Mengenali Semula Malcolm X
- Syed Zulhilmi
- Feb 21, 2017
- 4 min read

“Alma mater aku adalah buku-buku, perpustakaan yang bagus… Aku boleh menghabiskan keseluruhan hidup aku dengan membaca, bagi memuaskan sifat ingin tahuku.” – Malcolm X
Malcolm Little mula terpengaruh dengan ajaran Nation of Islam (NOI) sekitar awal tahun 1948 semasa menjalani hukuman penjara. Sewaktu menjadi banduan di penjara Norfolk Massachusetts, beliau menukar nama keluarganya (Little) kepada X. Malcolm X.
Semenjak mengimani ajaran NOI, Malcolm X menjadi penggemar buku-buku sejarah dan falsafah; Malcolm menghabiskan tujuh tahun di penjara membaca pelbagai jenis bahan bacaan dan aktif melibatkan diri dalam kumpulan debat penjara Norfolk. Ketagihan tabiat membaca dan berdebat telah menajamkan akal Malcolm yang dizahirkannya melalui beberapa siri protes di dalam penjara terhadap penindasan orang kulit putih Amerika Syarikat (AS) ke atas ras Negro selama 400 tahun. Malcolm juga mengutus surat kepada Presiden AS, Harry S. Truman bagi memprotes operasi kententeraan AS di Korea dan mendakwa beliau adalah seorang yang berfahaman komunis. Surat itu menjadi titik permulaan pengintipan FBI ke atas kegiatan Malcolm sehingga ke akhir hayatnya.
Keperibadian rebel Malcolm X ketika di penjara telah sampai ke telinga ‘nabi’ NOI, Elijah Muhammad yang mula memberi perhatian kepada Malcolm. Selepas Malcolm dibebaskan dari penjara dan menamatkan tempoh parol, Elijah segera melantik Malcolm sebagai salah seorang Minister NOI.
Selain mempunyai rupa paras yang kacak dan bentuk badan yang ideal bak seorang gentleman; gaya, lenggok badan dan intonasi Malcolm sewaktu berhujah menyerlahkan lagi auranya sebagai seorang revolusioner yang tiada tandingan.
Kelebihan ini digunakan NOI dengan menyediakan platform untuk Malcolm berucap dan berdebat dengan tokoh-tokoh Negro yang tidak sehaluan dengan NOI. Malcolm sangat aktif menyampaikan syarahan, bahkan setiap kali Malcolm berdebat mewakili NOI seterunya akan diaibkan dengan retorik mantap Malcolm, sedangkan NOI adalah pertubuhan yang pelik dan sesat di mata orang AS.
Tidak seperti pendakyah NOI lain, Malcolm X adalah figura avant garde yang berjaya menaikkan nama NOI yang jumud sehingga digeruni masyarakat rasis kulit putih.
Kenyataan keras dan melawan Malcolm X yang padu menentang mentaliti “house negro, dan uncle tom,” tidak pernah gagal membuatkan para pendengarnya tak kira nenek tua hingga lelaki muda bertempek melompat dan bertepuk tangan menyokong Minister Malcolm X.
“Masyarakat awam yang mahukan perubahan lebih mudah didekati di pelusuk jalanan berbanding masyarakat borjuis, gereja borjuis, dan kelompok borjuis. Program-program kami disasarkan kepada masyarakat di jalanan, masa kami dihabiskan di jalanan dan kami akan membimbing orang kulit hitam daripada cuba mendapat pengiktirafan orang kulit putih kepada menerima dirinya sendiri!"
– Malcolm X
Dengan aura yang dimiliki Malcolm, penerimaan masyarakat Negro terhadap NOI mencanak naik dalam masa singkat. Bahkan kemasukan peninju terhebat yang menjadi ahli NOI, Muhammad Ali juga adalah kerana dakyah Malcolm X.
Malcolm X berperanan sebagai penggerak utama mempromosi NOI termasuklah menyumbang idea sehingga terbitnya surat khabar mingguan rasmi NOI yang bertajuk “Muhammad Speaks” yang diedarkan secara meluas kepada masyarkat Negro terutamanya di Harlem, New York.
Sebagai seorang penganut totok NOI, tiap kali Malcolm X berucap di atas pentas, beliau akan memuji Elijah sampai ke langit kerana mendidik ahli NOI dengan doktrin bahawa bangsa Negro adalah bangsa terulung di dunia. Ungkapan “The Honorable Elijah Muhammad mengajar kami...” sentiasa terungkap di bibir Malcolm. Begitulah taksubnya Malcolm X kepada ‘nabinya’ itu.
Tetapi populariti Malcolm X semakin tidak disenangi sebilangan pemimpin NOI dan mereka berkomplot menghasut Elijah supaya mengehadkan aktiviti Malcolm. Ini berikutan populariti Malcolm telah mendahului Elijah dan idea-idea Malcolm yang menongkah arus retorika NOI semakin ketara bermula pada tahun 1963.
Malcolm X semakin bengang dengan peranan NOI yang tidak serius mempertahankan masyarakat Negro yang ditindas pihak polis. Pemikiran Malcolm semakin berbeza dengan pimpinan NOI termasuklah gesaan beliau agar NOI meluaskan pengaruhnya melalui kerjasama dengan organisasi perjuangan sivil Negro AS lain. Idea Malcolm itu ditolak mentah Elijah yang berangan-angan mahukan NOI mendominasi perjuangan sivil masyarakat Negro AS.
Sedikit demi sedikit, ketaksuban Malcolm terhadap Elijah dan NOI semakin berkurangan, namun Malcolm masih setia bersama organisasi itu. Sebagai alternatif Malcolm menggunakan pendekatan yang cenderung menyentuh isu-isu dasar ras yang lebih praktikal daripada terus menggunakan retorik NOI yang kolot.
“Aku semakin kurang bercakap mengenai agama. Aku banyak menyentuh berkenaan doktrin sosial kepada Muslim (ahli NOI), isu semasa, dan isu politik. Aku hanya menyentuh isu moral.” – Malcolm X
Tidak seperti kebanyakan masyarakat negro yang mengikonkan John F. Kennedy sebagai ‘sinar harapan’ masyarakat Negro AS, Malcolm X berpandangan sebaliknya walaupun ditentang Elijah. Malcolm tidak mengendahkan amaran Elijah yang mengarahkannya berhenti dari mengkritik Kennedy. Kerana bagi Malcolm, Kennedy adalah sekadar seorang lagi "warden penjara” yang memanipulasi isu sivil orang kulit hitam bagi meraih sokongan bangsa yang ditindas itu. Malah Malcolm mengekspresikan 'kegembiraan' pembunuhan Kennedy dengan ungkapan “The chicken coming home to roost,” yang memaksudkan pembunuhan Kennedy pada November 1963 itu sebagai simbol ‘pembalasan dosa’ orang kulit putih terhadap masyarakat Negro. Akibat kenyataan itu, keahlian NOI Malcolm digantung dan beliau dilarang daripada membuat sebarang kenyataan terbuka selama 90 hari.
Pun begitu, Malcolm akur dengan hukuman itu dan keimanannya terhadap Elijah masih utuh. Malcolm tetap meneruskan khidmatnya kepada NOI secara sepenuh masa dengan gaji yang sangat rendah sehingga isterinya Betty sering mengadu Malcolm tidak menyimpan harta untuk keluarganya.
Menurut Malcolm X, beliau sendiri akan membunuh sesiapa sahaja yang menuduh Elijah terlibat dalam skandal seks, tetapi Malcolm terpaksa mengakui kebenaran skandal seks tersebut setelah ia disahkan oleh Wallace Muhammad, anak kandung Elijah.
Skandal seks Elijah dengan sebilangan setiausaha NOI hingga melahirkan ramai anak luar nikah menjadi titik tolak Malcolm X tidak lagi percaya dengan ‘kenabian’ Elijah. Malcolm X membakul-sampahkan alasan Elijah yang menggunakan nas kitab Injil bagi menjustifikasikan nafsu berahinya terhadap perempuan-perempuan muda ahli NOI. Baginya, Elijah sendiri telah mengkhianati NOI.
Pada tahun 1964 Malcolm X keluar dari NOI dan menubuhkan pertubuhan baru, Muslim Mosque Inc. (MMI). Pada awalnya, MMI masih berdoktrinkan ajaran NOI.
Namun, apabila Malcolm menunaikan haji di Makkah atas perbelanjaan yang ditampung oleh kakak tirinya, Ella Collins, satu fasa baru bermula dalam hidup Malcolm.
Malcolm X nekad ‘murtad’ dari ajaran NOI dan memeluk agama Islam dan memilih mazhab sunni. Perkara ini dijelaskan Malcolm melalui sepucuk surat yang dikarang di Makkah kepada pengikut-pengikutnya di AS yang membuatkan mereka terkesima dengan kandungan surat itu.
“Setelah banyak kali berkelana, aku menyedari, pengembaraan mampu meluaskan skop jiwa seseorang,”- Malcolm X
Pengalaman Malcolm X di Makkah dan di beberapa negara Afrika telah membuang pekung jumud doktrin NOI dalam dirinya dan membuka pemikirannya menjadi lebih progresif dan liberal. Pengembaraannya ke tanah suci dan ke negara-negara di benua Afrika adalah perjalanan spiritual Malcolm X dalam mengenal dirinya sebagai seorang lelaki Muslim berbangsa Negro.
Dalam hanya setahun Malcolm X telah mengubah sejarah perjuangan masyarakat kulit hitam bukan sahaja di AS bahkan pengaruhnya merentas negara dan bangsa.
*Syed Zulhilmi ialah salah seorang peserta Bengkel Menulis ZF Zamir anjuran Thukul Cetak
コメント