top of page

'Night' oleh Elie Wiesel (Bahagian 2)

  • Writer: thukulcetak
    thukulcetak
  • Feb 28, 2017
  • 3 min read

Sumber: CNN

Yahudi asing itu dilupakan dengan cepat. Beberapa hari selepas mereka dihalau, muncul khabar angin menyatakan mereka berada di Galicia untuk bekerja dan mereka sendiri sudah pasrah dengan nasib mereka. Hari terus berlalu dan minggu menjadi bulan. Kehidupan kami kembali normal. Angin tenang dan meyakinkan bertiup melalui rumah-rumah kami. Perniagaan para pekedai dalam keadaan baik. Para pelajar hidup di kelilingi buku mereka dan kanak-kanak pula riang bermain di jalanan.

Satu hari ketika saya mahu masuk ke dalam saumaah, saya ternampak Moishe sedang duduk di sebuah bangku di pintu masuk. Dia menceritakan kepada saya apa yang terjadi kepada dirinya dan mereka yang lain. Keretapi yang membawa mereka merentasi sempadan Hungary dan sebaik sahaja ia berada di dalam kawasan Poland, ia diambil alih oleh para Gestapo. Keretapi tersebut berhenti. Semua Yahudi diarahkan untuk turun dan naik ke atas lori yang sedang menunggu untuk menuju ke sebuah hutan. Sampai di sana, mereka semua diarahkan untuk turun. Mereka dipaksa untuk menggali parit-parit besar. Apabila mereka selesai menggali, para Gestapo memulakan kerja mereka.

Tanpa terburu-buru dan sebarang belas kasihan, mereka menembak semua tahanan mereka yang dipaksa untuk berdiri di tebing parit besar seorang demi seorang sambil menghulurkan leher. Bayi-bayi pula di baling ke udara dan dijadikan sasaran tembakan mesingan mereka. Ini berlaku di hutan Galician berdekatan Kolomay. Bagaimana pula Moishe berjaya melepaskan diri? Dengan keajaiban. Dia cedera di kaki dan ditinggalkan untuk mati...

Hari demi hari, malam demi malam, Moishe menuju ke satu demi satu rumah orang Yahudi untuk menceritakan kisahnya, kisah Malka si gadis muda yang terbaring selama tiga hari sebelum mati dan kisah Tobie si tukang jahit yang merayu untuk mati selepas anak-anak lelakinya dibunuh.

Moishe tidak lagi seperti dulu. Keceriaan yang terpancar di matanya sebelum ini sudah hilang. Dia tidak lagi menyanyi. Dia tidak lagi bercakap tentang Tuhan atau Kabbalah. Dia hanya bercakap tentang apa yang dilihatnya. Tetapi orang bukan sahaja tidak mempercayai kisahnya, mereka langsung tidak mahu mendengar. Ada yang mencadangkan bahawa dia sebenarnya hanya mahu dikasihani dan dia hanya berkhayal. Ada pula yang yakin dia sudah gila.

Moishe pula terus menangis dan merayu: "Wahai Yahudi semua, dengar cakap saya! Itu sahaja yang saya minta. Bukan duit. Bukan belas kasihan. Saya cuma mahu kamu dengar cakap saya!" Dia terus menjerit di dalam saumaah di antara waktu doa fajar dan malam. Malah saya sendiri tidak percaya cerita Moishe. Saya selalu duduk bersamanya selepas berdoa dan mendengar ceritanya dan cuba memahami penderitaannya. Tetapi apa yang saya rasa hanyalah belas kasihan. "Mereka fikir saya gila," bisiknya sambil air matanya mengalir seperti lilin yang cair.

Pernah sekali saya bertanya kepadanya: "Kenapa kamu begitu mahu orang mempercayai cerita kamu? Jika saya menjadi kamu, saya tidak akan kisah samada mereka mahu percaya atau tidak..."

Dia menutup matanya seolah-olah mahu menghilangkan diri.

"Kamu tidak faham," katanya dengan kecewa. "Kamu tidak mampu faham. Keajaiban menyelamatkan saya. Saya berjaya kembali semula ke sini. Dari mana saya mendapat kekuatan? Saya mahu kembali ke Sighet untuk menerangkan kepada kamu tentang kematian saya supaya kamu boleh bersiap-sedia ketika masa masih ada. Hidup? Saya tidak kisah lagi tentang hidup. Saya bersendirian. Tetapi saya mahu kembali dan memberikan amaran kepada kamu. Cuma tiada siapa yang mahu mendengar cakap saya..."

Semua ini berlaku pada hujung tahun 1942.

Selepas itu, hidup kelihatan kembali normal. Radio London yang kami dengar setiap malam mengumumkan berita positif: pengeboman harian dijalankan di Jerman dan Stalingrad sebagai persediaan Serangan Kedua. Kami pula, Yahudi dari Sighet, menunggu hari-hari baik yang pastinya lambat-laun akan datang. Saya terus mengabdikan diri kepada pengajian saya, Talmud pada siang hari dan Kabbalah pada sebelah malamnya. Ayah saya terus menguruskan perniagaannya dan penduduk-penduduk di Sighet. Datuk saya datang untuk meraikan Rosh Hashanah bersama kami supaya dia boleh menghadiri upacara sembahyang yang diketuai oleh Rabbi dari Borsche yang terkenal. Ibu saya pula mula berfikir bahawa masanya sudah tiba untuk mencari pasangan yang sesuai untuk Hilda.

Tahun 1943 pun berlalu.

Night (1960) ialah karya Elie Wiesel mengenai pengalaman bersama ayahnya di kem konsentrasi Nazi di Auschwitz dan Buchenswald pada 1944-1945 di hujung perang dunia kedua. Wiesel,salah seorang mangsa kekejaman Hitler yang terselemat dari Holokaus dianugerahkan Nobel Prize pada tahun 1986. Tulisan di atas adalah terjemahan Lokman, penterjemah yang sama menterjemahkan Down & Out di London & Paris karya George Orwell terbitan Thukul Cetak (2016).


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page