Erti Semangat Punk Dalam Masyarakat
- SHAH HADRI
- Jan 13, 2017
- 3 min read

Seorang lelaki pernah sekali mengungkap,
"setiap anak muda itu pasti mempunyai sifat punk".
Barangkali lelaki tadi mahu memberitahu kepada kita bahawasanya anak-anak muda selalunya tidak pernah lari dari bersikap rebelius, memberontak terhadap perkara-perkara yang bertentangan dengan etika.
Lalu, andai seorang anak muda tidak bersulamkan semangat memberontak,lebih dari itu tunduk saja kepada normaliti, kurang bersikap, tipikal - apa gelaran sewajarnya yang boleh kita berikan kepada anak muda jenis ini?
Punk bukan saja meledak di atas pentas. Jeritan menggila, riff-riff gitar yang jahat, hentakan drum yang bingit, batang-batang tubuh melayang layang di udara, sorakan, pogo - begitu pun Punk dikenali melalui musik, namun yang pasti Punk bukan semata mata ritual huru hara di atas pentas, Punk bukan saja diterjemah melalui fesyen rambut, jaket kulit, acara gig, lebih penting Punk langsung membentuk asas hidup yang paling utama iaitu - jatidiri.
Dan nilai Punk paling nobel ialah corak sikapnya yang tentunya menolak segala penindasan, patriaki, ketidaksamarataan, kemiskinan, kerosakkan alam, jurang kelas, fasisme.
Punk memiliki bahagian paling agung mentarbiah jiwa-jiwa penganutnya untuk melawan arus, menongkah perkara-perkara normal dan membentuk peribadi keras, tidak mudah tunduk saat kekerasan diperlakukan.
Mesej-mesej positif dijerit jerit vokalis kugiran Punk. Setiap baris dan perenggan lirik ditulis untuk menumbuh titik-titik kesedaran. Lagu lagu tentang perjuangan melawan penindasan merasuk anak anak muda supaya mereka mengambil tempat dari duduk membatu. Zine-zine ditulis kemudian dicetak menyebarluaskan dakyah-dakyah melawan kebobrokkan.
"I was raised to question authority", begitu kata Ian Mckaye, pendiri Dischord Record dan gitaris kugiran punk Minor Threat/Fugazi/The Evens. Jika diselami di sebalik kenyataan Ian, ia juga bermaksud "menentang autoriti yang membelenggu". Dan autoriti yang dirujuk, undang-undang yang tercipta adalah elemen penting untuk menakut nakutkan, mengkontrol dan memperhambakan kelas masyarakat.
Mengapa pula kelas masyarakat mesti dikontrol?
Bukankah kelas masyarakat yang terdiri dari kaum pekerja, kaum petani, nelayan, guru dan lain-lain itu adalah golongan terbesar? Dan mereka inilah golongan yang membayar cukai, bekerja 8 jam atau lebih sehari kerana terpaksa mengikut segala aturan yang telah ditetapkan penguasa, elit borjuis, dan kaum pemodal. Sehinggakan keberantakkan yang berlaku dari sistem ciptaan mereka (kelas elit) dilihat "normal" dan "tidak mempunyai cacat cela".
Untuk itu autoriti diwujudkan, undang-undang digubal kononnya untuk membina masyarakat yang "civilised". Ianya dikuatkuasakan untuk mempertahankan kebajikan kaum elit dan menyalurkan pesan-pesan kepada kelas masyarakat supaya menuruti aturan jika tidak mahu hidup tidak terhempap bencana.
Punk begitu sinonim dengan perlawanan. Punk begitu dekat dengan idea pembebasan. Punk kental dengan prinsipnya tidak berkompromi dengan penindasan. Punk berisi semangat memartabatkan keadilan.
Kesemua perjuangan ini, semangat keras dan sifat melawan Punk sangat dekat, berkait rapat dengan permasalahan masyarakat.
Anak-anak Punk tidak boleh menjerit-jerit tentang pembebasan di acara gig tetapi kenyataannya mereka membiarkan masyarakat di luar terus diperhambakan. Anak anak Punk boleh menulis seribu jenis idea di zine berkenaan kemiskinan, upah gaji setimpal tetapi tidak bersama masyarakat di saat saat mereka terus terpukul dengan sistem barbarian.
Berpihak kepada masyarakat, bersolidaritas dan membantu mereka, bergelumang memperjuangkan nasib kelas tertindas, ini semua adalah manifesto anak anak Punk.
Di dalam buku catatan kembara Mohd Jayzuan, "28 Hari Jurnal Rock & Roll", Jay menulis di satu perenggan,
"...teringat aku kepada sebuah dokumentari tentang Marjinal, sebuah kugiran punk Indonesia. Dalam temu ramah bersama mereka, ada ditanya tentang penerimaan masyarakat setempat terhadap mereka sebagai anak-anak punk. Kata mereka pada mulanya, masyarakat memang takut dengan imej mereka yang berlainan. Persepsi mula berubah apabila mereka mula bercampur-gaul bersama orang-orang kampung. Mereka turun padang jika ada acara keramaian dan turut bergotong royong. Lama kelamaan, masyarakat sudah mula boleh menerima etika-etika positif punk. Antara kata-kata mereka dalam dokumentari tersebut, "Kita jangan lari dari masyarakat, kita masuk ke dalam kelompok mereka dan biar mereka faham dan menerima kita".
Nah! Andai perjuangan yang dibicarakan hanya terapung dalam grup anak-anak Punk, seterusnya mengasingkan antara kelompok Punk dan masyarakat, lalu bagaimana idea pembebasan itu dapat dipraktikkan?
Jika pengertian perlawanan itu sekadar berlegar legar dalam komuniti Punk sahaja, misalnya untuk mengelak diri dari dikacau pihak autoriti, enggan bersosial bersama kelompok masyarakat lain - mungkin saja itu sebenarnya satu perjuangan kecil, boleh jadi mengakibatkan kemenangan kepada komuniti Punk.
Tetapi bukankah Punk itu lebih besar semangatnya? Punk tidak mahu membebaskan masyarakat, malah lebih dari itu roh spiritual Punk mahu berpartisipasi bersama-sama kelas masyarakat membebaskan diri mereka.
Demikian, di akhir perenggan ini meminjam tulisan Ucok, seorang rapper politikal kumpulan Homicide dari Bandung,
"Akhirul kalam, mengemis penerimaan pada otoritas bukanlah sesuatu yang menyebabkan punk eksis di muka bumi. Now I may sound too politically-correct, but fuck it, Lets make punk a threat again. Up the punx!".
Comentarios