top of page

Islam Bukan Terbit Dari Agenda Jemaah Usrah! (Bahagian Dua)

  • Syazreen Mohd
  • Jan 10, 2017
  • 2 min read

Gambar Hiasan: mStar

Ahli gerakan Islam sulit menemukan kesilapan sistem (usrah Jemaah Islam) yang telah dibangunkan oleh struktur organisasi mereka yang tambahan pula punya asas tarbiah agama yang jitu. Keseluruhannya mendapat pencerahan Islam bermula dari Usrah yang telah mereka yakini. Meletakkan teologis sebelum menemukan kesedaran itu menjadikan pra-aggapan-aggapan kebenaran sulit untuk ditemui disamping ianya bersifat eksklusif dari sebahagian struktur budaya.

Pengalaman individu mencari kebenaran bukanlah metod yang berjaya untuk dihasilkan malah kebenaran itu telah terhasil dari ide yang telah disusun kemas didalam agenda silibus usrah dan tanzim gerakan. Sebagai contoh, andaian atau sebuah premis kebenaran dilakukan dalam keadaan kesedaran minda Jemaah bukan didalam sebuah minda neutral. Namun bagaimana pencarian kebenaran yang tersembunyi boleh lahir dari kesedaran yang sudah siap didalam minda bawah kawalan wala’ daripada pihak tertinggi.

Kesedaran neutral, dalam anggapan kelompok Jemaah selalu dilihat tidak mengambil keterlibatan dalam usaha islah masyarakat namun sebenarnya neutral itu bukanlah keterpisahan mutlak individu tersebut daripada sebahagian usaha membaiki kerosakan. Kesedaran neutral ini bukanlah yang tidak berpihak, lemah dan tidak progresif, namun memiliki keterlibatan dengan cara tersendiri. Keterlibatannya bukan dibawah agenda doktrinisasi, atau memenangkan sesuatu doktrin. Keterlibatannya adalah sebagai peneliti yang tidak terpisah dari kehendak struktur budaya dan kumpulan-kumpulan kesedaran individu yang berlainan keyakinan.

Demikian, kesedaran mencari adalah isi terpenting untuk mencerap realitas sebagai intipati dari sumber pengalaman dan sumber wahyu. Oleh itu kesedaran kolektif adalah peran terbesar dalam pembentukan teks-teks wahyu. Metodologi pembentukan teks-teks keagamaan dapat dihasilkan tidak terikat dari kepermilikan minda dalam Jemaah gerakan Islam. Ia bebas daripada mana-mana unsur ide keterikatan kerana upaya menemukan asas wahyu dalam pengalaman kumpulan kemanusiaan merentas kepelbagaian.

Maka yang diperlukan adalah wujud insani yang mampu menghubungkan antara wahyu dan realitas lebih lagi zaman moden merentasi politik, sosial, ekonomi dan pemikiran. Tidak berlakunya duaslime antara teks keagamaan dan realitas seperti yang berlaku kini adalah teks-teks keagamaan tenggelam menjadi bahan komentar yang bersifat ortodoks dan dalam retorika yang bersemangat.

Sebagai contoh yang terjadi didalam polemik politik, kelas sosial dan penindasan, Islam telah dimandulkan peranan universalnya oleh beberapa kelompok agama yang gagal membawa dimensi kesedaran aktif dalam kepelbagaian struktuk budaya dan agama.

Melihat perkembangan budaya dan tumpuan gerakan Jemaah Islam yang hanya melihat usaha meng-Islam-kan politik dan agenda membawa manusia untuk mendekati Islam itu sahaja adalah bermasalah. Islam itu harus pribumi, lahir dari kebudayaan, kenegaraan bangsa bukan ciplakan budaya Arab atau mengikut acuan Ikhwanul Muslimin.

Maka dari itu Islam adalah milik bersama, kehangatannya dikongsi bersama malah ia menerima dan memberi dalam kepelbagaian bukan memaksa. Seperti apa yang sering diucapkan oleh Nurcholish Madjid, Islam itu harus dirasai cinta, penerimaan, saling memuliakan dan saling menubuhkan dan Islam yang tidak jauh dari teladan Rasul.

Ketempangan penggalian nilai universal ini antara faktor kenapa gerakan Jemaah tidak mampu menghasilkan penilitian yang lebih mendasar. Atas faktor kekurangan penumpuan studi ke-Islaman dan rekonstruksi total fiqih itu punca gerakan Islam dilihat tidak mampu untuk menyemai sikap bagaimana berinteraksi tajdid terhadap realitas. Konsep upaya ini tidak boleh dicapai dalam kesedaran yang dipimpin bawah minda eksklusif, namun lahir dari pembacaan teks dan pengalaman berhubung dengan kesedaran alam yang membentuk aksiologi dari struktur perkembangan kesedaran individual dan intersubjektivitas atau kesedaran budaya.

Pembacaan fenomenologi adalah seruan terpenting sebagai metodologi pemahaman, pembentukan, penafsiran, fenomena keagamaan yang dibangunkan asas filsafat keagamaan, menghubungkan konsep dan objek lalu menghasilkan sebuah kaedah tafsir teks suci yang mampu mencapai kehendak realitas.

Bersambung….


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page