Tiada Lagi Kelas Atasan
- HADRI SHAH
- Feb 17, 2017
- 3 min read

Berikutan posting di Facebook mengenai guru, pentadbir dan mesyuarat 5
jam tanpa karipap pada minggu lepas, kita menyaksikan ruangan komen dirempuh sehingga rabak oleh respon-respon pembaca dari pelbagai latarbelakang terutama dari kaum pendidik sendiri.
Seolah-olah sebelum posting itu ditulis, tiada siapa mengetahui akan kebekuan yang dialami kaum guru - kebekuan yang selama ini menzahirkan bagaimana "budaya" didalam alam pendidikan berjaya membuatkan para kaum guru menjadi "kaku".
Walaupun keterlaluan untuk mengakui posting tersebut sebagai sebuah pedoman, ia lantas menjemput "tukang-tukang komen" mencoretkan pandangan dan keluh kesah mereka; ada yang berkongsi pengalamannya, ada yang sekadar mengiyakan, tak kurang juga yang berkongsi posting kerana merasakan tulisan dari posting itu mewakili suaranya. Yang tidak bersependapat juga tidak ketinggalan meninggalkan aroma membangkang.
Namun, setelah berhari-hari posting ini didebatkan, dari puluhan ke ratusan komen, nampaknya tidak ada seorang pun yang menyambut, memanjangkan idea penulis berkenaan idea;
"realitinya jika warga guru bersatu, mereka punya kuasa untuk menunjukkan kepada pihak berkenaan bahawa perubahan hanya boleh berlaku di dalam kelas, bukan di atas helaian pelan-pelan yang akan bertukar tiap kali menteri bertukar".
Baris-baris ayat ini disusun untuk menterjemahkan sebuah idea di mana kaum guru sendiri berkemampuan mengorganisasi pelan-pelan pendidikan, membikin sistem, gerak kerja yang lebih baik dan menentukan arah tuju pengendalian proses pembelajaran tanpa campur tangan orang-orang atasan (baca: Kementerian dan Menteri Pendidikan).
Apa bisa perkara seperti itu berlaku?
Jawapannya, mengapa tidak?
Apakah kaum guru awal-awal lagi sudah menundukkan kepala ke bawah dan mengharapkan kerja-kerja sebegini ditentukan oleh Menteri kerana dia yang lebih mengetahui?
Manusia tidak memerlukan kelas atasan untuk menentukan nasib dan arah tujuannya kerana sejarah telah membuktikan bahawa kelas atasan yang terdiri dari golongan elit adalah raksasa liar barbarian yang selalu membuli, mengekploitasi kelas bawahan demi kelestarian hidup mereka.
Dalam konteks ini, kaum guru adalah entiti yang mempunyai hubungan paling intim dengan anak-anak didiknya. Seharusnya, mereka lebih mengerti cara-cara yang lebih efektif yang boleh diaplikasi di dalam kelas. Contohnya, metodologi pembelajaran, urusan pendidikan di sekolah-sekolah bandar tidak semestinya boleh diguna pakai di sekolah-sekolah di luar bandar. Dan kerana itu, kaum gurulah yang paling layak mengambil tempat merangka pelan-pelan pembelajaran untuk hasil yang lebih berkualiti.
Cita-cita ini tidak kemana andai kata kaum guru tidak bersedia dan tidak bersatu. Berpartisipasi dalam kesatuan atau kumpulan adalah langkah awal dalam menggerakkan jentera mimpi untuk mencipta warna-warna perubahan.
Kaum guru juga adalah kelas pekerja. Idea kaum pekerja mengorganisasi sendiri kerja-kerja mereka adalah pintu kepada proses memperkembangkan potensi pekerja (self-development) dan secara langsung ia membuka ruang demokratik didalam ruang lingkup kerja yang lebih luas. Seperti yang Marx tekankan, kaum pekerja bukan sahaja memperjuangkan hak jam kerja, upah yang setimpal dan lain-lain kemudahan, tetapi juga untuk merebut nilai perkembangan diri dan ruang kerja yang demokratik.
Idea kaum guru mengorganisasi pelan pendidikan adalah idea yang tidak terbatas kepada mereka sahaja, malah ia adalah idea esensi tentang bagaimana setiap unit kelas pekerja, baik datang dari mana-mana latarbelakang perindustrian, perkilangan, perbankan, perladangan, pertanian - mempunyai peluang untuk mengembangkan idea ini.
Kerana ianya jelas bahawa apabila kaum pekerja mengambil alih atas apa sekalipun tanggungjawab kerjanya, ia telah memecahkan dominasi kelas atasan yang selama ini mengkontrol segala-galanya. Pendominasian ini bukan sekadar mematipucukkan perkembangan potensi seorang pekerja bahkan ia mengakibatkan ketidakupayaan berfikir, bersikap "social ignorance" dan para pekerja terisolasi dari fungsi-fungsi sebenar.
Seperti kaum guru, kelas pekerja yang lain mestilah bersatu, membina sebuah kesatuan yang benar benar progresif jika benar-benar mahukan perubahan. Kesatuan yang sibuk dengan birokrasinya, yang terlalai akan romantisme kejayaan lalu mesti disedarkan supaya jalan-jalan menuju perubahan dapat dicerahkan.
Episod-episod mendambakan kelas atasan menentukan nasib kaum pekerja mesti ditamatkan. Kita tidak boleh lagi menganggap hanya kaum atasan, orang elit, bangsawan, pemilik produksi yang berupaya menentukan apa yang baik untuk hidup kita. Kita tidak memerlukan seorang hero, yang kita sebenarnya perlukan ialah semangat solidaritas hasil dari kekuatan yang kita bina dari komunal untuk membereskan setiap perkara dalam kehidupan atau ruang pekerjaan.
Seperti yang dikata Jordan Flaherty penulis buku terbaru terbitan AK Press, No More Heroes ketika diwawancara Truthout,
"History teaches us a lot about the great men who changed things and not enough about collective struggles that forced change,”
“In the real world, people dont need heroes or rescue: they need systemic solutions to rascism, patriarchy, colonialism and capitalism,”
“Once we learn what real revolutionary change looks like, we won't be fooled by heroes and saviors,"
Comments