top of page

Introspeksi Seorang Pelajar Usuluddin

  • NOR EISMA ADIBA
  • Feb 16, 2017
  • 5 min read

Antara masalah hujah "astro" perbandingan agama adalah melibatkan ramalan kedatangan nabi dalam Bible.

Ramai yang menggunakan hujah ulangan ramalan kedatangan nabi dengan menyandarkan itu merupakan ciri-ciri Rasul SAW dalam Bible.

Tetapi tanpa sedar, kerana kita tidak melihat ayat-ayat kontekstual dalam Bible, kita tidak membaca secara keseluruhan apa yang Bible katakan tentang nabi ramalan tersebut.

Bible katakan, itulah nabi yang berdusta dan bodoh. Dan pelajar kita, selalu gunakan sebagai tanda kebenaran kedatangan Rasul SAW.

Dan isu ini bukanlah baru pun, sudah berlarut hampir 7 tahun lamanya. Dalam bidang Usuluddin perbandingan agama, belum pasti pelajar kita sedar masalah ini. Dan mungkinkah wujud ilmu perbandingan agama yang adil dalam pentas yang pelbagai latar belakang penontonnya.

Ini bukanlah kes, siapa berani, siapa "cuak". Ini adalah realiti, janganlah kita hendak menyalahkan sesiapa. Nilaikan dengan rasional, maaf saya terbaca satu post yang mengatakan setelah 10 tahun masyarakat kita belum bersedia terhadap interfaith dialogue. Yang mengandaikan sepuluh tahun sudah memadai untuk menyediakan persiapan tersebut.

Maaf tuan, mungkin boleh kembali melihat berapa lama Al-Kindi belajar bidang Hindu dan India. Berapa lama Al-Biruni mentelaah kitab-kitab Hindu.

Apatah lagi zaman kita ini, yang banyak ujian buat penuntut ilmu dengan laparnya, yang sentiasa diugut untuk berdemonstrasinya, tak turun kata segelintir orang tidak sayang negara, jika turun, penat ketiduran. Ada yang terlampau fokus mengulas tudung fareeda. Jika beruzlah, katanya tidak sesuai kehendak zaman. Yang pandai, disuruh berjaga-jaga, takut jadi gila isim. Ada lagi satu ujian yang tera hebatnya, yakni penyakit "homesick", setiap minggu terkenang lagu Dendang Perantau.

Yalah kalau nak salahkah, marilah kita secara berjemaah mengakui kesilapan kita ini. Instead we just looking our weaknesses, why not, we try looking what we already have and done. Adakah selama ini, kita hanya merasakan sebuah kehilangan, tanpa menyedari apa yang telah kita miliki.

Siapalah dapat memastikan kita benar-benar mampu berhujah tentang ilmu perbandingan agama. Adakah kita sudah cukup layak untuk berhujah? Adakah kita sememangnya menguasai Hebrew sebagai bahasa asal Bible. Adakah kita sudah membaca keseluruhan intipati Bible dari Old testament kepada New Testament, sudahkah kita begitu arif perbezaan King James dan New King James version. Adakah kita mengetahui Injil Barnabas sesuatu yang tidak digunakan kebanyakkan agama Kristian. Adakah kita sudah dapat bezakan tiang salib antara protestan dan katolik.

Okey, itu tentang Kristianiti, cuba kita try power penguasaan kita terhadap bahasa Sanskrit dalam Veda dan Upanisyad, agak-agak boleh faham ? atau sudah mampu menyebut dengan ketepatan makhrajnya.

Apakah ilmu alat, seperti bahasa hebrew dikuasai sepenuhnya orang yang ingin mengajar Bible atau mencabar. Adakah kita benar mampu menguasai bahasa Sanskrit yang menjadi bahasa asas kitab-kitab Hindu-Buddha.

Kita marah "orientalis", bercakap tentang agama kita, tapi paling kurang, mereka telah menyiapkan diri mereka menguasai ilmu alat. Kita pula sentiasa berasa "positif" tidak bertempat. Tahukan kita, orientalis juga membina penguasaan perbendaharaan dan sistem bahasa Arab hanya dalam tempoh 6 bulan yang digunakan untuk memahami teks-teks Arab.

Tidak sedarkah kita, kita terpaksa bergantung ensklopedia mereka juga. Kitab-kitab seperti Al-Irsyad diterjemahkan oleh mereka juga. Tidaklah pelik kita melihat bahasa Inggeris menjadi bahasa ilmu untuk masa kini. Walau tidak menjadi sumber penerokaan penemuan-penemuan baharu, bahasa Inggeris juga telah banyak memudahkan kehidupan kita, menjadi seakan madkhal kepada perbahasan-perbahasan berat. Kita dalam usaha menterjemah Muqaddimah Ibn Khaldun terpaksa bergantung pada translitasi Indonesia, itu masih terdapat beberapa kelemahan walau diterbitkan oleh Dewan Bahasa & Pustaka.

Bahasa & Ulama’

Mengapa kita tidak percaya pada sistem bahasa yang disusun dalam kitab "Matan Jurumiyah", yang telah digunakan hingga ke Chicago, sana. Ya, Chicago. Inilah juga patut menginsafkan kita yang ingin menulis artikel berjela-jela, akhirnya hilang arah tujuannya. Bukankah Imam Hujjatul Islam sudah berpesan, berdoalah agar dijauhkan ilmu yang tidak bermanfaat. Adakah Al-Ghazali hanya dijadikan hujah bila berkonfrontasi dengan ilmu kalam atau falsafah sahaja.

Tidak mahukah kita berebut untuk mengikut satu ajaran beliau, moga-moga "arina al-asyiya kama hiya" tersimbah dalam sanubari kita.

Matan jurum, pendek dan nipis sahaja, tapi keberkatannya hingga kini dapat dirasai. Sang penulis hingga akhir wafatnya, masih memegang kitab ini didadanya. Ulama' dahulu mengarang kitab, bermula dengan amalan wudhuknya dijaga, didirikan solat hajat, semoga apa yang ditulis menjadi manfaat kepada ummat. Hingga akhir hayat masih bermujahadah untuk mengekalkan niat ikhlas.

Tetapi apa kita mampu lakukan, buat master dua tahun sahaja, sudah tercungap, sudah rasa penuh ilmu didada. Setahu saya, semasa di ISTAC dulu, untuk menyelesaikan satu sarjana, penuntut harus menguasai bahasa asing selain bahasa Inggeris. Bandingkan, usaha kita dan mereka. leh demikian, wajarlah kita mengakui dan mengiktkraf, dengan kerendahan hati kita yang paling dalam, apa yang kita dapati hari ini, jika tiada pintu yang membukanya, kita barangkali masih terpesona dengan keangkuhan gagasan Barat. Berterima kasihlah kita pada ulama sejati yang menjadi rambu-rambu dan rumah api buat kita sang pelayar ini.

Mengapa perlu dirobohkan khazanah ilmu ini,

Pernahkah kita membandingkan sistem pengajian tinggi kita dan Oxford yang jauh bezanya. Atau Harvard ? SOAS ? Temple University? Kalau belum, molek rasanya dihisab sepenuhnya kemampuan diri kita ini, yang asyik terlari-lari ditiup isu semasa.

Inilah yang dikatakan "akhirat luput, dunia tercicir", mengejar ranking pun tidak, membina jati diri agama anak bangsa kita lagi rapuh.

Kata guru kami juga yakin, bangsa Melayu jugalah akhirnya membawa semangat perjuangan, jika mereka jelas dan faham akar dan tiang aqidahnya. Memandangkan tiada lagi negara Islam yang tersisa, tanggungjawab kita pulalah, mengajarkan Islam pada mereka.

Sebagaimana, dahulu Islambol telah mengarahkan para mubaligh datang ke negeri ini untuk diIslamkan.

Sebagaimana yang dicatat dalam Hikayat Raja Pasai, wujudnya negeri Sumatra kerana negeri ini dikenali kerana kewujudan semut sebesar kucing yang dipanggil sebagai "semut raya". Dikatakan, rasulullah yang memerintahkan untuk sahabat datang kesini.

Kini, giliran kaum muslimin disini yang memikul amanah ini, mengajak ummat kembali tauhid, menafikan wujud diri, mengisbatkan hanya Allah yang menggerakan setiap zarah yang sentiasa baharu.

Katanya,

Sifat Sejarah Menurut Orang,

Ibarat Pentas Bermain Wayang,

Lakonan Lama Dihurai Dalang,

Pabila tammat, segera diulang

Jika demikian mustahil pantang,

Giliran Islam pula mendatang,

Lakonan Lama Indah Gemilang,

Di layar dunia semula terbentang.

Yang perlu dirisaukan adalah masa hadapan kita, masa hadapan generasi mendatang. Adakah kalimah toyyibah yakni kalimah nafi dan isbath ini menjadi zikir buat mereka. Apakah akan tenggelam faham tauhid yang tulen, dicabar dengan cogito ergo sum. Akan hilangkah kalimah membesarkan Allah di cuping anak-anak yang baru lahir, diganti dengan faham-faham yang tidak selayaknya bagi tuhan.

Masih tidak mahu seriuskah kita memahami inti aqidah yang sebenar-benarnya. Tidak rindukah kita untuk kembali ke jalan pulang.

Sebagaimana orang bercinta yang tidak mahu berpisah dengam kekasihnya, dalam setiap nafas ada ingatan pada dirinya, apa kita fikir, diri ini tidak rindu pada kesempurnaannya tika memetrai janji di alam alastu.

Pecahkan hatimu wahai penuntut ilmu, jika kau sudah hilang perbendaharaan cinta, jejakilah kembali Rumi bila engkau sudah kepasrahan. Bila kau sudah pecahkan hatimu, engkau mula sedar dalam diri ini, tuhan zahirkan pengenalannya pada penciptaannya.

Mana mungkin kita belajar erti rindu, jika tidak kita memiliki pengalaman rindu,mana mungkin rasa ikhlas itu tidak pernah diuji bila kita berada dalam kesempurnaan ada. Mana mungkin cinta itu hadir tanpa kegilaan, seperti mana soalan raja pada Si Laila,

“Bagaimana engkau boleh terpikat pada si Majnun?”

Jawab Laila mudah.

“Jika tuanku ingin menilai kecintaan saya pada Majnun, tidak boleh melihat Majnun pada kaca mata tuanku, tuanku harus melihat Majnun pada kaca mata saya”.

Bahagian 1 , bersambung jika perlu.


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page