top of page

Malam Jangan Berlalu

  • Muhd Syamil Anuar
  • Feb 17, 2017
  • 3 min read

“Apa nak jadi dengan kamu ni Zaim!”

Zaim hanya endah tak endah mendengar Haji Rahim memarahi dirinya. Tanpa membiarkan nasihat bapanya berpanjangan, dengan wajah yang memberontak Zaim mencapai topi keledar dan menghidupkan motosikalnya. Semenjak memulakan pengajiannya di pondok sikapnya yang dulu tidak begitu memberontak kini bertambah radikal, kalau sekiranya dinasihat akan dibalas dengan dengan hentaman pintu, Sekiranya dimarah yang dapat hanyalah makian. Haji Rahim akhirnya tidak dapat menahan sabarnya. Punca kemarahan Haji Rahim ketika itu adalah kerana penduduk kampung memberitahunya bahawa Zaim telah memecah rumah seorang tua yang tinggal di hujung kampung. Tanpa menghiraukan lagi amarah Haji Rahim yang sedang membuak-buak itu, Zaim memecut motosikalnya dengan sangat laju sehinga dengan hanya dengan beberapa detik sahaja bayangannya hilang dari pandangan. Haji Rahim bertambah berang seolah-olah sesuatu telah merasuk fikirannya membuatkan beliau hilang pertimbangan. Dia tidak lagi memikirkan soal lain, yang terlintas dibenaknya ketika itu hanya MARAH!!!MARAH!!! dan MARAH!!!

Haji Rahim dengan segera mencari Hamid sepupu kepada Zaim yang merupakan rakan subahatnya. Hamid merupakan rakan sepermainan zaman kanak-kanak Zaim, dia sebenarnya seorang budak yang tidak nakal akan tapi sentiasa berbelah bahagi antara nilai persahabatannya bersama Zaim serta kesetiaan dan ketaatannya terhadap bapa saudaranya itu. Hamid sering terjebak dengan perbuatan jahat dan kenakalan Zaim kerana mereka sudah terbiasa melakukan setiap perkara bersama sejak kecil.

“Hamid!!!”

“Hamid!!!”

“Kau bagi tahu aku dimana Zaim sekarang?”

Hamid hanya pura-pura bahawa dia tidak mengetahui di mana Zaim berada ketika disoal oleh Haji Rahim. Dia akhirnya terpaksa membocorkan rahsia di mana Zaim berada apabila Haji Rahim tanpa melanjutkan soalannya menampar muka Hamid. Motosikal Hamid yang berada di depan rumahnya itu juga menjadi mangsa amarah Haji Rahim dan terpaksa menangung kecacatan yang kekal sejak kejadian itu. Hasil daripada soal-siasat itu dia segera ke kampung seberang menuju ke tempat yang diberitahu oleh Hamid.

Sesampainya di situ dia mendapati bahawa Zaim kini berada di sebuah rumah. Suasana di sekeliling rumah itu seolah-olah seperti sedang berlangsung majlis keramaian. Terdapat empat buah khemah kanopi majlis kenduri yang penuh dengan berpuluh-puluh anak muda serta beberapa orang tua yang sedang berbual-bual. Sekilas pandang memang seolah-olah sedang belangsung majlis kenduri di rumah itu. Akan tetapi rupa-rupanya semua itu ternyata bukan seperti sangkaan siapa sahaja yang melewati kawasan tersebut. Rumah itu sebenarnya dijadikan sebagai kedai menjual minuman ketum manakala kawasan di belakang rumah pula dijadikan landang penanaman pokok tersebut secara besar-besaran. Penduduk sekitar kawasan itu yang kecanduan ketum berbondong-bondong ke situ untuk melepaskan “ketagihan” dan “kerinduan” mereka terhadap minuman tersebut. Amarah Haji Hamid semakin membuak-buak apabila mendapati Zaim ketika itu sedang asyik meneguk Ketum. Kebiasaannya, dia akan beristighfar apabila menghadapi situasi-situasi yang mengejutkan. Tapi kali ini dia tidak terlintas di fikiran mahupun hatinya untuk mengigati apa-apa termasuklah Tuhan. Dia meluru kearah Zaim. Tanpa sempat Zaim menghabiskan tegukan yang terakhir tiba-tiba meja di depannya sudah terbang ke arah luar khemah.

“Tak guna punya anak!!”

Jeritannya dapat di dengar oleh semua orang yang duduk disitu

“Kenapa kau buat aku macam ini,” katanya tersemput-semput. “Aku tak pernah ajar kau buat macam ni!”

Zaim yang terpinga-pinga dengan kehadiran bapanya itu tidak sempat berbuat apa-apa. Dengan sekilas pandang Haji Rahim menyepak kerusi Zaim, dia hilang keseimbangan lantas tubuhnya rebah menyapa bumi. Ketika itu dia hanya dapat melihat dengan samar-samar batang tubuh bapanya membelasah dirinya yang sudah kaku terbaring. Kepala Zaim ditumbuk bertubi-tubi. Bayangan bapanya itu kelihatan seperti seekor harimau sedang membaham dan meratah tubuhnya hidup-hidup. Orang lain yang berada di sekeliling mereka juga kaku melihat kejadian itu. Mereka tidak berbuat apa-apa sehingalah salah seorang daripada mereka meleraikan kedua beranak itu setelah mendapati Zaim kelihatan seakan-akan sudah nyawa-nyawa ikan dibelasah.

(bersambung)

* MUHD SYAMIL ANUAR adalah peserta bengkel menulis bersama ZF Zamir anjuran Thukul Cetak.


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page