top of page

Representasi Intelektual – Edward Said (Bahagian 1)

  • Writer: thukulcetak
    thukulcetak
  • Feb 23, 2017
  • 9 min read

Adakah intelektual besar jumlahnya, atau adakah mereka sekelompok kecil manusia yang sangat terpilih? Dua daripada takrifan makna intelektual paling popular pada abad ke 20 saling bertentangan dalam isu ini. Menurut Antonia Gramsci, Marxis Itali , aktivis, jurnalis dan filsuf politik hebat yang dipenjarakan oleh Mussolini antara 1926 dan 1937 dalam bukunya Prison Notebooks, “boleh dikatakan semua manusia itu intelektual, tapi bukan semua manusia berfungsi sebagai intelektual dalam masyarakat”. Pekerjaan Gramsci sendiri menggambarkan fungsi seorang intelektual yang dimaksudkannya: sebagai ahli filologi terlatih, beliau juga penggerak gerakan buruh Itali, dan merupakan penganalisis sosial yang sangat memahami keadaan masyarakat melalui penulisannya. Matlamat beliau bukan sekadar untuk membina sebuah gerakan sosial, tetapi untuk membentuk budaya hidup menyeluruh dengan gerakan ini.

Menurut Gramsci lagi, orang yang cuba memegang peranan intelektual dalam masyarakat boleh dibahagikan kepada dua jenis: pertama, intelektual tradisional seperti guru, paderi dan pentadbir yang melakukan tugas sama dari generasi ke generasi; yang kedua, intelektual organik yang berhubung rapat dengan kelas-kelas atau perusahaan yang menggunakan intelektual untuk mengatur kepentingan mereka, meraih kuasa dan pengaruh. Oleh itu, ujar Gramsci berkenaan intelektual organik, “usahawan kapitalis mewujudkan di sisinya juruteknik industri, pakar ekonomi politikal, penggerak budaya baru, sistem undang-undang baru dan sebagainya.”Pada hari ini, pakar publisiti dan perhubungan awam, yang mencipta kaedah mempromosi sabun baju atau syarikat penerbangan agar dapat menguasai pasaran, akan dianggap sebagai intelektual organik oleh Gramsci. Mereka cuba untuk meraih sokongan dalam masyarakat demokratik, meraih minat pembeli berpotensi dan mengawal pendapat pelanggan dan pengundi. Gramsci percaya bahawa intelektual organik terlibat secara aktif dalam masyarakat, dengan usaha berterusan untuk mengubah pemikiran dan mengembangkan pasaran; tidak seperti guru-guru dan paderi yang sentiasa berada di tempat yang sama, melakukan kerja yang sama saban tahun. Intelektual organik sentiasa bergerak, sentiasa berubah.

Di sebalik itu wujud pula definisi intelektual Julien Benda yang popular; intelektual merupakan sekumpulan kecil manusia yang sangat berbakat, raja filsuf dengan kekuatan moral yang menjadi kesedaran umat manusia. Walaupun tulisan Benda La trahison des clercs ­–pengkhianatan intelektuan- telah berfungsi lebih sebagai serangan berbisa terhadap intelektual yang mengabaikan tanggunggjawab dan berkompromi dengan prinsip berbanding analisa sistematik tentang kehidupan intelektual, Benda tetap menulis beberapa nama dan sifat yang dikiranya intelektual sebenar. Socrates dan Jesus kerap disebut, begitu juga tokoh-tokoh yang kemudian seperti Spinoza, Voltaire dan Ernest Renan. Intelektual sebenar merupakan pendeta-pendeta, spesis yang jarang ditemui, kerana apa yang mereka tegakkan ialah piawai abadi keadilan dan kebenaran yang tidak berasal dari dunia ini. Oleh itu Benda menamakan mereka dengan gelaran agama-pendeta- untuk membezakan status dan pencapaian intelektual dengan orang awam, manusia biasa yang berminat dengan kemajuan material, prestasi diri, dan jika mungkin, hubungan rapat denga kuasa-kuasa sekular. Intelektual sebenar, kata beliau, adalah “golongan yang bergerak bukan untuk mencapai matlamat praktikal, tetapi yang mencari kenikmatan dalam mempraktiskan seni, sains atau spekulasi metafizik, atau dalam kata lain kemajuan selain hal kebendaan. Oleh itu mereka boleh mengatakan bahawa: ‘My kingdom is not of this world.’

Contoh-contoh yang dibawakan Benda membuktikan bahawa beliau tidak menyokong idea intelektual sebagai golongan yang terputus dari dunia luar, pemikir menara putih, terlalu suka menyendiri dan mengabdikan diri dengan kajian hal yang terlalu rumit atau hal ghaib. Intelektual sebenar memainkan peranan penuh apabila menentang korupsi, membela yang lemah, melawan penguasa yang zalim dan menekan, hasil kesungguhan metafizik dan prinsip telus keadilan dan kebenaran. “Perlukah saya mengulang,” kata beliau, “bagaimana Fenelon dan Massilon mengutuk sesetengah peperangan Luis XIV? Bagaimana Voltaire mengutuk pemusnahan Palatinate? Bagaimana Renan menenang keganasan Napoleon? Buckle yang melawan sikap tidak bertoleransi England terhadap Revolusi Perancis? Dan di masa kita, perlawanan Nietzsche terhadap kekejaman Jerman ke atas Perancis?”. Masalah intelektual pada hari ini ialah mereka telah menyerahkan autoriti moral mereka kepada apa yang dipanggil Benda sebagai “semangat kolektif” seperti sektarianisme, sentimen massa, semangat kebangsaan dan pergaduhan kelas. Benda menulis pada tahun 1927, jauh sebelum zaman media massa, tetapi beliau dapat mengesan betapa pentingnya bagi kerajaan untuk mendapatkan intelektual sebagai pekerja, yang boleh diharap bukan untuk memimpin, tetapi menyusun polisi kerajaan, mengelurakan propaganda melawan musuh rasmi, eufemisme dan lebih banyak lagi, bahasa Newspeak Orwell yang boleh menyembunyikan kebenaran di bawah samaran “kepentingan institusi” atau “maruah negara.”

Kekuatan keluhan panjang Benda terhadap pengkhianatan intelektual bukanlah terletak pada kehalusan hujahnya tetapi pada tetapnya pendirian beliau dalam menilai tugas intelektual tanpa kompromi. Intelektual sebenar menurut Benda perlu mengambil risiko dibakar hidup-hidup, dipulau atau disalib. Mereka individu yang menjadi simbol hasil dari menjauhkan diri daripada kebimbangan berkenaan hal-hal praktikal. Oleh yang demikian mereka sedikit bilangannya, dan tidak muncul selalu dalam kalangan masyarakat. Mereka perlu menjadi manusia yang teliti, dengan personaliti hebat dan berada dalam penentangan terus-terusan terhadap status quo: akibat semua ini, intelektual Benda menjadi sekumpulan kecil lelaki yang sangat berpengaruh-beliau tidak pernah menyertakan kaum wanita-yang mengutuk umat manusia dengan suara lantang dan sumpah seranah dari tempat yang tinggi. Benda tidak pernah menjelaskan bagaimana lelaki-lelaki ini mengetahui kebenaran, atau apakah pandangan mereka berkenaan prinsip-prinsip yang tidak berubah mungkin saja tidak lebih dari angan-angan peribadi seperti lamunan Don Quixote.

Sekurang-kurangnya tidak ada keraguan dalam fikiran saya bahawa imej intelektual sebenar yang dibawakan oleh Benda merupakan imej yang menarik dan meyakinkan. Banyak contoh positif dan negatif yang dibawakan beliau sangat meyakinkan: pembelaan terbuka Voltaire ke atas keluarga Calas, atau-di sebalik itu-semangat kebangsaan yang mengejutkan oleh penulis Perancis seperti Maurice Barrès, yang dituduh oleh Benda sebagai penganjur ‘romantisisme kekerasan dan kebencian’ dengan nama maruah kebangsaan Perancis. Benda mengalami latihan spiritual dengan peristiwa Dreyfus Affair dan Perang Dunia Pertama yang merupakan ujian getir bagi intelektual. Mereka dapat memilih sama ada untuk bersuara dengan berani menentang ketidakadilan tentera yang anti-semitik dan sentimen kebangsaan, atau untuk diam beserta khalayak ramai, menolak untuk mempertahankan pegawai Yahudi, Alfred Dreyfus yang dihukum secara tidak adil, dan menyanyikan slogan patriotisme melampau untuk menaikkan semangat melawan semua yang datang dari Jerman. Selepas Perang Dunia Kedua Benda menerbitkan semual buku ini, dengan tambahan kritikan terhadap intelektual yang bekerjasama dengan Nazi dan juga mereka yang ghairah menyokong Komunis tanpa sifat kritis. Tetapi di sebalik retorik agresif dalam tulisan Benda yang sangat konservatif, wujud sosok intelektual yang lain dari yang lain, seseorang yang boleh menyampaikan kebenaran terhadap penguasa, individu yang keras kepala, fasih dalam berbicara, dengan keberanian melampau dan pemarah, yang mana tidak ada kuasa dunia mana pun yang terlalu besar dan kuat untuk dikutuk dan dipersoalkan.

Analisis sosial Gramsci berkenaan intelektual sebagai orang yang memenuhi peranan tertentu dalam masyarakat lebih dekat dengan realiti berbanding definisi Benda, terutamanya dalam abad kedua puluh, dengan begitu banyak pekerjaan baru-penyiar, ahli akademik, pengalisis komputer, peguam sukan dan media, konsultan pengurusan, pakar polisi, penasihat kerajaan, penulis pasaran khusus dan keseluruhan bidang kewartawanan massa moden-yang menzahirkan visi Gramsci.

Hari ini, semua orang yang bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan penghasilan atau penyebaran ilmu merupakan intelektual mengikut definisi Gramsci. Dalam kebanyakan negara perindustrian Barat, ratio antara industri ilmu dan penghasilan dengan tenaga fizikal telah meningkat tinggi dengan berkembangnya industri ilmu. Menurut pakar sosiologi Amerika, Alvin Gouldner beberapa tahun yang lalu, intelektual merupakan kelas yang baru, dan sekarang pengurus yang intelektual telah menggantikan kelas orang kaya dan berharta. Gouldner juga mengatakan bahawa dengan peningkatan kelas mereka bukan lagi kelompok yang bercakap kepada khalayak umum, sebaliknya mereka telah menjadi ahli bagi perkumpulan yang digelarnya sebagai wacana kritikal. Setiap intelektual, editor buku dan penulis, ahli strategi tentera dan peguam antarabangsa bercakap dalam bahasa yang telah dikhususkan bagi ahli bidang yang sama, pakar-pakar khusus yang bercakap dengan pakar yang lain dengan lingua franca yang sukar difahami oleh yang tidak berkepakaran.

Demikianlah filsuf Michael Foucault menyatakan bahawa intelektual yang universal (beliau berfikir tentang Jean-Paul Sartre) digantikan tempatnya oleh intelektual ‘khusus’, yang bekerja dalam satu disiplin dan dapat menggunakan kepakarannya. Foucault secara spesifiknya merujuk kepada ahli fizik Amerika Robert Oppenheimer yang keluar dari bidang khususnya apabila beliau menjadi perancang projek bom atom Los Alamos pada tahun 1942-45 dan kemudiannya menjadi penasihat utama dalam hal saintifik di Amerika Syarikat.

Proliferasi intelektual telah berkembang ke begitu banyak bidang hingga intelektual itu sendiri menjadi objek untuk dikaji- mungkin dengan kajian perintis Antonio Gramsci dalam The Prison Notebooks yang mengatakan mungkin buat kali pertama dalam sejarah bahawa intelektual, bukanya kelas sosial yang menjadi asas pembentukan masyarakat moden. Cuba letakkan perkataan “of” dan “and” di samping perkataan “intellectuals” dan dengan serta merta begitu banyak kajian berkenaan intelektual yang agak mencabar dari segi capaiannya dan telitinya perincian muncul di hadapan kita. Terdapat beribu macam sejarah dan sosiologi intelektual yang wujud, sebagaimana juga penceritaan hal intelektual dan nasionalisme, kuasa,tradisi, revolusi dan lain-lain lagi. Setiap daerah dalam dunia telah menghasilkan intelektualnya sendiri, dan setiap pembentukan ini didebatkan dan dipersoalkan dengan penuh semangat. Tidak ada revolusi besar dalam sejarah dunia yang berlaku tanpa intelektual, dan tidak ada gerakan besar revolusi balas tanpa intelektual. Intelektual telah menjadi ibu bapa, anak dan cucu-cicit pergerakan.

Sosok atau imej intelektual menghadapi risiko hilang dalam lautan matlumat, dan intelekual mungkin sekadar menjadi seorang profesional atau tokoh mengikut kecenderungan masyarakat. Apa yang akan saya ketengahkan dalam syarahan-syarahan ini mengambil mudah realiti hujung abad kedua puluh yang disarankan oleh Gramsci, tetapi saya mahu menekankan bahawa intelektual merupakan individu yang mempunyai peranan penting dalam masyarakat dan tidak boleh menjadi profesional tidak berwajah, ahli kelasnya yang kompeten namun sibuk dengan halnya sendiri. Fakta yang utama ialah, pada pandangan saya, intelektual merupakan individu yang dikurniakan kebolehan untuk menjadi wakil, untuk menyuarakan dan mempersembahkan sebuah mesej, pandangan, sikap, falsafah dan pendapat, kepada dan untuk masyarakat. Peranan ini mempunyai kelebihannya, dan tidak boleh dimainkan tanpa menjadi seseorang yang tugasnya ialah untuk bertanya soalan-soalan memalukan, untuk menentang faham ortodoks dan dogma (bukan menghasilkan dogma), untuk menjadi seseorang yang tidak boleh sewenang-wenangnya dibeli oleh kerajaan dan syarikat-syarikat, yang raison d’etre nya adalah untuk mewakili orang-orang dan isu-isu yang selalunya dilupakan dan diketepikan. Sang intelektual berbuat demikian berdasarkan prinsip yang universal: bahawa semua manusia berhak untuk dilayan dengan standard kelakuan yang baik dalam hal kebebasan dan keadilan dari kuasa dunia atau negara-negara, dan perlanggaran terhadap standard ini, sama ada sengaja atau tidak perlu disuarakan dan ditentang dengan berani.

Biar saya jelaskan hal ini dari perspektif yang lebih personal: sebagai intelektual saya menyampaikan idea saya kepada sebuah audiens atau warga am, tetapi hal ini bukanlah hanya sekadar bagaimana saya menyampaikannya, tetapi juga tentang apa dia pegangan diri saya, sebagai seorang yang cuba untuk mencapai cita-cita kebebasan dan keadilan. Saya bercakap atau menulis perkara-perkara ini dengan pertimbangan mendalam bahawa inilah apa yang saya percaya.; dan saya juga mahukan agar orang lain bersetuju dengan pendapat yang sama. Dengan ini wujudlah pencampuran yang agak rumit antara dunia peribadi dan dunia umum- sejarah diri, nilai, penulisan dan kedudukan yang berasal dari pengalaman-pengalaman, bercampur dengan dunia sosial, di mana manusia berdebat dan membuat keputusan berkenaan peperangan, kebebasan dan keadilan. Intelektual persendirian tidak wujud, memandangkan apabila kita mula menulis dan menerbitkan karya, kita telah masuk ke dunia umum. Intelektuat yang bersifat umum saja juga tidak wujud, intelektual yang wujud sekadar sebagai boneka, jurucakap, simbol bagi pergerakan atau perjuangan. Pemikiran dan naluri peribadi akan tetap mempengaruhi, memberi makna kepada apa yang ditulis dan diperkatakan. Intelektual tidak sekali-kali tidak muncul di khalayak ramai untuk menghiburkan mereka: matlamatnya adalah untuk bertanya dan bercakap hal yang memalukan, yang bertentangan , bahkan yang tidak sedap didengar.

Jadi apa yang penting akhirnya ialah intelektual yang berfungsi sebagai sosok representatif-seorang yang dengan lantang mewakili sesuatu pendapat, yang menyampaikan idea yang diwakilinya dengan jelas kepada masyarakat di sebalik cabaran dan halangan yang pelbagai. Maksud saya ialah intelektual merupakan individu yang berdedikasi terhadap seni representasi, sama ada dengan bercakap, menulis, mengajar atau muncul di kaca televisyen. Dedikasi ini penting kerana representasi melibatkan komitmen dan risiko, keberanian dan kelemahan; apabila saya membaca Jean-Paul Sartre atau Bertrand Russell, apa yang menarik perhatian saya ialah suara individu yang spesifik dan aura mereka berbanding hujah mereka sendiri, kerana mereka bercakap berdasarkan kepercayaan sendiri. Mereka tidak boleh disamakan dengan pembesar yang bercakap dalam kerahsiaan atau birokrat yang berhati-hati.

Dalam kebanjiran kajian berkenaan intelektual telah terlalu banyak cubaan untuk memberi definisi golongan intelektual, dan terlalu sedikit kajian berkenaan imej, sumbangan unik, tindakan yang diambil dan prestasi, yang gabungan semuanya membentuk jiwa raga intelektual yang sebenar. Isaiah Berlin mengatakan bahawa penulis Rusia abad yang ke sembilan-belas, dengan pengaruh romantisisme German, membuatkan audiens mereka “merasakan bahawa penulis sedang berucap di pentas umum.” Kualiti yang seperti itu masih ada dalam watak umum intelektual moden, mengikut pandangan saya. Kerana itulah apabila kita mengingat intelektual seperti Sartre kita mengenang perilaku peribadinya, kemahuan diri, usaha gigih, risiko yang diambil, kesanggupan untuk bercakap tentang kolonialisme, tentang komitmen atau konflik sosial yang mengakibatkan kemarahan musuhnya dan menaikkan semangat rakan-rakannya, atau mungkin saja memalukan dirinya sendiri. Apabila kita membaca tentang perhubungannya dengan Simone de Beauvoir, pergaduhannya dengan Camus dan kerjasamanya yang hebat dengan Jean Genet, kita memahami beliau (mengikut kata Sartre) melalui keadaan hidupnya. Melalui keadaan ini, juga disebabkannya, Sartre merupakan Sartre, orang yang sama yang juga menentang Perancis di Algeria dan Vietnam. Jauh sekali dari mencacatkan atau menyahkan beliau dari kedudukan intelektual, komplikasi-komplikasi ini membentuk dan menambahkan emosi kepada apa yang diperkatakannya, mendedahkan Sartre sebagai manusia biasa, bukannya penceramah yang berlagak bijak dan membosankan.

Kita boleh melihat dan memahami kedudukan intelektual sebagai representatif, bukan sahaja kepada pergerakan bawah tanah atau gerakan massa, tetapi juga untuk gaya hidup yang pelik dan kasar dan perilaku dalam masyarakat yang unik pada intelektual melalui kehidupan masyarakat moden yang dilihat melalui novel atau drama, bukan sebagai bisnes atau bahan mentah untuk kajian sosiologi. Peranan intelektual ini telah digambarkan dengan baik melalui novel-novel luar biasa abad kesembilan belas dan awal abad kedua puluh seperti tulisan Turgenev, Fathers and Sons, Sentimental Education oleh Flaubert dan tulisan Joyce, A Portrait of the Artist as a Young Man, yang menunjukkan betapa representasi tentang realiti sosial dipengaruhi dan berubah sama sekali dengan kemunculan mendadak watak yang baru, intelektual moden yang muda.

p/s - Tulisan ini diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Ahmad Ibrahim Zakaria


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page