top of page

Catatan di POS Lenjang, Lipis, Pahang

  • Naziatul Azrin
  • Feb 22, 2017
  • 3 min read

“Apa rasanya menjadi pokok yang berada di tengah hutan belantara? Jauh dari sentuhan ‘tangan-tangan’ manusia.”

Aku bertanya kepada diri ketika ‘menikmati’ perjalanan bagai ‘neraka’ menuju ke Kg. Dayok, salah satu daripada 14 kampung dalam gugusan POS Lenjang, Lipis, Pahang. Lokasi yang terlalu jauh dari bandar, di tengah-tengah tulang belakang tanah Semenanjung kita letaknya.

Perjalanan bagai ‘neraka’ kami sembuh serta-merta tatkala tiba di sana. Tiba-tiba terus berada bagai di ‘syurga’ – tenang, indah, nyaman, segar dan yang sewaktunya dengannya.

Lagi-lagi apabila dingin sungai yang mengalir dari Ulu Jelai menyentuh kulit muka. Udara jangan cakaplah. Segar amat. Waktu kegemaranku adalah ketika hening di subuh hari, dan bintang-bintang yang bertaburan di langit di tengah hutan, terangnya berbeza sekali.

Tiga hari berada di sana, terus aku terlupa kerunsingan hal-hal di bandar. Maafkan aku orang bandar, aku tinggalkan sebentar pergelutan kalian dengan kesesakan jalan raya, RUU 355, basikal kena sita, harga ikan kembung dan hak-hak perokok untuk merokok di dalam restoran.

Aku di sana belajar mengenali daun-daun hutan, masak nasi dan lauk menggunakan buluh, mandi sungai dengan anak-anak orang Asli dan di kebanyakan masa, sengaja membiarkan dua tapak kaki berhubung terus dengan tanah (hal selipar putus di hari kedua itu lain cerita!).

Anak-anak orang Asli lasaknya bukan alang-alang. Ketika melihat kami mandi di sungai, selamba mereka turun ke batu, buka habis baju dan terjun. Aku cuba hulur tangan, kot-kot mahukan bantuan. Mereka geleng kepala. Kuat anak-anak ini. Berenang laju. Padahal, arus sungai boleh tahan deras juga.

Di padang, anak-anak berlari lepas bebas bagaikan tidak putus-putus tenaga. Main bola, berguling dan tunjuk aksi gimnastik dan akrobatik masing-masing. Ketawa mereka sangat bahagia.

Dengan ruang yang luas, mereka boleh berlari, tanpa risau akan dilanggar kenderaan. Iyalah, jalan macam itu manalah nak jumpa kereta yang dipandu laju-laju.

Aku ada berbual dengan warga kampung, bertanya langsung tentang pendidikan anak-anak. Menurut mereka, sekolah terdekat jaraknya terlalu jauh. Iya, itu aku biasa dengar. Logik. Anak-anak lelaki akan pergi ke sekolah menaiki lori, satu jam perjalanannya (satu jam, perjalanan ‘neraka’ itu! Mana ada jalan lain, bukan?) Anak-anak perempuan pula tinggal di asrama.

Tetapi, iya. Tetap ada tetapinya.

Tetapi, hal pendidikan anak-anak ini sesuatu yang perlu diberi perhatian juga. Dalam seminggu, hanya tiga hari anak-anak bersekolah – Selasa, Rabu dan Khamis.

Aku bertanya, bagaimana dengan Isnin dan Jumaat. Menurut mereka, adalah perkara biasa cikgu-cikgu hilang di hari Jumaat dan tidak kunjung datang biarpun telah tiba hari Isnin.

Oh, begitu. Maaf, aku bukan orangnya untuk bercakap soal pendidikan. Aku sendiri belum pergi melihat sekolah anak-anak, belum tahu bagaimana rupa sekolah mereka, dan bagaimana cara cikgu mengajar. Namun, aku simpan ruang dalam hati untuk berbaik sangka bahawa guru-guru yang mengajar orang Asli, bukan alang-alang cabaran yang dihadapi mereka.

Sebahagian ruang lagi, aku harap ada yang menjawab tentang cikgu-cikgu yang hilang, biarpun anak-anak bersusah-payah pergi ke sekolah.

Tidak cukup fasiliti mengajarkah? Sukar hendak memahami budaya anak-anak? Modul pendidikan yang tidak tepat dengan keperluan anak-anak? Atau ada masalah lain yang tidak dapat aku fikirkan sebab seperti yang aku katakan, hal-hal pendidikan (di kawasan pendalaman khususnya) bukan bidang aku.

Walau apa pun isu yang ada, aku harap anak-anak orang Asli mendapat pendidikan sewajarnya. Sebab, anak-anak yang terdidik ini akan faham mengapa tanah mereka perlu dipertahankan. Supaya anak-anak mengerti, mengapa kejernihan sungai dan hidupan hutan lain perlu mereka dilindungi. Tidak lain tidak bukan, untuk keharmonian alam – berkait dengan kelangsungan hidup orang-orang di bandar juga.

Kita pindahkan orang-orang Asli dari hutan. Kita hilangkan identiti dan jati diri mereka. Kita hilangkan mata pencarian mereka. Kita, yang kononnya moden ini mengikis habis hutan-hutan yang menjadi kawasan tadahan hujan.

Hujan di negara ini turun secara sekata setiap tahun. Tetapi kenapa kejadian banjir akhir-akhir ini menjadi lebih teruk? Bukan banjir manja-manja lagi. Bahkan tahap bencana.

Kita terpaksa menghabiskan sejumlah besar wang negara, hanya untuk menampung kerugian akibat bencana, yang mana kita sendiri yang mengundang kehadirannya (kelakar, kan?)

Ketika aku menulis catatan ini, aku telah pulang ke bandar. Dan aku terfikirkan soalan – ‘syurga’ yang aku tinggalkan beberapa jam yang lalu, adakah sedang menanti giliran menjadi korban demi pembangunan?

p/s: Ini adalah gambar kegemaran aku. Lama aku merenung gambar anak dan buku ini. Sesuatu.


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page