top of page

Kini Semua Mahu Jadi Rangga Dan Cinta

  • Fazleena Hishamuddin
  • Feb 14, 2017
  • 5 min read

"Ku lari ke hutan, kemudian menyanyiku

Ku lari ke pantai, kemudian teriakku

Sepi-sepi dan sendiri

Aku benci.

Aku ingin bingar,

Aku mau di pasar

Bosan Aku dengan penat,

Dan enyah saja kau pekat

Seperti berjelaga jika Ku sendiri.

Pecahkan saja gelasnya biar ramai,

biar mengaduh sampai gaduh,

Ada malaikat menyulam jaring laba-laba belang di tembok keraton putih,

Kenapa tak goyangkan saja loncengnya, biar terdera

Atau aku harus lari ke hutan lalu belok ke pantai?"

Besar sungguh implikasi puisi ini yang disampaikan oleh watak Cinta lakonan Dian Sastrowardoyo yang dibacakan dalam filem Ada Apa Dengan Cinta? Filem yang diarahkan oleh Rudi Soedjarwo ini telah berjaya mengembalikan semula kebangkitan sinema di Indonesia yang pernah suram. Kisah cinta remaja di antara Rangga dan Cinta lakonan Nicholas Saputra dan Dian Sastrowodoyo, serta dunia persahabatan menjadi tema keseluruhan filem ini. Namun ia diikat kuat dengan sesuatu yang mungkin jarang diperkatakan atau menjadi subjek sesebuah filem iaitu kesusasteraan; terutamanya puisi. Di dalam filem ini, puisi dilihat punya magis tersendiri yang memberi kesan kepada watak utamanya dan ia berbekas dan kekal di hati penonton sehingga kini. Sehinggalah Ada Apa Dengan Cinta? dilanjutkan dengan sekuelnya filem Ada Apa Dengan Cinta Dua, arahan Riri Riza.

Seiring dengan itu, album soundtrack film tersebut, yang dirilis pada tahun 2002 mengandungi lagu-lagu karya Melly Goeslaw dan suaminya Anto Hoed, juga mendapat perhatian yang besar bagi seluruh rakyat Indonesia. Aku (1987), buku dari karya sutradara dan seniman Sjuman Djaya mengenai penyair Chairil Anwar, turut menjadi buruan anak-anak muda yang sudah menonton film itu. Buku berdasarkan perjalanan hidup dan karya Chairil tersebut menjadi salah satu penghubung-jalin hubungan Cinta dengan Rangga dalam film itu. Pada 2003, buku tersebut diterbitkan ulang dan puisi menjadi siulan anak-anak muda hingga kini.

Bulan lepas saya dijemput menghadiri sebuah acara seni bacaan puisi di sebuah Kafe di tengah-tengah Ibu Kota. Saya pergi ditemani suami. Acara baca puisi sejak beberapa tahun kebelakangan ini begitu meriah. Ia bukan saja dijalankan di ruang yang terbuka, acara jalanan, acara khas, di majlis rasmi dan santai, di dewan, di sekolah, Universiti, malah kini bacaan puisi juga dibuat di Kafe-Kafe hipster. Sebagai orang yang terlibat secara langsung dengan puisi dan acara-acara seni-budaya, saya semestinya gembira dan melihat ia sebagai sebuah perkembangan yang amat sihat.

Kafe agak penuh dengan pengunjung. Ada wajah-wajah yang saya kenal di meja-meja berhampiran. Usai bersapa mesra, kami memilih duduk di bahagian hadapan pentas bersama dengan dua orang lelaki yang saya tak biasa nampak wajahnya di acara-acara seni. Kami berbual dan berkenalan. Mesra dan harmoni. Rupa-rupanya salah seorang dari mereka akan membuat persembahan di majlis itu. Seorang lagi adalah teman yang datang menemaninya.

Malam acara itu dibuka dengan persembahan seorang gadis muda yang memakai kebaya Melayu bersama bunga ros merah di sanggulnya. Manis sekali. Ada sesuatu yang menarik perhatian saya tentang penampilannya. Saya teruja dan tak sabar-sabar melihat persembahannya.

Gadis manis mula membuka kertas dan bersedia membaca puisinya. Katanya ia puisi yang ditulis sendiri berdasarkan pengalaman kehilangan bapanya yang diserang kanser tahun lepas. Keterujaan saya terbantut apabila gadis bersanggul bunga ros itu tadi membaca dengan slang Indonesia yang amat pekat. Nada dan intonasinya juga sama seperti mana gaya Cinta watak Dian Sastrowardoyo dalam filem Ada Apa Dengan Cinta? melagukan puisinya. Saya pandang suami saya dan suami saya membuat tindak-balas yang sama. Kami berpandangan agak lama. Selesai persembahan, semua orang menjerit dan bertepuk tangan pada gadis tadi. Dahi saya berkerut. Saya rasa gelisah.

Kini tiba giliran mamat yang duduk semeja dengan kami. Saya dan suami tepuk bukan main kuat lagi, maklumlah rakan semeja. Beliau membaca dengan diiringi gitar oleh seorang lagi teman yang duduk di meja lain. Beliau memperkenalkan diri dan mula mendeklamasi sajaknya. Dia nampak yakin kerana tak mengeluarkan sebarang kertas atau buku nota dari kocek atau beg galasnya. Saya memang kagum dengan penyair yang menghafal puisinya untuk dipersembahkan. Usaha untuk membuat persembahan itu harus ada dalam diri setiap penghibur atau orang yang diberi peluang untuk naik ke pentas.

Sekali lagi reaksi yang sama dari saya dan suami bertemu. Bulat-bulat mata saya tak puas hati. Suami saya senyum saja sambil menepuk-nepuk bahu saya. Minta saya bertenang. Teman beliau yang duduk semeja dengan kami siap bersiul dan menjerit sekuat-kuatnya tanda sokongan yang tak berbelah-bagi. Saya tak faham bagaimana seorang lelaki Melayu yang bercakap bahasa Melayu dengan lancar dan intonasi yang ke-malaysia-an dengan kami sebentar tadi, tetapi apabila berada di atas pentas dia mula berbunyi seperti rakyat Indonesia. Kenapa dia harus jadi Rangga sedang dia boleh jadi diri sendiri? Kalau orang Indonesia tengok persembahannya, apa kata mereka agaknya?

"Kalau dia bercakap dalam slang Indonesia depan kita tadi, I boleh terima. Tapi dia cakap bahasa Melayu kot tadi." Suami saya bisik pada saya selepas selesai persembahan mamat semeja dengan kami tadi. Seterusnya malam-malam kami seolah berada di Jogjakarta dan Jakarta. Semua orang pun cuba untuk menjadi Rangga dan Cinta. Aduh, ia sungguh menyesakkan dan menyedihkan.

Saya faham fenomena filem Ada Apa Dengan Cinta? menyebabkan semua orang mahu jadi Rangga dan Cinta. Semua orang rasa mereka boleh menulis puisi. Bila difikirkan balik ia bagus untuk mengangkat puisi dalam peradaban bangsa. Mendekatkan masyarakat terutamanya generasi muda menilai sastera Melayu dan mencintai puisi. Saya suka apabila semua orang melihat puisi seperti senjata untuk melahirkan pemikiran. Menyatakan rasa, emosi dan perasaan. Tapi ia bukan bermakna harus menyarungkan baju orang lain. Kenapa kita tidak bangga mendeklamasikan sajak dengan cara dan identiti negara sendiri?

Penyair sasterawan dan veteran kita masih kekal melontarkan suara dengan nada bahasa Melayu sejati. Mereka tidak pernah cuba-cuba menjadi orang Indonesia. A.Samad Said, Usman Awang, Pyan Habib, Muhammad Haji Salleh, Zurinah Hassan, semuanya membaca dengan semangat anak Malaysia yang bangga dengan bahasa mereka sendiri. Kesusasteraan itu akhirnya adalah simbol dan kebanggaan terhadap bahasa Ibunda sesebuah negara. Penulis dan penyair bangsa Cina seperti Lim Swee Tim juga berpuisi dalam bahasa Melayu yang jelas dan lancar. Yang Melayu sibuk-sibuk nak jadi Rangga dan Cinta sangat ni, tak malu ke?

Saya perhatikan, anak-anak muda sekarang bukan saja meniru cara penyampaian puisi dari Indonesia, malah juga menulis dengan cara penulis Indonesia menulis. Sudahnya apabila kita membaca buku puisi dari penulis Malaysia, kita sudah tidak boleh bezakan yang mana puisi dari Malaysia dan mana dari indonesia.

Ada segelintir sahabat saya sendiri bersikap defensif dengan seboleh-bolehnya merasakan bahawa bercakap, menulis dan menyampaikan persembahan dengan slang dan dialek Indonesia itu tidak salah. Ini atas hujah beliau bahawa 'Indonesia-Malaysia itu serumpun'. Beliau mempertahankan bahwa darah yang mengalir dalam tubuhnya adalah dari darah Jawa. Jadi tidak salah dan bukanlah perkara yang harus ditegah jika yang keluar dari mulut kita berbunyi Indonesia. Saya sampai hari ini tertanya-tanya, mana titik relevan hujahannya itu?

Kalaulah satu hari nanti, kita mahu merakam sastera dan puisi Malaysia dalam bentuk filem, adakah para pelakonnya akan mendeklamasikan sajak dalam bahasa Indonesia? Dan siapa pula yang akan menontonnya nanti?

* Fazleena Hishamuddin ialah salah seorang peserta Bengkel Menulis ZF Zamir anjuran Thukul Cetak.


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page