Sekeping Pamplet Di Utah
- Ahmad Zubir
- Feb 15, 2017
- 6 min read

“Vroom”
Bunyi deruan pedati bermesin memecah keheningan pagi membuatkan aku bangkit dari tidur. Aku bingkas bangun dari baringanku di atas bonet belakang kereta Chevrolet Malibu berwarna perak. Hari masih gelap dan matahari dalam perjalanan menzahirkan dirinya. Aku sekarang berada di kawasan parkir kereta campsite yang aku sendiri tak tahu namanya.
Zion National Park, taman negara ketiga untuk minggu ini sahaja. Utah, negeri keenam sepanjang kembara ini. Kecantikannya? Indah dan menakjubkan pada masa yang sama. Semalam tiba dari Grand Canyon National Park pun pada jam sebelas malam. Gelap gelita sepanjang perjalanan dari tempat masuk hingga ke sini. Pagi ini baru aku dapat saksikan dengan biji mata aku sendiri keindahan gunung-ganang di tepi kiri dan kananku. Air sungai mengalir di antara keduanya. Kali ketiga aku jatuh cinta dengan tanah besar ini. Takjub sebentar buat dua minit.
“A sight for sore eyes.”
Utah merupakan syurga buat para pencinta hutan belantara dan padang pasir. Ekologinya unik, pemandangan yang menakjubkan, dan kaya dengan landskap arkeologi. Negeri ketiga terbanyak taman negara. Di Utah sahaja, ada lima National Parks yang menerima kunjungan lebih dua juta pengunjung sepanjang tahun iaitu Bryce Canyon National Park, Zion National Park, Arches National Park, Canyonlands National Park dan Capitol Reef National Park. Tapi sayang, daripada lima taman negara ini, hanya Zion sahaja yang berada dalam itinerari yang telah disusun selama enam bulan di Malaysia bersama Muadz dan Amir.
Mustahil untuk seorang peminat aktiviti outdoor kalau tidak pernah berangan-angan untuk pergi ke Zion. Lembah yang megah berdiri mengikat mata yang menatapnya. Di tengah-tengahnya Zion Canyon yang seluas 147,000 ekar menjadi titik tumpuan taman negara kebanggaan Utah ini.
“Aku suka Zion. Sebab dia kecil. Hiking trail dia pun tak banyak pilihan. Kalau nak pergi sehari sahaja pun boleh” kata Amir yang pernah berkunjung ke sini sebelum ini.
Kami sarapan ala kadar di tempat parkir utama taman negara. Sarapan pagi untuk hari ini sekadar sebiji pisang dan sebotol jus oren yang aku beli di Grand Canyon semalam. Lalu Amir dan Muadz masing-masing menukar pakaian di tandas meninggalkan aku berseorangan di parkir kereta. Aku nak jimat masa, tukar baju di dalam kereta sahaja.
Laluan pendakian ke puncak yang dipilih, Angel’s Landing. Jarak, 2.4 miles bersamaan 3.96 kilometer. Pada awalnya nampak senang tetapi sebenarnya jauh gila. Sehinggakan aku sendiri ragu-ragu dengan kemampuan sendiri. Aku tak berpeluang untuk sampai ke puncak. Muadz dan Amir meneruskan hingga ke puncak. Aku hanya mampu menghabiskan 70 peratus pendakian. Itu pun, pandangan dari titik berhenti aku sudah cukup menerbangkan hati lara ini.
Bak kata Imam Shafie, siapa yang tak merasa dia takkan tahu. Bila dah naik laluan pendakian Angel’s Landing, baru aku tahu laluan ini adalah antara laluan pendakian terbahaya di dunia. Kes kematian terakhir di laluan Angel’s Landing adalah pada bulan April tahun 2010. Seorang pendaki bernama Regine Milobedzki yang jatuh pada ketinggian 1000 kaki.
Tiga jam untuk naik, tiga jam untuk turun semula ke checkpoint The Grotto, titik berhenti bas shuttle yang membawa pengunjung-pengunjung Zion ke laluan pendakian yang berlainan. Aku kembali semula kaunter masuk untuk mengutip brosur Zion National Park buat mama yang sudah memesan sewaktu di Malaysia lagi. Lalu aku terpandang sebuah pamplet . Niat asalku untuk ambil pamplet ini sebagai kenang-kenangan dan bahan bacaan waktu lapang di Malaysia nanti. Tetapi tajuk utama yang terpampang di muka hadapannya menimbulkan sifat ingin tahu semulajadi ku pula. “Utah’s Redrock Wilderness: Too Wild To Drill”. Aku belek satu persatu muka suratnya. Dari hujung ke hujung. Kesemua tajuk artikel berkisar di sekitar isu alam sekitar. Rupa-rupanya, ia terbitan sebuah NGO alam sekitar tempatan.
“Baca apa tu Mad?” tanya Amir.
“Pamplet aku ambil kat kaunter tadi.”
“Pasal apa?”
“ Pasal kempen penolakan kumpulan aktivis alam terhadap p-emaju-pemaju yang mewakili kerajaan tempatan tentang isu penggerudian minyak dan gas asli tanah persekutuan di Utah.”
“Gerudi minyak?” Muadz membuka mulut.
“Dia tulis kat sini pada tahun 2012, 1300 telaga minyak dan gas asli yang telah diluluskan oleh Bureau of Land Management di kawasan Desolation Canyon, Utah. 16 tender projek penggerudian telaga minyak dan gas asli baharu diberikan kepada syarikat minyak mega Gasco yang berpusat di Colorado. Projek ni kontroversial. Lepas sahaja dia diluluskan, media seluruh tanah besar AS kritik projek ni dan kritik Gasco teruk-teruk” jawabku.
“Apa isunya kat situ?” Amir persoalkan.
“Kau tahu tak, waktu tu Utah sedang mengalami pencemaran lapisan ozon. Akhirnya dijumpai ia ada kaitan rapat dengan pembangunan minyak dan gas asli seliaan Gasco. Tapi kelulusan projek ni dibatalkan tahun ini oleh seorang hakim persekutuan sebab beban bukti yang banyak menunjukkan kesan buruk dan pencemaran projek ini terhadap alam sekitar. Hatta sehingga ke hari ini, Desolation Canyon masih terancam dengan pembangunan minyak dan gas asli.”
“Cerita dia macam ni, kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS) berhak keatas 60 peratus tanah di Utah yang mengandungi tanah milik Bureau of Land Management, hutan negara, taman negara, kawasan rekreasi negara dan kawasan pasir gurun terpelihara. Bureau of Land Management pula memiliki 40 peratus dari tanah negeri Utah. 40 peratus tanah ini juga mereka telah pajakkan untuk projek perlombongan serta penggerudian minyak dan gas asli yang mengakibatkan kerosakan ekosistem padang pasir dan tapak arkeologi Utah.”
“Kau pasti projek gerudi telaga minyak ni punca pencemaran alam sekitar di Utah?”
“Betul. Aku baru sahaja periksa laporan Southern Utah Wild Alliance (SUWA)”
“Benda jadi makin teruk semenjak bulan Mac 2010. Dewan Rakyat Negeri Utah telah luluskan sebuah bil yang membenarkan kerajaan negeri untuk menggunakan kuasanya merampas tanah-tanah persekutuan yang dilindungi bagi tujuan pembangunan”
“Walaupun mereka mempunyai Wilderness Act 1964 yang bertindak memelihara hutan belantara dan pasir yang merupakan khazanah alam sekitar di tanah AS ini, syarikat pemaju masih bertindak agresif dengan projek perlombongan dan penggerudian minyak dan gas asli yang mendatangkan banyak pencemaran dengan izin kerajaan tempatan dan daerah”
“Kau pun tahu kan harga minyak kat Amerika turun sampai 50% dari harga asal. Kalau diorang tak gali macam mana nak dapatkan minyak” ulas Muadz.
“Aku pun rasa tak ada masalah dengan pembangunan. Cuma benda ni haruslah terkawal. Kalau sampai gerudi tu menggadaikan alam sekitar dan menyebabkan pencemaran, tu bukan pembangunan tapi menambahkan kerosakan” balasku.
“Isu projek penggondolan tanah persekutuan di Utah ini bukan isu baru tau. Debat terhadap Undang-Undang Pasir Gurun (Wilderness Legislation) sendiri ambil masa selama empat dekad. Sudah lebih empat dekad aktivis alam sekitar bertindak membantah, memprotes, malah mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman syarikat pemaju. Sampaikan ada seorang aktivis bernama Dan Kent pernah ditahan kerana bertindak menghalang mesin bulldozer kepunyaan kerajaan daerah berdekatan Canyonlands National Park.”
“Ayah aku pernah cukup dulu, tanah itu duit dalam bentuk yang berlainan. Aku tak pernah faham apa pun ayah pesan dahulu. Tetapi sekarang makin aku faham bila tengok kenapa syarikat-syarikat tenaga terkejar-kejar macam orang gila nak buat projek minyak dan perlombongan kat pantai barat AS. Bukan setakat Utah sahaja, seluruh dunia dia nak gerudi kalau boleh. Di mana ada tanah yang luas, di situ ada pemaju tamak yang dahagakan wang ringgit.”
Walaupun Utah merupakan negeri yang mempunyai pengundi teramai parti Republikan (parti presiden Donald Trump) di AS, Senator Bob Bennet yang telah berkhidmat selama tiga penggal bawah payungan parti Republikan dan beberapa pesuruhjaya daerah tempatan dan kumpulan aktivis alam sekitar telah berjaya meluluskan Omnibus Public Lands Management Act 2009 sebagai sebahagian daripada Washington County Land Bill yang telah menetapkan tanah seluas 256,000 ekar di bahagian barat daya Utah sebagai padang gurun yang terpelihara. Selain itu, akta ini juga memberikan laluan kepada kelahiran Wild and Scenic River pertama Utah sepanjang 268 kilometer yang mengalir di luar Zion National Park. Akta ini telah ditandatangani sendiri oleh Presiden Obama. Akhirnya, sesuatu yang melegakan kumpulan aktivis alam sekitar tempatan yang berasa bertanggungjawab untuk memelihara dan memulihara khazanah alam agung ini setelah hampir 40 tahun bertarung dengan pemaju dan kerajaan persekutuan yang rakus bertopengkan slogan pembangunan dan slogan kemajuan.
Isu alam sekitar di Utah telah berlangsung selama 4 dekad dan ia mungkin akan berlangsung sampai bila-bila. Ia akan masih berterusan selagi ada manusia-manusia yang sanggup menggadaikan khazanah alam ini demi wang ringgit dan emas semata-mata. Di Utah sahaja, lipatan sejarah mengatakan Gasco hanyalah sebuah syarikat dari berpuluh syarikat lain dalam konflik ini. Ini baru isu minyak sahaja tidak termasuk isu perlombongan yang dirancang Andalex Resources, syarikat perlombongan dari Belanda.
“Manusia ni gila kan. Bila bertuhankan duit dan harta, sanggup berbuat apa saja. Hatta sanggup memusnahkan bumi yang didiaminya.”
Pada penghujung harinya, aku menyesal kerana tidak menghabiskan pendakian Angel’s Landing kerana dua faktor: penat dan gayat. Khabar dari Muadz mengatakan pemandangan di puncak Angel’s Landing sangat scenic dan picturesque. Dari raut wajah Muadz sendiri aku dapat mengagak keindahan pemandangan yang terbit dan terakam di mindanya. Muadz pun sebenarnya gayat tetapi tidak seteruk aku. Aku berharap untuk pergi lagi sekali ke sini di masa hadapan untuk mengulangi pendakian ini.
Sang tupai yang mundar mandir berdekatanku begitu asyik dengan kehidupannya sewaktu duduk di tepi curam. Tapi sayang, apakah nasib sang tupai ini jika wilderness ini terus dirogol dan dimamah mesin gerudi minyak. Sedih sekali. Mungkin kerana pokok-pokok yang berdiri dan air yang mengalir tidak punya mulut untuk berkata-berkata. Rungutan binatang-binatang ini tidak mampu difahami penindas-penindas yang hanya faham bahasa wang dan emas.
Kunjungan aku ke Zion National Park ini sememangnya berbaloi. Mindaku terbangkit dengan satu persoalan. Sampai bila harus begini?
Baru-baru ini, sebuah empangan terbesar di AS, Oroville Dam di California dituruni hujan lebat semakin hampir untuk runtuh dan bakal menyebabkan bah banjir besar. Ini adalah kesan daripada pemanasan global dan cuaca yang tidak menentu. Dilaporkan hampir 200,000 penduduk berdekatan terpaksa dipindahkan ke tempat selamat. Adakah wabak pemanasan global ini masih belum menyedarkan manusia ini bahawa kita sedang menuju kehancuran. Adakah kita tidak sedar atau kita pura-pura tidak sedar?
“Only when the last tree has died and the last river been poisoned and the last fish been caught will we realize we cannot eat money” - Anonymous.
* Ahmad Zubir ialah salah seorang peserta Bengkel Menulis ZF Zamir anjuran Thukul Cetak.
Commenti