Disisi Undang-undang (Vor dem Gesetz) – Franz Kafka
- DAYANG SIFAR
- Feb 21, 2017
- 4 min read

Disisi Undang-undang berdiri seorang penjaga pintu. Datang kepadanya seorang lelaki dari luar bandar dan meminta untuk dibenarkan masuk ke Undang-undang. Namun, si penjaga berkata, untuk masuk sekarang - tidak dibenarkan. Lelaki tersebut berfikir sejenak dan kemudian bertanya jika dia boleh masuk kemudiannya.
“Mungkin“, jawab si penjaga, “tetapi bukan sekarang.“
Pintu masuk ke Undang-undang seperti biasa tetap juga terbuka, dan si penjaga pintu sudah pergi ke kawasan sebelah pintu, lalu lelaki itu tertunduk-tunduk untuk melihat ke dalamnya. Apabila si penjaga sedar akan kelakuannya, dia ketawa dan berkata. “Jika kamu ingin untuk mencuba, cubalah dan masuk walaupun aku menegah. Tapi hati-hati; aku ini kuat. Dan aku hanyalah seorang penjaga yang paling bawah. Balai demi balai ada tukang jaga, setiap yang kemudian lebih kuat dari yang sebelumnya. Lebih-lebih lagi yang ketiga.
Kesukaran sebegini lelaki dari luar bandar itu tidak jangka, Undang-undang sepatutnya boleh diakses oleh semua orang pada setiap masa, fikirnya. Tetapi sekarang penjaga pintu yang memakai kot bulu dia amati, yang punyai hidung besar tajam, serta panjang, nipis, hitam, dan seakan seorang Tartar janggutnya. Lalu dia berfikir, lebih baik dia tunggu sehingga diberi kebenaran untuk masuk.
Penjaga pintu memberinya sebuah kerusi dan membiarkannya duduk di sebelah pintu. Lalu duduk dia hari demi hari dan tahun demi tahun. Dia membuat banyak percubaan untuk diterima masuk sehingga letih penjaga pintu mendengar permintaannya. Si penjaga pintu kerap menyoalnya, seperti bertanya tentang tempat asalnya dan banyak lagi soalan-soalan, namun soalan-soalan ini soalan yang tidak menggamit keinginan untuk dijawab, yang mana hujungnya lagi dan lagi si penjaga pintu akan berkata bahawa lelaki tersebut masih tidak boleh masuk.
Lelaki ini yang memang datang dengan bekalan yang cukup untuk perjalanannya, menawarkan kesemuanya, tidak kiralah apa nilainya barangan tersebut, kepada si penjaga pintu. Si penjaga menerima kesemuanya, tapi dengan berkata:
“Aku ambil ini hanyalah supaya kau tidak fikir ada sesuatu yang kau gagal lakukan”.
Bertahun lamanya, lelaki itu memerhati si penjaga pintu tanpa henti. Dia lupa kepada penjaga-penjaga pintu yang lain, dan fikir hanya yang satu ini lah sahaja yang mencegahnya dari mendapat kemasukan ke dalam undang-undang.
Dia menyumpah dengan kuat akan nasibnya dalam tahun-tahun pertama, namun kemudian, setelah umurnya meningkat, dia hanya mengomel kepada diri sendiri. Dia menjadi seperti anak kecil, dan setelah mengamati bertahun lamanya si penjaga pintu, kepada kutu di kolar kot berbulu si penjaga pun dia pohon rayu untuk cuba mengubah fikiran si penjaga.
Akhirnya penglihatannya menjadi lemah, dan dia tidak lagi tahu sama ada sememangnya keadaan sudah menjadi semakin gelap ataupun matanya yang sebenarnya menipu dirinya. Tetapi sekarang dia melihat seakan ada suatu lampu yang tidak terpadam mula menerangi kegelapan dari sebalik pintu. Tempoh hidupnya sudah tidak lama.
Sejurus sebelum dia mati, dia mengumpul kesemua pengalamannya sepanjang waktu itu untuk satu soalan yang masih belum ditanyakan kepada si penjaga pintu. Dia memanggil si penjaga untuk datang kepadanya, kerana sudah tidak mampu lagi menggerakkan badannya yang semakin kaku. Si penjaga pintu perlu menunduk rendah sekali kerana perbezaan saiz telah banyak berubah, membuatkan kelemahan lelaki itu lebih ketara.
“Apa yang mahu kamu tahu sekarang?“ tanya penjaga pintu. “Kamu ini tidak pernah puas,”
“Semua berusaha untuk mencapai Undang-undang,“ kata lelaki tersebut; “Mengapa walaupun begitu banyak tahun sudah berlalu tiada siapa selain aku yang datang bertanya untuk dibenarkan masuk?”
Penjaga pintu melihat lelaki itu sudah sampai ke hujung hayatnya, pendengarannya juga semakin lemah, oleh itu, supaya dia dapat didengari, dia pun berteriak kepada lelaki tersebut:
“Di sini tiada seseorang pun yang dapat masuk, kerana pintu masuk ini hanya untuk kamu. Sekarang aku akan pergi menutupkannya.”
***
Terjemahan kasar ini dibuat daripada teks terjemahan Inggeris, pada masa yang sama turut dibanding dengan teks asal dalam bahasa Jerman untuk cuba mengekalkan stail penulisan Kafka sendiri (keupayaan bahasa Jerman aku pula hanyalah tahap terendah sekali dan dibantu dengan kamus bahasa Jerman).
Struktur bahasa Jerman yang digunakan Kafka lebih mudah dan straightforward jika dibandingkan dengan terjemahan kepada Inggeris, jadi disini aku mengambil keputusan untuk cuba mengikuti struktur bahasa dalam teks asal. Namun ada beberapa frasa yang aku gagal untuk terjemah ke dalam bahasa Melayu manakala terjemahan secara terus tidak akan membawa makna.
Teks asal merujuk kepada Lelaki yang berasal dari luar bandar sebagai Mann vom Lande. Terjemahan Inggeris rata-rata memberikan terjemahan Man from the country/countryside. Kafka merupakan seorang Yahudi sekular yang menetap di Prague yang ketika itu dibawah pengaruh Jerman (oleh sebab itulah Kafka menulis dalam bahasa Jerman) pada masa orang Yahudi semakin dijadikan kambing hitam kepada semua permasalahan di Eropah.
Pada masa yang sama, Kafka juga seorang sekular yang tidak mengamalkan ajaran Judaisme. Dilema Kafka yang dihasilkan oleh pergolakan identiti ini membuat beberapa penganalisis atau pengkaji sastera menafsirkan Mann vom Lande sebenarnya merujuk kepada konsep Yahudi Adam ha-eretz yang bermaksud Lelaki dari Tanah. Undang-undang ataupun dalam teks asalnya tertulis Gesetz, ditafsirkan sebagai merujuk kepada Torah, iaitu kitab bagi orang Yahudi yang turut dirujuk sebagai undang-undang yang tertulis.
Teks ringkas ini sebenarnya merupakan sisipan kepada novel Der Proceß (The Trial). Namun sisipan ini tidak dimasukkan apabila novel ini terbit kali pertama, ia hanya dimasukkan setelah kematian Kafka. Mesej kepada teks ringkas ini mungkin akan lebih dapat difahami jika dibaca bersama dengan novel tersebut.
Comments