top of page

Ku Jual Perawanku

  • Bintang Kartika
  • Feb 3, 2017
  • 1 min read

Ibu, bertahanlah untuk esok. Kubelikan pelangi untukmu. Adik, esok kulunasi segala yuran, dan hutang buku-buku segera kulangsaikan. Pergilah ke sekolah tanpa perlu lagi malu pada robek kasut, lusuh baju, dan tak perlu kau khuatiri didenda pengawas kerana tidak lengkap seragam sekolahmu. Esok akan banyak senyuman bermundar-mandir di saku bajumu.

Dunia ini bertuhankan wang. Jadi untuk apa perawan jika hidup tidak kecukupan dan mati pun enggan?

"Berapa lama bertahan tiga puluh ribu? Tiga tahun?" Lelaki muda berambut emas berhidung pesek itu tertawa tanpa menjawab soalanku. Dia menanyai usiaku. Tanpa berbasa basi aku menjawab tujuh belas tahun. Katanya bukankah sepatutnya aku menduduki spm? Kami lalu berdiskusi tentang hidup dan sijil-sijil. Katanya anak muda cepat rosak kerana enggan bersekolah dan takkan punya kerja baik kerana ketiadaan sijil-sijil. Tapi sakit ibuku takkan sembuh dengan segala sijil. Aku takkan punya apa pun sijil tanpa wang. Aku cuma ada perawan.

Untuk apa kusimpan perawan kalau sesuap nasi pun tidak mampu?

Lelaki itu menjelaskan, harga selepas perawanku hilang, tinggal sepuluh ribu, dan jika aku mahu berjualan lagi segera beritahu dia, sembari menghulur kartu nama. Tertera namanya Muhammad Taqwa. Aku sejenak mengingatkan Tuhan yang cuba kukaburkan. Katanya harga sepuluh ribu masih lumayan kerana aku masih remaja dan setelah meningkat usiaku nilaiannya kian menyusut. Lalu, katanya; carilah kekayaan di waktu usia mudamu.

Dia membawa aku ke sebuah rumah seperti istana yang disambut lelaki gendut berusia lima puluh tahun, lelaki yang akan membeli perawanku dengan harga tiga puluh ribu ringgit.

Ibu, esok sakitmu dapat dirawat. tiada lagi segala luka menempel di gurat dahimu. Ibu boleh tersenyum dan tidak lagi kelaparan kerana telah kujual perawanku.


 
 
 

コメント


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page