top of page

Susan

  • Fuad Syazwan Ramli
  • Feb 23, 2017
  • 3 min read

Lewat petang itu kami bertemu lagi di stesen elarti yang sama sebagaimana hari-hari lainnya. Dia menantiku dengan payung di tangan. Hujan baru saja berhenti meninggalkan lopak-lopak yang memantulkan cahaya lampu jalan yang sudah mula terpasang.

Aku menghadiahkan sebuah senyum untuknya. Dan dia membalas juga, tapi terasa seperti senyum yang dipaksakan. Pada matanya seperti ada rahsia yang meronta-ronta untuk keluar namun terpendam dengan penuh kejap. Dia mengalihkan pandang kepada satu demi satu penumpang yang berlari anak mengejar keretapi masing-masing.

"Engkau okay?"

Dia membalas dengan sebuah lagi senyum. Kali ini lebih lebar. Mungkin kerana sudah dipersiapkan lebih awal, tidak sebagaimana senyum di awal tadi yang dipaksakan dengan mendadak.

Tanpa membalas pertanyaan, dia mengangkat kaki menuju ke dalam stesen. Petang hujung minggu membuat semuanya tidak ghairah untuk terus ke rumah. Stesen masih penuh tidak sebagaimana hari-hari biasa. Aku mengikutinya dengan langkahan yang ku panjangkan agar dapat memintasnya.

Aku cuba menangkap pandangannya yang seperti sengaja dihindarkan dariku.

Pada waktu seperti inilah aku menyumpah diri sendiri yang tidak pernah belajar bagaimana memahami seorang perempuan.

Aku dan Susan naik ke platform sebaik saja azan Isyak berkumandang. Beg birunya dipegang kemas sambil sesekali dia membetulkan letak duduk cermin mata.

Tidak ramai penumpang yang menunggu tren malam itu. Kami memilih sudut paling hujung yang agak jauh dari penumpang lain yang setia, 'berdiri di belakang garisan kuning'.

Aku memandangnya dan dia membalas sambil bersuara, "Bangsamu lemah sekali. Tak seperti bangsa kami yang punyai penulis seperti Tolstoy dan Dostoevsky."

Inilah kali pertama aku mendengar Susan berbicara dalam Bahasa Melayu. Mungkin ini malam Jumaat yang istimewa kerana aku diberi kesempatan sebegini.

Aku tidak membalas tetapi pandanganku tetap tertuju padanya, sebagai isyarat aku mahu mendengar kata-kata selanjutnya.

Dan seakan faham Susan meneruskan ejekannya, "penulisan kami kaya sampai sudah diwacanakan serata dunia. Apa bangsamu ada seorang penulis seperti penulis-penulis kami?"

"Bukan saja tidak ada, bahkan sasteramu juga ibarat sampah di mata bangsamu sendiri. Boleh engkau sebutkan hasil karya bangsamu yang kau ajarkan di sekolah-sekolah? Apa kau yakin ia setanding bahkan lebih hebat dari penulis-penulis kami?"

"Bangsamu nyata berdosa. Berdosa kerana gagal menghadiahkan hatta seorang penulis buat warga dunia. Apa bangsamu hanya parasit yang menghisap zat pada pokok?"

Aku yang masih kepenatan tetap mendiamkan diri. Akal kukerah bagi mencari kata yang sesuai untuk ku hadiahkan buat gadis Rusia bermata jeli ini. Ternyata aku gagal.

Dan kami diam sahaja selepas itu. Aku melihat ke sudut bawah platform, meneliti wajah-wajah warga kota yang baru keluar dari pejabat masing-masing. Apakah mereka juga memikul beban dosa yang baru saja dihukumkan Susan pada bangsa kami?

"Tapi, Susan," aku menyusun kata, "apa hebatnya bangsamu yang melahirkan manusia seperti Raskolnikov yang membunuh dan cuba menghalalkan darah wanita tua kerana kepentingan diri sendiri? Bangsa kami lemah, mungkin. Tapi bangsa kami melahirkan Mariah, wanita tua yang membunuh, demi anaknya. Kami bangsa yang lemah, mungkin. Tapi kami meletakkan kepentingan orang di sebelah kami melebihi diri kami sendiri. Walaupun jaraknya sudah mula tertambat pada dua nisan. Kami tidak mencari-cari helah menghalalkan darah demi nafsu serakah. Dan tidak pernah kami berperang dengan kata hati kami demi menghalalkan pembunuhan kerana memang kami tahu bahawa membunuh itu salah. Dan jika kami perlu ke tali gantung kerana perbuatan kami sekalipun akan kami sanggup, Susan."

Susan sekadar diam tanpa memandangku. Dan aku juga tidak lagi berminat memandang wajahnya. Seakan tiada lagi tarikan pada dirinya.

Mungkin Susan boleh terus berbangga dengan hasil bangsanya dengan mengecilkan bangsaku. Itu haknya untuk berfikir begitu. Sebagaimana bekunya dataran Siberia mungkin begitulah juga beku hatinya pada sastera bangsaku.

Salah siapa? Susan yang terkepung di dalam tembok keangkuhannya sendiri atau bangsaku yang terlalu lembut, lemas dalam lenggok bahasa?

Tapi Susan juga harus ingat, dia pun cuma khayalanku saja. Yang terbentuk mengikut apa yang aku sudah tetapkan bagi dirinya. Tak lebih sekadar ciptaanku.

Dan bunyi bising geseran roda besi tren di trek platform menghapuskan Susan dari pandanganku. Terhapus bersama bahasa Melayunya.

Aku melangkah perlahan ke dalam tren menuju ke Sri Petaling. Dan di hadapanku seorang gadis tekun menjamah Hujan Pagi.


 
 
 

댓글


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page