top of page

Agama Yang Kering Dan Mati

  • Zamir Mohyedin
  • Feb 10, 2017
  • 2 min read

Kredit: www.welayatnet.com

Di mana-mana pun, terutamanya di Barat, manusia akan mula menolak agama. Sejak Renaissance lagi, manusia perlahan-lahan meninggalkan agama (baca: Kristian). Dalam kalangan Muslim pun, mereka mula skeptik ke atas agama (baca: Islam).

Pun begitu, kita juga tak boleh nak salahkan mereka yang membenci ataupun skeptik ke atas agama. Dari satu sudut, sekarang kita hanya melihat agama dari dua kaca mata, pertamanya kepercayaan dan keduanya hukum-hakam.

Apabila orang sudah tak mahu percaya lagi, hal-hal agama terhenti di situ. Apabila orang dah muak dengan pergaduhan soal hukum, agama akan terhenti di situ. Soal kepercayaan boleh dilihat dalam semua agama. Daripada kepercayaan, manusia pernah terbayang apa akan agama lakukan kepada penganutnya yang tidak taat.

Awal-awal lagi, apakah sebenarnya tujuan manusia menghidupkan agama? Ataupun apakah sebenarnya tujuan manusia 'mencipta' agama?

Muhammad (selawat ke atasnya) mencari 'sesuatu' yang dapat menghapuskan kejahilan bangsanya. Buddha (semoga Tuhan merahmatinya) juga mencari 'sesuatu' yang dapat menghapuskan kesengsaraan bangsanya. Zoroaster (semoga Tuhan merahmatinya) mencari 'sesuatu' yang dapat menghapuskan penindasan kelas dalam kalangan bangsanya.

Perkembangan agama dan hal yang kurang menarik soal agama adalah tentang kepercayaan itu sendiri. Muhammad, Buddha dan Zoroaster tidak pernah mencari 'sesuatu' untuk disembah. Mereka pun tidak pernah mencari sesuatu siapakah Tuhan yang sebenarnya, melainkan mereka mahu mencari bentuk panduan yang dapat mengharmonikan kehidupan manusia.

Pada waktu Muslim bertelingkah soal akidah dan fatwa siapa paling benar, Muslim lupa tanggungjawab paling besar yang menyebabkan munculnya Islam itu sendiri.

Membantu orang miskin. Menghormati orang tua. Menghapuskan penyelewengan. Membantu antara satu sama lain. Bertoleransi dalam perbezaan. Menghapuskan kejahilan. Membendung penindasan. Menghapuskan layanan berkasta. Maksud mudah, agama memberikan maksud sebenar apa itu kemanusiaan.

Agama mengingatkan kita mengapa manusia memerlukan agama. Agama tahu manusia hanya melihat kecantikan daripada satu sudut material dan ilmu sebagai suatu hal yang lain. Agama menyatukan dua hal ini. Agama menyatukan intelektual dan emosi manusia.

Manusia mahukan tujuan hidup, mahukan suatu bentuk kefahaman ke atas sesuatu, mahukan sesuatu yang bukan hanya sekadar diri kita sendiri. Manusia mahukan peringatan untuk jadikan dirinya lebih baik. Manusia mahukan sesuatu yang dapat membangkitkan semangat.

Manusia mahukan sesuatu yang dapat menghapuskan sikap sombong dan mementingkan diri sendiri. Mahukan sesuatu yang dapat menghidupkan rasa kemanusiaan dan kerendahaan hati. Inilah hal-hal yang dapat agama sepatutnya penuhi.

Pada masa lalu, al-Ghazali (moga Tuhan merahmatinya) pernah mengkritik para ulama' kerana terlalu sibuk bergelut dan membincangkan hal hukum-hakam sampai agama menjadi kering dan tiada nilai. Daripada situlah al-Ghazali menulis Ihya' Ulumuddin yang kitab tersebut bermaksud 'menghidupkan semula agama'.

Cabaran masa kini adalah bukan untuk memilih antara sekular ataupun agama. Bukan untuk membenci sekular ataupun agama. Tetapi apakah yang patut kita belajar daripada agama supaya ia dapat diisi dalam dunia sekular. Apa yang patut kita ambil daripada agama seperti manusia mencarinya suatu ketika dahulu.


 
 
 

Commentaires


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page