dengan Anna Sergeyevna, Anna tertarik dengannya tetapi dalam masa yang sama takut dengannya: pada Anna, tenaga intelektual Bazarov yang lepas bebas dan tidak terkawal bakal mengundang huru-hara. Kata Anna pada satu ketika, berada dengan Bazarov seperti meniti di tepian yang curam.

Keindahan dan kesengsaraan novel ini ialah perlambangan yang dibawakan Turgenev; Rusia yang dikuasai oleh keluarga-keluarga, penerusan cinta dan kasih sayang terhadap ibu bapa, cara lama, semuanya bertentangan dengan Bazarov yang mengacau aturan lama dengan serangan nihilis, Bazarov yang sejarah hidupnya berbeza dengan semua karakter dalam novel, dan pertentangan ini seakan-akan mustahil untuk diceritakan. Bazarov muncul secara tiba-tiba, mencabar dunia, dan seperti itu juga dia mati, dijangkiti oleh orang kampung yang sedang dirawatinya. Apa yang kita ingat tentang Bazarov ialah kekuatan semangatnya yang padu dalam pencarian, dan mindanya yang sentiasa berkonfrontasi, dan walaupun Turgenev mendakwa bahawa Bazarov merupakan watak tulisannya yang paling tidak berhati perut, Turgenev sendiri dikelirukan dan sehingga satu tahap dihentikan oleh tenaga intelektual Bazarov yang semberono, dan bermacam reaksi oleh pembacanya yang membingungkan. Sesetengah pembacanya menyangka Bazarov merupakan serangan terhadap pemuda, sesetengah yang lain memujinya sebagai wira sebenar; dan yang lain-lain menganggapnya bahaya. Apa jua yang kita rasakan tentang peribadinya, Fathers and Sons tidak dapat memenuhi keperluan Barazov sebagai karakter dalam naratif, sedangkan rakan-rakannya, keluarga Kirsanov, bahkan kedua-dua ibu bapanya yang menyedihkan meneruskan hidup mereka tanpa gangguan. Penentangan dan kekerasan jiwanya sebagai intelektual mengangkatnya keluar dari jalan cerita; Bazarov tidak sesuai dengan naratif itu, dan tidak sesuai untuk kehidupan orang biasa.

Hal ini ditunjukkan dengan lebih jelas dengan watak muda tulisan Joyce, Stephen Dedalus, yang seluruh kerjaya awalnya berulang-alik antara pujuk rayu institusi seperti gereja, tugas mengajar, nasionalisme Irish dan kemunculan dengan perlahan peribadi mandirinya yang kental sebagai seorang intelektual, dengan moto non serviam Lucifer. Seamus Deane membuat pemerhatian yang sangat baik berkenaan buku Joyce, Portrait of the Artist: katanya, “novel ini merupakan novel yang pertama dalam bahasa Inggeris yang benar-benar mempersembahkan kecintaan terhadap daya berfikir.”Protagonis Dickens, Thackeray, Austen, Hardy mahupun George Elliot bukanlah pemuda pemudi yang mengutamakan perkembangan pemikiran dalam masyarakat, sedangkan mengikut Dedalus, “berfikir merupakan cara untuk mengalami dunia.” Deane tepat dalam menyatakan bahawa sebelum Dedalus, seruan intelektual hanya mempunyai jelmaan hodoh dalam fiksyen Inggeris. Namun kerana Stephen hidup di wilayah jajahan, dalam suasana kolonial, dia perlu membangkitkan kesedaran intelektual yang serba tahan sebelum dia boleh menjadi seorang artis.

Di penghujung novel Stephen Dedalus bersikap kritikal dan menjarakkan diri dari keluarganya dan orang-orang Fenian, sama seperti reaksinya terhadap mana-mana ideologi yang akan mengurangkan keperibadian dirinya dan personalitinya yang selalunya sangat tidak menyenangkan. Seperti Turgenev, Joyce menunjukkan betapa tidak serasinya antara intelektual muda dan perjalanan rutin kehidupan manusia. Apa yang bermula dengan cerita biasa seorang pemuda yang membesar dalam keluarga, masuk ke sekolah dan universiti, berubah menjadi satu siri catatan dalam buku nota Stephen yang sukar difahami. Sang intelektual tidak akan menyesuaikan diri dengan kehidupan berkeluarga atau rutin yang tidak berubah. Dalam ucapan paling terkenal dalam novel itu Stephen menyatakan apa yang sebenarnya faham kebebasan intelektual, walaupun gaya penyampaiannya yang melodramatik merupakan cara Joyce untuk mengurangkan kesombongan pemuda itu: “Aku akan katakan padamu apa yang akan aku buat dan apa yang tak akan aku lakukan. Aku tidak akan berjuang untuk apa yang aku tidak percaya lagi, biarpun ia rumahku, tanah airku atau gerejaku: dan aku akan luahkan pendirianku mengikut cara hidup atau seni sebebas dan sepenuh mungkin, dan mempertahankan diriku dengan apa senjata yang aku benarkan untuk diriku- dengan diam, pengasingan diri dan kelicikan.”

Namun begitu dalam Ulysses sekalipun kita melihat Stephen tidak lebih dari seorang pemuda yang keras kepala dan suka membantah. Apa yang ketara dalam pegangannya ialah penegasannya tentang kebebasan intelektual. Hal ini merupakan isu yang besar dalam pencapaian intelektual memandangkan sekadar menjadi perengus dan pelemah semangat orang tidak sesuai untuk menjadi matlamat yang ingin dicapai. Tujuan aktiviti intelektual adalah untuk menegakkan kebebasan manusia dan pengetahuan. Saya percaya bahawa objektif ini kekal sama, di sebalik tuduhan berulang kali bahawa “penceritaan agung emansipasi dan pencerahan,” mengikut kata fisuf Peranciis Lyotard tentang cita-cita epik yang dikaitkan dengan zaman “moden” yang telah lepas, sudah tidak bernilai lagi di era pasca-moden. Mengikut pandangan ini naratif besar sudah digantikan dengan masalah tempatan dan permainan bahasa; intelektual pasca-moden sekarang menilai kebolehan, bukannya nilai sejagat seperti kebenaran atau kebebasan. Saya selalu menyangka bahawa Lyotard dan para pengikutnya mengakui kemalasan dan ketidakupayaan mereka, atau mungkin sikap acuh tidak acuh mereka tentang betapa luasnya peluang untuk berkhidmant yang ada untuk intelektual di sebalik pasca-modenisme. Kerana sesungguhnya kerajaan-kerajaan masih menekan orang ramai secara terang-terangan, ketidakadilan maha dahsyat masih berlaku, penggunaan dan penerimaan kuasa terhadap intelektual masih dapat mendiamkan suara mereka dengan berkesan, dan penyelewangan intelektual dari tujuan asal mereka terlalu kerap terjadi.

Dalam The Sentimental Education Flaubert meluahkan kekecewaan dengan intelektual, lebih dari orang lain, dan dengan itu beliau telah menghasilkan satu kritik yang sangat tajam. Berlatarbelakangkan kekacauan Paris pada tahun 1848 hingga 1851, zaman yang digambarkan oleh ahli sejarah British Lewis Namier sebagai revolusi intelektual, novel Flaubert merupakan panorama yang meluas tentang kehidupan bohemia dan politikal di “ibu kota abad kesembilan belas.” Fokus kisah ini ialah dua pemuda dari luar kota, Frédéric Moreau dan Charles Deslauriers, dengan tingkah laku mereka sebagai orang-orang muda di kota yang membayangkan kemarahan Flaubert tentang kegagalan mereka untuk kekal konsisten sebagai intelektual. Cemuhan Flaubert banyaknya disebabkan oleh harapan meninggi beliau tentang apa yang sepatutnya mereka jadi. Hasilnya ialah pengkisahan yang hebat berkenaan intelektual yang hanyut. Dua pemuda itu asalnya berpotensi menjadi cendekiawan undang-undang, pengkritik, ahli sejarah, penulis, filsuf dan dan ahli teori sosial yang mengutamakan kebajikan masyarakat. Akhirnya “cita-cita intelektual Moreau…pudar begitu sahaja. Bertahun-tahun berlalu dan dia menanggung kekosongan mindanya dan kemalasan jiwanya.” Deslauriers menjadi “pengarah kolonisasi Algeria, setiausaha kepada seorang pasha, dan agen pengiklanan;… kini beliau menjadi peguam kepada sebuah syarikat industri.”

Kegagalan 1848, menurut Flaubert, merupakan kegagalan generasinya. Nasib yang menimpa Moreau dan Deslauriers merupakan hasil dari fokus mereka yang tidak jelas dan akibat dari gangguan berterusan masyarakat moden, dengan keseronokan yang melalaikan dan lebih dari itu, kemunculan bidang kewartawanan, pengiklanan, selebriti segera dan peredaran tetap dalam sfera masyarakat, di mana semua idea boleh disebarkan, semua nilai boleh berubah, semua pekerjaan menjadi perlumbaan untuk wang yang lumayan dan kejayaan yang datang dengan segera. Oleh itu, babak-babak utama dalam novel ini diatur secara simboliknya sekitar perlumbaan kuda, tari-menari di kafe dan rumah pelacuran, tunjuk perasaan, perarakan, perbarisan dan rapat umum, di mana Moreau mencuba tanpa henti untuk mengejar cinta dan kepuasan intelektual, tetapi sentiasa berdepan halangan.

Kisah Bazarov, Dedalus dan Moreau merupakan contoh yang keterlaluan, tetapi mereka memenuhi matlamat penulisannya. Ini sesuatu yang dicapai dengan baik oleh novel panoramik dan realistik abad kesembilan belas, untuk menunjukkan kita intelektual yang sedang beraksi dan diganggu dengan mehnah dan godaan yang banyak, sama ada untuk meneruskan atau mengkhianati tugas mereka, bukannya sebagai tugas tetap untuk dipelajari sekaligus dari kitab intelektual, tetapi sebagai pengalaman baru yang diancam oleh kehidupan moden. Representasi intelektual, penyampaiannya tentang satu kepercayaan atau idea kepada masyarakat bukanlah untuk mengukuhkan ego atau meraikan status semata-mata. Ia juga bukan khidmat untuk birokrasi yang berkuasa dan majikan yang pemurah. Representasi intelektual merupakan aktiviti itu sendiri, bergantung pada pemikiran yang skeptikal, yang sibuk dan sentiasa komited dengan penyiasatan yang rasional dan penilaian moral, dan semua ini membuatkan individu itu diperhatikan dan dalam risiko. Mengetahui kaedah penggunaan bahasa dengan baik dan bila waktu yang sesuai untuk campur tangan dengan bahasa merupakan dua ciri penting tindakan intelektual.

Tapi apakah yang diwakili oleh intelektual pada hari ini? Antara jawapan yang paling baik dan jujur untuk soalan ini, fikir saya, merupakan jawapan C. Wright Mills, seorang intelektual bebas yang lantang dengan visi sosialnya yang ikhlas dan kemampuan yang menakjubkan untuk menyampaikan ideanya dalam bentuk prosa yang jelas dan meyakinkan. Beliau menulis pada tahun 194 bahawa intelektual bebas berdepan dengan dua pilihan, sama ada untuk berputus asa dengan kelemahan mereka dalam keterpinggiran, atau untuk menyertai institusi, syarikat-syarikat atau kaerajaan sebagai ahli kumpulan-kumpulan kecil yang membuat keputusan penting mengikut kehendak mereka tanpa rasa tanggungjawab. Menjadi agen “upahan” industri informasi juga bukan jalan penyelasaiannya, memandangkan hubungan dengan audien seperti yang dicapai oleh Tom Paine itu tidak mampu dicapai. Akhirnya “saluran komunikasi efektif,” yang merupakan kekuatan intelektual telah dirampas dan para pemikir bebas dibebankan dengan satu tugas besar. Menurut Mills:

Artis dan intelektual yang merdeka merupakan sekelompok kecil individu yang ada yang berkeupayaan untuk melawan dan menentang pengstereotaipan dan seterusnya kematian benda-benda yang benar-benar hidup. Pengamatan yang segar kini memerlukan tenaga untuk terus-menerus membongkar dan memusnahkan stereotaip tentang masa depan dan pemikiran yang digunakan oleh komunikasi moden untuk melemahkan kita. Dunia seni-massa dan pemikiran-massa semakin dibentuk mengikut kehendak politik. Kerana itulah solidariti dan tenaga intelektual perlu dipusatkan dalam perjuangan politik. Jika pemikir itu sendiri tidak mampu memahami nilai kebenaran dalam perjuangan yang politikal, beliau tidak mampu menanggung keseluruhan pengalaman itu dengan tanggungjawab.

Perenggan ini wajar dibaca berulang kali, kerana begitu penuhnya ia dengan tanda dan penekanan penting. Politik ada di mana-mana: tidak ada jalan keluar ke dunia yang semata-mata seni atau pemikiran, atau ke dunia objektiviti berkecuali dan teori spiritual. Intelektual hidup dalam zaman mereka, digerakan oleh politik representasi massa yang dijelmakan oleh industri media dan informasi yang hanya boleh dikekang oleh mereka dengan melawan imej, naratif rasmi, justifikasi atas kuasa yang disebarkan oleh media yang semakin berkuasa- bukan saja media, tetapi seluruh gaya pemikiran yang mengekalkan status quo dan mengawal keadaan dalam lingkungan perspektif rasmi yang boleh diterima penguasa- dengan apa yang dipanggil Mills sebagai pembongkaran atau versi alternatif yang digunakan sebaik mungkin oleh intelektual untuk menyampaikan kebenaran.

Tugas ini sama sekali bukan sesuatu yang mudah: intelektual sentiasa berdiri antara kesunyian dan pemihakan. Betapa sukarnya sewaktu Perang Teluk menentang Iraq, untuk mengingatkan rakyat bahawa A.S. bukanlah kuasa yang jujur, ikhlas dan tidak berkepentingan (penjajahan Vietnam dan Panama begitu mudah dilupakan oleh para pembuat dasar), bahkan ia tidak dilantik oleh sesiapa pun selain dirinya sendiri untuk menjadi polis dunia. Saya percaya bahawa inilah tugas intelektual pada ketika itu , untuk membongkar hal yang dilupakan, mengenal pasti perkaitan yang dinafikan dan menyuarakan tindakan alternatif yang sepatutnya dapat mengelakkan peperangan dan kemusnahan umat manusia yang datang dengannya.

Hujah utama C. Wright Mills ialah pertentangan antara masyarakat dan individu. Terdapat ketidakseimbangan yang ketara antara kekuasaan organisasi-organisasi besar, kerajaan dan syarikat-syarikat, dan kelemahan relatif individu dan manusia yang dikira sebagai makhluk bawahan, minoriti, orang kecil dan negara kecil, budaya dan bangsa rendah. Tidak ada persoalan lagi dalam fikiran saya bahawa intelektual berada di pihak yang sama dengan yang lemah dan yang diabaikan. Seperti Robin Hood, kata sesetengah orang. Tapi peranan ini tidak semudah itu, dan oleh itu ia tidak boleh dihiraukan begitu sahaja, seakan-akan ianya sekadar idealisme romantik. Asasnya, intelektual mengikut pemahaman saya bukanlah sekadar pendamai atau pembina konsensus, tetapi seseorang yang menggunakan seluruh jiwa raganya untuk menjadi kritikal, enggan menerima formula mudah atau klise biasa,menolak penerimaan penuh tolak ansur dan kerelaan dengan apa yang dikatakan dan diperbuat oleh penguasa atau pihak konvensional. Penolakan ini bukan penolakan pasif, tetapi penentangan aktif di khalayak umum.

Tugas ini bukan semata-mata menjadi pengkritik polisi kerajaan, tetapi tugas intelektual perlu dibayangkan dengan keadaan berjaga-jaga setiap masa, dengan kesungguhan yang berterusan untuk tidak membiarkan kenyataan separuh benar dan idea yang diterima bulat-bulat untuk mengawal sikap kita. Ini memerlukan realisme yang mantap, tenaga rasional yang aktif dan cergas, dan pertelingkahan rumit untuk mengimbangi masalah diri sendiri dengan desakan untuk menulis dan bercakap di ruang umum, dan semua ini menjadikan tugas intelektual itu satu usaha yang berterusan, sentiasa tidak lengkap dan tidak sempurna. Namun cabaran dan kesukarannya, sekurang-kurangnya bagi saya, akan menjadikan seseorang itu lebih kaya (pengalaman, pengetahuan??), meskipun tidak begitu popular.

p/s - Tulisan ini diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Ahmad Ibrahim Zakaria


 
 
 

Comentarios


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page