'Night' oleh Elie Wiesel (Bahagian 1)
- thukulcetak
- Feb 22, 2017
- 4 min read

Mereka memanggilnya dengan nama Moishe si pegawai gereja, seolah-olah dia tidak pernah mempunyai nama keluarga. Dia adalah orang kuat di rumah ibadat Hasidim yang digelar shtibl. Para Yahudi di pekan kecil Sighet, Transylvania yang menjadi tempat saya membesar amat menyukainya. Dia hidup miskin dan melarat. Mengikut peraturan penduduk di pekan kecil kami, mereka akan sentiasa menolong orang yang susah tetapi mereka tidak begitu suka kepada orang-orang sebegitu. Pengecualian diberikan kepada Moishe. Dia tidak pernah mengganggu orang lain. Kewujudannya tidak mengganggu sesiapa. Dia telah menguasai seni untuk membuatkan dirinya kelihatan tidak penting dan secara fizikalnya, dia kelihatan pelik seperti seorang badut.
Sifatnya yang sedikit pemalu selalu membuatkan orang tersenyum. Bagi saya pula, saya sukakan matanya yang besar dan redup ketika ia memandang di kejauhan. Dia tidak banyak bercakap. Dia lebih suka menyanyi, atau lebih tepat berzikir, dan beberapa bait zikirnya yang saya dapat tangkap adalah tentang penderitaan Tuhan dan Shekhinah yang dibuang negeri, di mana menurut ajaran, dia sedang menunggu manusia diselamatkan.
Saya mengenali Moishe pada tahun 1941. Saya hampir berumur tiga belas tahun dan sangat kuat beragama. Saya akan mempelajari kitab Talmud pada sebelah siang dan pada sebelah malam saya akan pergi ke saumaah untuk meratapi keruntuhan kuil ini.
Pada suatu hari, saya meminta ayah saya untuk mencari seorang guru untuk membantu saya mempelajari Kabbalah. "Kamu terlalu muda untuk itu. Maimonides beritahu kita, seseorang perlu berumur tiga puluh tahun sebelum mendalami dunia mistisisme yang begitu merbahaya. Pertamanya kamu perlu mempelajari perkara-perkara asasnya terlebih dahulu, perkara-perkara yang kamu boleh fahami."
Ayah saya seorang lelaki yang beradab dan tidak berapa sentimental. Dia jarang menunjukkan perasaannya walaupun terhadap keluarganya sendiri dan dia lebih banyak terlibat dalam menjaga kebajikan orang lain berbanding darah dagingnya sendiri. Komuniti Yahudi di Sighet amat menghormatinya. Semua orang sentiasa mahukan pendapatnya tentang apa jua hal.
Saya mempunyai empat orang adik-beradik. Hilda adalah yang paling tua, kemudian Bea dan saya adalah anak ketiga dan satu-satunya anak lelaki. Paling bongsu adalah Tzipora. Ibu-bapa saya menjalankan perniagaan kedai runcit dan dibantu oleh Hilda dan Bea. Saya pula duduk di rumah dan belajar.
Lebih kurang begitulah.
Kerap kali ayah saya berkata, "Tidak ada seorang pun Kabbalah di Sighet”. Dia mahu mempengaruhi saya untuk melupakan hasrat saya belajar tentang Kabbalah.
Dia gagal.
Saya berjaya mencari sendiri guru Kabbalah saya dan guru saya itu adalah Moishe. Dia memerhatikan saya berdoa pada waktu fajar. "Kenapa kamu menangis ketika berdoa?" tanya Moishe seolah-olah dia telah lama mengenali saya.
"Saya tidak tahu," jawab saya dengan gusar.
Saya tidak pernah bertanya soalan itu kepada diri saya sendiri. Saya menangis kerana terdapat sesuatu di dalam diri saya yang seolah-olah perlu menangis. Itu sahaja.
"Kenapa kamu berdoa?" tanyanya lagi selepas beberapa ketika.
Kenapa saya berdoa? Soalan yang pelik. Kenapa saya hidup? Kenapa saya bernafas?
"Saya tidak tahu," kata saya kepadanya dengan lebih gusar dan tidak selesa.
"Saya tidak tahu." Sejak dari hari itu, saya selalu berjumpanya. Dia menerangkan kepada saya dengan begitu terperinci bahawa setiap soalan mempunyai kuasa yang hilang dalam jawapannya...
Moishe selalu berkata, manusia berada lebih dekat dengan Tuhan melalui soalan yang ditanya kepadaNya. Soalan dan jawapan ini mengandungi dialog sebenar. Manusia bertanya kepada Tuhan dan Tuhan menjawab. Tetapi kita tidak memahami jawapanNya. Kita tidak mampu memahaminya kerana jawapan itu berada jauh di dalam diri kita dan ia akan terus kekal di sana sehingga kita mati. Jawapan sebenar, Eliezer, hanya akan kamu temui di dalam diri kamu.
"Kenapa pula kamu berdoa, Moishe?" tanya saya.
"Saya berdoa kepada Tuhan yang wujud di dalam diri saya untuk memberikan saya kekuatan bertanya soalan sebenar kepadaNya."
Kami berbual tentang hal-hal serupa hampir setiap petang dan kami terus berada di saumaah walaupun semua orang telah balik. Kami akan duduk di ruang samar yang hanya terdapat beberapa lilin yang separuh terbakar dan sedang menyala dengan cahaya yang berkelip-kelip.
Pada suatu petang, saya memberitahunya saya kurang gembira dan saya tidak berjaya mencari seorang guru di Sighet untuk membantu mengajar saya tentang Zohar, karya-karya Kabbalistik dan mistisisme Yahudi. Moishe tersenyum.
Selepas diam beberapa ketika, dia berkata, "Terdapat seribu satu pintu yang membawa manusia ke taman kebenaran mistikal. Setiap manusia mempunyai pintunya sendiri. Dia tidak boleh tersilap pintu atau mahu masuk mengikut pintu yang lain. Itu akan mendatangkan bahaya bukan sahaja kepadanya tetapi kepada orang yang sudah berada di dalam taman itu." Dan Moishe si miskin paling melarat di Sighet bercakap dengan saya berjam-jam lamanya tentang wahyu Kabbalah dan misterinya dan ia menjadi detik permulaan pelajaran saya. Kami akan membaca bersama-sama berulang kali mukasurat-mukasurat sama Zohar. Ia bukannya untuk menghafal tetapi untuk mencari intipati Tuhan yang sebenar.
Sepanjang petang saya berada bersama Moishe, saya menjadi yakin Moishe akan membantu saya masuk ke alam kekal, masuk ke masa di mana soalan dan jawapan menjadi SATU.
Kemudian, pada satu hari, semua Yahudi asing dihalau dari Sighet dan Moishe adalah salah seorang daripadanya. Disumbat beramai-ramai ke dalam gerabak keretapi oleh polis Hungary, mereka menangis tanpa suara. Kami yang sedang berdiri di pelantar stesyen keretapi juga turut menangis. Gerabak keretapi yang membawa mereka perlahan-lahan hilang dari pandangan dan apa yang tinggal hanyalah asap yang tebal dan kotor. Seseorang berkata sesuatu di belakang saya sambil mengeluh, "Apa yang kau harapkan? Itulah dia peperangan..."
Night (1960) ialah karya Elie Wiesel mengenai pengalaman bersama ayahnya di kem konsentrasi Nazi di Auschwitz dan Buchenswald pada 1944-1945 di hujung perang dunia kedua. Wiesel,salah seorang mangsa kekejaman Hitler yang terselemat dari Holokaus dianugerahkan Nobel Prize pada tahun 1986. Tulisan di atas adalah terjemahan Lokman, penterjemah yang sama menterjemahkan Down & Out di London & Paris karya George Orwell terbitan Thukul Cetak (2016).
Comments