top of page

Strategi Baru Ala Goebbels; Politik Sarkastik & Politik Plastik

  • Fazallah Pit
  • Feb 10, 2017
  • 4 min read

Kredit: The Star Online

Dato’ Seri Jamal Yunos tak habis-habis dengan gelagatnya. Lepas satu, satu. Lepas ini, entah apa pula?

Apapun, kehadiran Jamal di tengah-tengah pusaran politik yang tunggang terbalik ini, setidak-tidaknya memberi rencah tersendiri. Menghangatkan suasana politik yang mulai suram kebelakangan ini.

Selepas gelombang tsunami yang mencipta momentum panjang hingga ke Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, mulai reda dan kemudian jadi cacamerba – Dari Kajang Move yang mengembalikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke palang penjara manakala Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat, Karpal Singh pula kembali kepangkuan-Nya, kesuraman dan kebengongan bertukar ganti mengambil tempat. Barangkali, kegilaan paling ketara apabila ‘Mahafiraun’ diangkat sebagai malaikat.

Suasana itu menjadikan rakyat bertambah jelak dengan politik. Sedangkan penyokong tegar partipun jadi lelah dengan rencam permainan dan sepak terajang politik, apatah lagi golongan atas pagar – bagi mereka, politik makin memualkan.

Lebih-lebih lagi, sebahagian golongan atas pagar ‘malas’ ambil tahu, jauh sekali atau mengupas satu-satu isu politik dengan mendalam (detail) sebaliknya hanya memandang sepintas lalu atau secara permukaan (surface).

Saat inilah, Jamal muncul.

Pun begitu, Jamal bermula dengan gagal. Geng Baju Merah yang digerakkannya bagi melawan kemaraan Bersih, dengan segala bentuk kesamsengannya ternyata memalukan – ibarat senjata makan tuan.

Penyokong Pakatan Harapan membenci dan mengutuk keras manakala penyokong pemerintah meluat lalu buat tidak tahu.

Sidang media dalam jamban pula hanya menambahkan kebencian ramai. Menjijikkan. Namun, Jamal tidak mengalah, tidak berhenti di situ sebaliknya mencari formula baharu.

Sejak bertowel di bangunan SUK, Shah Alam sebagai protes masalah bekalan air, diikuti membawa katil bujang dan ‘ais krim’ ke bangunan SUK, seterusnya menyerbu pusat judi sambil membawa plakad gambar Mohamed Azmin Ali, Jamal akhirnya berjaya menyampaikan mesej yang dikehendakinya.

Strategi itu tular dalam media massa tanpa dibebankan dengan anasir kebencian seperti sebelumnya. Walaupun ketara kebodohannya, kutukan penyokong pembangkang terhadapnya hanya menghadirkan simpatisan.

Ramai sedar, di sebalik bodoh-bodoh alang perbuatan Jamal, terselit kebenaran yang konkrit; hakikat yang real.

Jamal secara sarkastik berjaya membuktikan wujud masalah air yang serius di Selangor; beliau juga menayangkan kepada rakyat betapa pusat judi dan rumah urut berserakan di pelusuk Selangor.

Rakyat pasti terbuka mata dengan pendedahan Jamal itu. Dengan elemen sarkastik itu, terbuntanglah mata rakyat terutama golongan atas pagar akan suasana sebenar di Selangor.

Penahanan Jamal kerana menceroboh premis perjudian, rumah urut hanya menjadikan sebagai wira badut. Jamal dilihat sanggup memperbodohkan diri supaya masalah rakyat didengari pemimpin Pakatan Harapan. Malah, Jamal dianggap seorang individu yang bersungguh-sungguh mendedahkan kebenaran yang selama ini disapu bawah karpet.

Peletakan jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar bakal memudahkan aksinya pada masa depan. Perbuatan bodoh-bodoh alangnya tidak lagi dikaitkan dengan kepentingan Umno sebagai parti pemerintah di negara ini, sebaliknya ‘konon’ sebagai pejuang rakyat.

Yang penting bagi Jamal, kerajaan Pakatan Harapan perlu ditampal dengan imej seburuk-buruknya. Jamal kali ini licik bermain dengan persepsi dan half true.

Hakikatnya, masalah bekalan air, rumah urut dan pusat judi sudah sebati dengan Selangor pada zaman pemerintahan Umno BN lagi. Ia sudah berakar umbi di negeri itu. Namun, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahupun Mohamed Azmin Ali gagal menanganinya.

Dalam isu rumah urut, misalnya biarpun Khalid mahupun Azmin membentangkan fakta betapa tiada lesen baru dikeluarkan tetapi ternyata lambakan pusat maksiat secara haram tidak ditangani dengan tuntas.

Dan Jamal hanya perlu ‘buat kecoh’ dengan kreatif supaya kegagalan pentadbiran itu terus digembar-gemburkan supaya lekat di minda pengundi, sekali gus menenggelam segala dasar kebaikan untuk rakyat.

Jamal melakukan strategi yang lebih baik daripada Dr Joseph Goebbels, Menteri Propaganda Nazi yang terkenal dengan taktik: pembohongan yang diulang-ulang akan diyakini sebagai kebenaran.

Sebaliknya, Jamal tidak melakukan pembohongan sebaliknya membentang secara kreatif sebahagian fakta benar sambil menutup fakta lain. Secara mudahnya, beliau memanipulasi fakta yang betul – strategi yang selama ini dijuarai pendukung pembangkang tanah air.

Suka atau tidak; bodoh atau tidak bukan soalnya. Itu tidak pernah Jamal peduli. Yang penting, perhatian ramai yang mahu diraihnya. Terutama golongan atas pagar yang selama ini menjadi penentu kemenangan dalam pilihan raya umum.

Jangan lupa, propaganda yang terbaik adalah propaganda yang tidak disedari.

Walaupun hakikatnya, kuasa kerajaan negeri dalam membanteras kegiatan rumah urut, misalnya sangat terhad - hanya mampu menggerakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sedangkan pihak berkuasa lain dalam naungan Kerajaan Persekutuan, termasuk polis.

Walaupun ada polis dan pihak berkuasa lain memberi bantuan tetapi mereka tidak bertuankan kerajaan negeri, sebaliknya kesetiaan mereka hanya tumpah kepada Kerajaan Persekutuan.

Berdasarkan pengalaman beberapa tahun penulis sebagai wartawan Berita Harian di Selangor, lambakan rumah urut, pusat judi, malah masalah bekalan air sudah sampai ke tahap serius dan tidak terkawal, lama sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan.

Pada zaman pentadbiran Dr Mohamad Khir Toyo, beliau sendiri tidak mempercayai polis. Pernah beberapa kali, beliau memanggil wartawan ke kediaman rasmi di Bukit Megawati untuk mengikutinya membuat serbuan.

Namun, lokasi serbuan dirahsiakan. Sedikit sebanyak ia menyusahkan pengamal media kerana selama ini, wartawan dimaklumkan lebih awal lokasi yang mahu diserbu supaya memudahkan persiapan media.

Polis hanya dipanggil selepas tiba di lokasi rumah urut/pelacuran. Ini kerana makluman awal kepada polis kerap menggagalkan operasi, disyaki akibat kebocoran maklumat.

Bayangkan, jika zaman Dr Mohamad Khir pun, polis tidak boleh dipercayainya; bagaimana polis yang bertuankan Bukit Aman akan bermati-matian untuk membantu Kerajaan Pakatan Harapan?

Ini bermakna, segala protes Jamal hanya politik plastik semata-mata. Masalah yang diproteskannya sudah sekian lama berlarutan. Dan beliau selama ini bungkam kerana pentadbir ketika itu adalah bosnya - Umno.

Tapi kini, keadaannya berbeza.

Dan Jamal tahu, politik didominasi persepsi. Persepsi mampu mengaburi kebenaran. Namun, selama ini – sepanjang momentum ABU - Asal Bukan Umno begitu lantang hampir sedekad lamanya, pembangkang lebih kreatif dan pintar dalam gimik politik.

Masih ingat Tian Chua duduk depan tayar trak Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dalam satu perhimpunan reformasi pada 1999?

Gelagat berani mati ‘budak nakal’ Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ternyata menyemarakkan semangat penyokong. Beliau secara tidak langsung menghantar mesej ini: biar mati asalkan keadilan tegak.

Maka, bermati-matilah penyokong PKR dan parti sekutunya mengharung demontrasi demi demontrasi walaupun terpaksa berdepan belantan FRU untuk bertahun-tahun lamanya.

Dan sekarang, Jamal pula menjadi budak nakal Umno. Jamal tahu dia tidak boleh melawan Pakatan Harapan dengan protes biasa-biasa. Pakatan Harapan punyai ramai hulubalang yang bijak memanipulasi senario politik.

Jadi, Jamal perlu beraksi lebih dari biasa-biasa. Maka, jadilah Jamal yang kita lihat hari ini.

Ketika Jamal dan kuncu-kuncunya barangkali mendapat habuan hasil kreativitinya, kita sebagai pengundi hanya mampu ketawa; tanpa sedar yang ditertawakan itu sebenarnya diri sendiri.

Saat rakyat terpancing dengan politik sarkastik Jamal, kita masih bungkam; membiarkan gimik demi gimik berlarutan tanpa berhenti sejenak dari ketawa, seolah-olah kita turut terhibur, malah menghalalkan politik pembodohan terus mekar saban tahun.


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page