top of page

Sanggahan-Sanggahan Fakta Sains Dalam Filem Sirat Al Mustaqeem

  • Zamir Mohyedin
  • Jan 16, 2017
  • 4 min read

Aku baru tonton filem ini di YouTube. Aku jenis tak tonton filem Melayu. Cuma tiba-tiba rasa mahu tonton. Killing time. Cerita dalam filem ini memang seakan-akan seperti filem God's Not Dead. Tema utamanya adalah pergelutan antara seorang ateis dan seorang teis, juga beberapa konflik lain. Dari sudut nilai dan pengajaran, bagi aku okeylah. Banyak pengarajan boleh diambil.

Aku ada baca komen-komen di YouTube mahupun di Facebook, ramailah juga yang komen kuat hujah Raden dalam filem ini, Aku bimbang kalau ada orang terpercaya dengan teori-teori sains yang dikemukan oleh Raden dan Prof. Adam, yang menurut pengetahuan aku silaplah. .

1. 'Pandangan' Sains.

Ketika perdebatan pertama Raden dengan Prof. Adam, Raden menggunakan perkataan pandangan bagi merujuk pada teori sains. Seolah-olah, sains itu hanya sekadar sebuah 'pandangan'. Aku tidak kisah bila dia nak gantikan perkataan 'teori' sains dengan perkataan 'menurut' ataupun 'merujuk' pada sains. Bila guna perkataan pandangan, ia sudah menjatuhkan juzuk disiplin sains itu sendiri.

Tambahan lagi, ramai orang anggap teori sains hanya sekadar teori main-main guli, main teka-teka dan berimaginasi. Sebenarnya sangkaan itu sangat tersasar. Teori sains yang digunakan dalam komuniti saintis sangat jauh berbeza daripada teori-teori yang digunakan dalam lapangan dan bidang lain.

Teori sains adalah disiplin yang membentuk ilmu sains. Biasanya kami panggil teori saintifik. Teori saintifik dibentuk melalui kaedah saintifik dan eksperimen yang berulang-ulang. Secara umum, kaedah saintifik bermula daripada pemerhatian, selepas itu menimbulkan persoalan, selepas itu membuat hipotesis, selepas itu mengumpulkan data, selepas itu melakukan eksperimen, selepas itu barulah teori terbentuk. Hipotesis awal kita dapat dipatahkan bergantung pada keputusan eksperimen. Secara umumnya beginilah.

Jadi, suka untuk aku tegaskan sekali lagi. Teori saintifik bukan sekadar imaginasi, kami lakukan eksperimen. Malah, teori pembentukan alam semesta juga dilakukan dengan pelbagai eksperimen.

2. 'Beribu-ribu' teori.

Selepas itu Raden kata, perdebatan mengenai penciptaan alam semesta telah memunculkan beribu-ribu teori mengenai penciptaan alam. Sebenarnya 100 pun tak sampai mengenai teori ini. Yang popular pun tak sampai 10 teori. Antaranya yang aku tahu,

a. Big Bang theory b. Steady-state universe c. Oscillating universe d. String theory

e. Digital simulation

f. Eternal inflation

3. Big Bang, Albert Einstein dan Stephen Hawking

Teori Big bang dibangunkan oleh seorang paderi, Georges Lemaître bersama secara tidak langsung dengan Edwin Hubble. Aku tak tahu apa yang Raden maksudkan dengan 'melengkapkan' teori Big bang. Einstein tidak pernah bangunkan Big bang, mahupun Stephen Hawking. Malah, Einstein sendiri tidak percaya pada model Big bang. Einstein lebih dekat dengan alam ini adalah bersifat infiniti dan abadi (eternal). Dia berpegang pada model cyclic atau 'oscillating universe'. Sebab itu Einstein lebih percaya pada Tuhan Spinoza yang lebih dekat dengan teori itu.

Stephen Hawking pun tidak bangunkan teori Big bang. Tetapi Hawking pernah buktikan secara matematik berkenaan kewujudan singulariti yang menjadi salah satu aspek teori Big bang. Selepas itu Hawking pernah selidik berkenaan teori Enternal Inflation, iaitu selepas Big bang, alam terus wujud untuk selama-lamanya.

4. Hakikat air adalah asas kehidupan

Raden ada sebut tentang ini dan dia kaitkan dengan Quran. Aku tak tahu Quran ada sebut pasal ini. Tapi Raden ada sebut bahawa Quran dah sebut dulu pasal asas kepada segala kehidupan.

Aku tahu apa maksud 'asas segala kehidupan' di sini. Tetapi sebab perdebatan mereka tertumpu pada penciptaan alam. Maka, mungkin Raden maksudkan 'air adalah asas penciptaan'. Kalau ya, sebenarnya Thales yang hidup 1000 tahun sebelum turunnya al-Quran dah keluarkan teori dulu bahawa air merupakan asas penciptaan. Air merupakan elemen dan atom asas yang membentuk segala hidupan.

5. Kewujudan perkataan 'sains'.

Cakap Raden benar, Quran telah diturunkan dahulu sebelum perkataan 'sains' itu wujud. Perkataan 'sains' wujud pada abad ke-19. sebelum itu, ia dikenali sebagai 'Falsafah Alamiah' (Natural Philosophy). Tetapi ilmu sains itu sendiri telah wujud sebelum Quran diturunkan lagi.

6. Robert Grosseteste dan teori kelahiran alam.

Raden menyatakan Robert Grosseteste pernah mengusulkan teori kelahiran alam. Raden kata, letupan kristal telah berlaku, lalu menghasilkan bintang-bintang dan planet.

Silapnya di sini, Robert Grosseteste memang pernah usulkan hal ini. Tetapi ia bukan letupan kristal. Letupan apa tak tahu, tetapi proses crystallization itu bukanlah bermaksud kristal diletupkan. Ia adalah proses di mana jirim menjadi dibentuk dalam susunan-susunan atom yang sempurna. Daripada teori ini sebenarnya tak lahir pun beribu-ribu teori yang disebut oleh Raden.

7. Kegelapan dan Dark Matter

Raden kata kegelapan tidak wujud. Kewujudan kegelapan adalah menurut Raden dicipta oleh manusia kerana kurangnya cahaya. Tetapi sebenarnya kegelapan itu wujud, ia dipanggil sebagai jirim kegelapan. Malah tenaga kegelapan (dark energy) itu pun wujud. Tenaga kegelapan ini menjadi satu faktor menyebabkan fabrik ruang-masa berkembang dengan lebih laju untuk mengikut pemalar kosmologi.

FALASI-FALASI DALAM HUJAH RADEN

1. Non sequitur

Hawking memang menyatakan alam ini dapat wujud kerana hukum graviti, lalu dia menegaskan tentang penciptaan secara spontan. Raden ada menyatakan sanggahan terhadap teori ini. Tiga kelemahan yang dinyatakan oleh Raden yang mana Raden rujuk pada seorang profesor, aku tak jelas namanya siapa. Tetapi dia tak sebut pun kelemahan-kelemahan itu. Tiba-tiba dia masuk analogi pasal bola sepak.

Satu lagi sanggahan yang dibuat oleh Raden terhadap pegangan dan pandangan Prof. Adam adalah dia menggunakan kenyataan 'philosophy is dead' yang dinyatakan oleh Hawking untuk menyanggah pegangan Prof. Adam terhadap teori Hawking. Apalah kena mengena 'philosophy is dead' dengan teori Hawking.

2. Hasty generalization

Raden ada kata kenapa kita perlu agungkan tokoh-tokoh yang percaya manusia berasal daripada beruk, seolah-olah dia pukul rata yang semua saintis Barat para percaya dengan perkara ini. Tambahan lagi ramai yang miskonsepsi dengan teori Darwin tentang asal-usul manusia. Kena baca buku dia, 'Origin of Species', baru berhujah.

3. Ad hominem

Pada akhir perdebatan Raden dan Prof. Adam, Raden tidak menyerang peribadi Prof. Adam, tetapi cuba menggunakan pengalaman peribadi Prof. Adam untuk menjatuhkan hujah-hujah Prof. Adam. Kira serang peribadi lah kan?

Sebenarnya, aku nak ulas juga hujah-hujah agama. Tetapi sebab bukan bidang aku, aku berlepas diri. Tambahan lagi agamawan jadian terlalu ramai di Facebook. Haha

Akhir kata, aku ucapkan syabas dan tahniah kerana buat filem macam ini. Sebab bukan senang Malaysian nak buat filem macam ini. Teruskan. Harap lebih banyak filem macam ini.


 
 
 

Commentaires


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page