Menunggu Hujan Berhenti
- Nursyuhaidah A. Razak
- Feb 16, 2017
- 4 min read

Pagi itu, hujan masih tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti. Suara-suara kasar dan ganas terdengar di tengah langit, entah bergaduhkan apa tiada seorang pun yang berani bertanya. Pokok kelapa yang daunnya sudah tua, hangus kehitaman akibat disambar petir masih mahu berdiri di hadapan rumah usang ini walau semalam ia telah menjadi saksi kematian kera Haji Shamsudin. Ia mesti terkejut dan menangis hanya saja di dalam cara yang manusia tidak fahami.
‘’Engkau bersungguhkah ini?’’
‘’Mengapa tidak?’’
‘’Dia itu perempuan!’’
Poskad berwarna kuning yang aku terima tiga bulan lalu, masih lagi utuh di tangan kananku, kemudian tangan itu kugenggam, membuatkan poskad itu terlipat ke dalam. Aku sembunyikan dahulu kelat pada bibirku yang telah kusapukan pemerahnya sebelum kulepaskan ia bercakap dengan lelaki bermata udang itu. Hanya sederhana, sekadar sudah boleh menutup pucat dan garisan halus, selebihnya kubiarkan bibir itu terbentuk dengan keasliannya. Lelaki berbaju hitam itu tidak lagi aku pandangi dengan ketakutan yang berpuluh tahun aku sorokkan, pagi itu aku sengaja menunggu apa lagi kebodohan yang akan keluar dari bibir gemuknya itu.
‘’Caramu itu tidak bermaruah. Engkau cuma akan mencemarkan santun perempuannya. Apa engkau tidak merasa malu?’’ Wajah lelaki itu makin membulat, kali ini bersama lelehan peluh dari anak rambutnya yang menggumpal sehinggalah ke lehernya. Kakinya bersilang di atas kerusi kayu yang sudah lusuh sarungnya itu, menampakkan betis kakinya yang besar dan berbulu kerinting. Dia menjentik-jentik hujung rokok daunnya sebelum disuluhkan api, sambil melirikkan matanya yang tersembul itu ke arahku.
‘’Di mana salahnya caraku? Bukankah perempuan juga punya hak memilih?’’
‘’Ah engkau hanya memalukan diri sendiri. Bukan cara kita perempuan melamar lelaki, tidak cukupkah engkau membiarkan lelaki saja melakukan hal itu? Engkau terlalu terdesak sampai perlu pergi kepada lelaki. Itu cara pelacur!’’
‘’Jadi aku perlu menguncikan diri, lalu membiarkan lelaki tercelaka sepertimu masuk ke kamarnya?’’
Mendadak cawan berisi kopi Chanom itu dihempas ke lantai, lelaki yang besar itu bingkas bangun dengan segala kepayahan, perutnya memang terlalu besar dari kepalanya sendiri. Dia menyinsingkan lengan baju hitamnya itu, sehingga nampak urat-urat tangannya yang berselerak. Tangan yang selalu menggerunkan aku berpuluh tahun dahulu, pagi itu sekali lagi ia mengeras di mukaku. Dua kali.
Ketika langit sedang bertengkar di luar, lelaki dengan bibir gemuknya itu juga sedang riuh dengan makian. Aku sempat melihat perut besarnya bergerak-gerak seperti ombak, nafasnya dihembus kuat dan laju, terlalu dekat dengan mukaku.
Dua puluh enam tahun lalu, apabila lelaki itu meminta anak perempuannya Haji Shamsudin, aku tidak mampu mengagak apa sebenarnya yang difikir orang tua ketika itu. Aku menjadi tikus yang disuakan mentega di sebalik lubang kecil, kerana mentega itu elok terletak di atas lantai oleh tuan rumahku sendiri, aku mara mendapatkannya. Aku tidak menyangka apa-apa, sehinggalah seekor kucing hitam yang berkudis di telinga kirinya lari menerkamku. Itulah papan perangkap sebenar yang aku tidak pernah perasan.
“Sudahlah! Engkau jangan lagi mengatur hidup anak perempuan kita. Cukuplah orang tuaku saja yang bodoh, janganlah kebodohan itu engkau ambil. Dia sudah membesar dengan elok, aku yakin dia lebih percaya diri. Lihat ini, dia sudah pandai jujur dengan Cintanya.”
Pagi itu perasaanku menjadi lebih aman, tidak semena-mena langit sudah mahu menghentikan hujannya walaupun awan belum putih sepenuhnya. Lantas aku melepaskan genggaman tangan kananku, poskad berwarna kuning itu aku buka dan mahu saja aku bacakan dengan kuat, namun lelaki berbaju hitam itu tergesa-gesa membelakangiku, dan melangkah keluar dari rumah. Pokok kelapa yang sudah condong itu diterajangnya sekali, ia tumbang. Batang pokok itu kemudian dipatah-patahkan sehingga menjadi kepingan tajam.
“Apa yang engkau buat di situ? Engkau mahu merodok perutku dengan itu? Silakan!”
Lelaki itu meluru kepadaku, memang tidak lagi dia peduli kopiah putih di kepalanya itu, matanya sudah berubah menjadi merah. Serentak itu juga, langit mengeluarkan suaranya yang paling ngeri, dan memanah tepat di kepala lelaki berbaju hitam itu. Matilah dia di tempat yang sama kera Haji Shamsudin telah mati.
Aku kemudiannya ketawa sehingga tidak mampu lagi kudengar tawaku sendiri, poskad berwarna kuning itu terlepas dari rangkulanku, perlahan-lahan.
“Anakku, engkau sudah boleh pulang.”
*
Bondaku, engkau masih ingat bukan Hamka yang selalu aku ceritakan dalam surat-surat yang lepas? Aku selalu menjumpai bayanganmu pada baris-baris ayat yang ditulis Hamka, kemudian aku mesti akan menuliskan namamu di tepi ayat itu. Ayatnya seperti ini bonda - Dalam masyarakat perlu ada orang-orang yang berani menyatakan perkara-perkara yang dipandangnya benar. Lagi Hamka menyambung, misalnya menyatakan kesalahan perkara-perkara yang telah terbiasa orang, telah teradat, padahal tidak sesuai lagi dengan zaman. Dengan keberanian budilah orang-orang berani itu membantah dan orang-orang lain marah kerana kritiknya. Namun kata Hamka, dengan diam-diam orang-orang yang marah itu akan turuti juga apa yang dikatakan orang-orang berani itu.
Bonda, aku telah boleh mendamaikan perasaanku terhadap ayah, aku sudah lupakan kerakusannya pada malam tiga tahun lalu. Janganlah kerana ketakutan engkau sanggup menyekat laluan kerinduanku kepadamu. Engkau telah sempurnakan kemuliaan dirimu, berilah aku peluang menatap anak matamu sekali lagi. Aku telah cukup belajar kecekalan hati dari matamu. Di sini juga ada satu hal yang engkau perlu tahu, bonda. Aku telah belajar mempercayai seorang lelaki, ya di sini ada seorang lelaki yang telah berani membesarkan jiwaku. Engkau telitilah dia selama 3 bulan, dan lamarlah dia untukku sekiranya dia baik menurut fikirmu. Bersama ini aku kirimkan sekali buku Falsafah Hidup. Carilah kekuatanmu kerana sudah kutuliskan namamu di situ.
Untuk kesekian kalinya aku bertanyakanmu bonda,
bila boleh aku pulang ke rumah?
* Nur Syuhaidah A. Razak ialah seorang peserta Bengkel Menulis ZF Zamir anjuran Thukul Cetak.
Comentarios