top of page

Orang Kaya Dipersilakan Sakit (Kerana Orang Miskin Dilarang)

  • Hadri Shah
  • Jan 27, 2017
  • 4 min read

"All workers are opressed under capitalism, facing inferior housing, schooling and medical care, for example, compared to middle class and wealthy people."

Untuk penginapan selama 9 hari 8 malam di wad hospital swasta gara-gara gigitan nakal seekor nyamuk tidak beradab, virusnya pantas meresap, merusuh dan mengharu birukan seluruh sistem tubuhku.

Kederat aku dirampas, nafsu makan ditumpaskan, bintik-bintik merah berkopulasi membentuk benua di seluruh permukaan kulit, malam yang sepatutnya mengenakkan tidurku bertukar menjadi resah dan terlalu menjengkelkan.

Selain tangan ditusuk jarum bertujuan mengalirkan air masuk ke dalam tubuh, setiap pagi seorang jururawat ditugaskan untuk mengambil darahku. Pada setiap hari aku, perlu menelan sekurang kurangnya 6 biji parasetamol, 6 biji vitamin dan 4 biji ubat gatal (kerana bintik-bintik gatal timbul di permukaan kulit). Makanan yang disediakan agak mewah ; dihidang 4 kali sehari, namun itu semua sia-sia belaka kerana kehendak makan yang tertunda. Di sebelah malam pula, aku akan dicucuk ubat sebelum lena menjemput.

Setelah doktor berpuas hati dengan tahap kesihatan aku, akhirnya aku dibenarkan keluar pada hari kesembilan.

Untuk setiap jarum, puluhan ubat biji, makanan, servis doktor, rawatan lain-lain dan sewa kamar, aku dihadiahkan sekeping bil total berwarna merah jambu bernilai RM 7,947.57 oleh seorang petugas wanita berhijab dari bahagian administrasi hospital.

Aku keluar dari hospital dengan tenang langsung dipandu pulang ke rumah. Walau masih lemah, aku merasa lega kerana tidak perlu lagi menjalani hidup dia atas katil ditemani tv flat skrin dan deruan penghawa dingin.

Ada kawan-kawan yang datang melawat ketika aku di hospital memberitahu, walaupun sakit, sekurang kurangnya aku bertuah kerana berehat dalam bilik yang selesa; ada TV untuk menghibur, udara yang dingin, layanan-servis berbintang bintang dari doktor dan jururawat.

Melalui pengalaman ahli keluarga yang menghidapi sakit seperti aku, mereka tidak punya pilihan selain mendapatkan rawatan di hospital awam. Segala kesesakan, perbezaan layanan, keperluan menunggu giliran, kebosanan diwadkan bersama puluhan lain di dalam satu bilik-semuanya perlu diterima dengan redha.

Mama pula berkali-kali mengingatkan aku supaya tidak lupa bersyukur. Katanya, ada orang lain sudahlah sakit, duit pulak tiada untuk menanggung kos perubatan, ubat-ubatan dan bil hospital.

Terus terang aku katakan, aku tidak berkemampuan membayar jumlah keseluruhan kos rawatan yang aku terima. Kalau seribu ringgit sudah dianggap mahal, apalagi dengan angka menghampiri lapan ribu ringgit?

Kerana status sebagai seorang pekerja yang dilindungi insurans dibiaya majikan, segala kos rawatan di hospital ditanggung. Aku hanya perlu memberi sekeping medikal kad nipis kepada pihak administrasi hospital di hari pertama aku ditahan di wad.

Haruskah aku mesti bersyukur?

Tatkala begitu ramai kelas pekerja lain tidak dilindungi insurans dan apabila sakit mereka tidak mampu membiayai kos rawatan dan membeli ubat-ubatan. Begitu ramai di luar sana orang miskin, kaum marginal yang tidak "dibenarkan" sakit kerana angka-angka besar yang bakal dicetak di atas bil.

Mengapa perbezaan ini mesti wujud?

Mengapa ada pekerja yang dilindungi? Mengapa pula ada yang tidak? Dan jika ada yang dilindungi, adakah status pekerjaan, jawatan memberi perbezaan dari segi jumlah perlindungan medikal? Bagaimana dengan pekerja bawahan? Adakah mereka menerima perlindungan sepertimana orang-orang atasan?

Dan kenapa insurans kesihatan disebut-sebut sebagai perkara asasi yang wajib dilanggani? Apakah hospital awam yang didanai pembayar cukai (kelas pekerja) masih tidak mencukupi?

Seringkali seorang agen insurans akan mengingatkan kita akan masa depan. Seolah olah masa depan itu gerun rupa bentuknya,

"Nanti bila kita sakit siapa mahu tanggung anak bini?"

"Nanti bila mati kurang-kurang ada peninggalan buat si isteri meneruskan hidup,"

"Siapa mahu tanggung bilik hospital?"

Tidak cukup dengan itu, paling penting bila disahkan penyakit, kita yang melanggan insurans bisa menerima layanan sempurna di hospital swasta, ada jururawat yang sentiasa senyum, ada doktor yang sering bertanya khabar, ada bilik rehat ala bilik hotel, ada ubat ubatan yang cukup.

Asasnya, mereka (syarikat gergasi insurans) seperti sudah memegang masa depan kita. Mereka umpama ‘messiah’ yang menyelamatkan kita dari mimpi-mimpi ngeri di masa hadapan saat kita menempuhi kesakitan, penderitaan.

Lalu, berbondong bondonglah kita mempersiapkan wang ringgit melanggani insurans terbaik. Siapa punya lebihan wang boleh saja mendapat darjat perlindungan paling bagus, siapa yang kurang mampu begitulah sederhanya perlindungannya dan siapa miskin akan kecundang-boleh memulakan membaja doa sekarang agar bisa sihat sentiasa. Kalau tidak, bagaimana mahu mendapat layanan kesihatan yang baik jika modalnya kosong?

Jadi, beritahu aku sekali lagi, syukur yang bagaimana perlu aku lafazkan kerana di hadapan ini terbentang ketidaksamarataan dari sistem, aturan hidup yang didominasi kaum 1% (syarikat korporat gergasi). Urusanku mungkin melegakan, tetapi bagaimana dengan urusan mereka?

Ini segera mengingatkan aku kepada buku tulisan Dedi Supratman seorang mahasiswa Indonesia jurusan Kedoktoran dan Eko Prasetyo, seorang sosialis-penulis buku terbitan Resist Book berjudul "Bisnis Orang Sakit".

Di halaman awal lagi, Eko sudah memprovok pembacanya dengan pandangannya, "Tapi orang miskin tak boleh mengeluh. Kesihatan memang berbiaya mahal. Ongkos untuk menjadi doktor sudah mahal dan begitu pula ongkos untuk melahirkan satu perawat. Singkatnya bagi orang miskin rumah sakit (hospital) bukan tempat berobat apalagi tempat bermain. Rumah sakit adalah tempat dimana yang miskin mendapat belas kasihan tapi dengan prosedur yang berbelit. Maka tak ada orang miskin merasa damai di hospital. Jika tak percaya saksikan bagaimana paras orang-orang di kelas ekonomi; cemas, sumpek, dan khawatir. Antara kesembuhan dan biaya semuanya tumpang tindih".

Tidak dapat tidak, mesti diakui, urusan kesihatan, layanan hospital dan ubat-ubatan adalah hak asasi bagi setiap manusia tanpa mengenal kelas. Cumanya, sudah sekian lama ia telah dikomoditikan, barang eksklusif buat yang berkemampuan. Tiada layanan sama rata kerana sistem ini telah mengajar kita untuk menyelamatkan diri kita, anak isteri dahulu. Demi tujuan itu, selamatlah kamu mengkomsumsi apa saja aturan yang digaristetapkan.

"Inequality" atau ketidaksamarataan menjadi tajuk yang paling asasi untuk diperdebatkan sekarang. Oxfam, 2 minggu lepas mengeluarkan laporan di mana 62 orang terkaya memiliki kekayaan separuh dari separuh penduduk planet bumi. Bagaimana nasib kelas masyarakat biasa dalam konteks ini; kesihatan dan perubatan jika tiadanya perubahan?

Apakah yang kaya akan tetap mendominasi dan terselamat sedangkan kaum pekerja, kaum miskin dan terpinggir jauh ditinggalkan?


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page