Islam Bukan Terbit Dari Agenda Jemaah Usrah! ( Bahagian Satu )
- Syazreen Mohd
- Dec 30, 2016
- 3 min read

Sumber: Channel News Asia
Saya kurang berminat untuk menulis tentang Jemaah Gerakan Islam yang ada di Malaysia khususnya. Namun beberapa perkara seperti budaya sindir, gaya seolah pemilik kebenaran, kemaruk ketaksuban atau ekstrimis bertopengkan tempelan kebebasan, politik rahmat ini sebenarnya begitu memualkan. Kritikan terhadap budaya dalam Jemaah Islam bukanlah perkara baharu malah Saudara Fathi Aris Omar sudah menjentik kelompok ini yang gagal. Kritikan tentang penguasaan budaya Ilmu didalam sebuah Jemaah Islam sudah diambil perhatian oleh beberapa kelompok gerakan selepas itu tetapi masih lagi gagal membentuk moral yang mampan di dalam sesebuah budaya kehidupan kepelbagaian.
Dalam beberapa tempoh tahun wacana gerakan Islam, kewujudan gerakan keilmuan yang telah mengangkat tema-tema dan tokoh-tokoh kontemporari dalam politik Islam seperti Maqasid Syariah telah memberi usaha yang baik dalam perkembangan wacana konteks sesebuah negara dan bangsa. Namun di dalam keterujaan mengangkat pembudayaan ilmu perbincangan politik Islam ini, pembudayaan ini belum selesai untuk mampu mengangkat masalah keagamaan, menguruskan kepelbagaian apatah lagi beriman keseluruhan ke atas kepelbagaian agama.
Atas dasar ini, beralih konteks pembacaan yang bersifat progresif dalam bulatan usrah bukan jaminan sesebuah gerakan itu menghasilkan individu yang punya perkembangan struktur kesedaran yang mampu mencerap atau meneliti masalah keagamaan atau paling tepatnya interpretasi dihadapan teks suci. Demikian masalah itu, kita dapat memberi andaian bahawasanya gerakan Jemaah atau pendidikan usrah sebenarnya banyak melahirkan individu yang retorik atau budak Jemaah versi kontemporari sekarang ini banyak yang bertopengkan slogan kebebasan, demokrasi, keadilan, toleransi namun sistem yang menunggangkan mereka ini adalah sistem eksklusif, intolerasi dan penuh kepura-puraan dalam mengangkat nilai universal agung. Jemaah Islam atau usrah ini gagal dan sudah tidak relevan untuk memposisikan moral ini dalam agenda membaiki ummah.
Faktornya tarbiah yang dibanggakan lahir dari usrah itu boleh membentuk individu muslim kemudian kepada masyarakat muslim, malangnya itu adalah kepalsuan yang direlakan atas nama wala’. Walaupun disebalik itu sudah ada kesedaran tuntutan kebebasan akal dalam manifestasi gerakan tersebut tetapi hakikatnya lingkungan itu tidak mampu membebaskan diri dari kesedaran palsu ini. Mereka tidak mampu memiliki kesedaran dari perlawanan diri mereka dimana mereka menjadi sebahagian dalam peneliti struktur budaya yang terhasil. Selama ini kesedaran yang ada dalam bilik usrah adalah sebuah kesedaran tetapi bukan kepemilikan kesedaran. Oleh itu setiap kesedaran bukanlah semata-mata suatu kesedaran tetapi suatu kesedaran adalah yang memiliki sesuatu. Dengan demikian, struktur dan perkembangan kesedaran satu hal yang mesti melibatkan pengalaman sumber wahyu, juga berkisar atas diri individu tersebut.
Hal tersebut, setelah melalui tempoh masa dalam membentuk kepelbagaian budaya dan masyarakat akan menemukan penawaran materi kepada sebuah budaya hasil telaah peneliti yang menjadi pemilikan sebahagian dalam proses struktur wacana itu berlangsung. Demikian itu pencerapan realitas atas faktor budaya mampu menjadi sumber kebenaran terhasil. Sebuah nilai agung yang membentuk paradigma Islam lahir dari sifat kepermilikan nilai-nilai tersebut. Isunya bukan kepada apa kalian membaca di dalam usrah tersebut tetapi lebih jauh bagaimana keterlibatan atau perlawanan historis terhadap diri individu itu membentuk sebuah paradigma Islam yang universal. Akhirnya kita masih belum menemukan kelompok yang jujur membawa pesan-pesan nilai agung dalam kehidupan. Pesan nilai agung ini saya terjemahkan sebagai nilai universal seperti kebebasan, toleransi, keadilan, pluralism dalam beragama.
Sekalipun beralih bacaan dari tulisan-tulisan haraki kepada tokoh-tokoh pencerahan yang dianggap progresif itu didalam bulatan usrah (Jemaah Islam) belum tentu menjamin untuk mencapai individu yang mampu melihat Islam kedalaman realiti. Ini adalah perlawanan diri yang tidak mungkin dapat dari bulatan usrah.
W.M.Watt dalam Islamic Political Thought (1998) menggambarkan keterkaitan antara Islam dan politik masih belum dapat dirungkai secara kritis di sebalik situasi sepanjang tempoh peristiwa itu khususnya period kejatuhan walaupun gerakan kebangkitan pembebasan ada muncul. Sudah tentu sepanjang tempoh panjang itu berlaku pertembungan wacana atau dialektika yang membangunkan sebuah paradigma dalam membentuk praktik teori dan nilai. Dalam hal ini, kerosakan sistem nilai utama adalah bentuk yang mempengaruhi nilai-nilai berkaitan, yang menghasilkan masalah-masalah baru dalam wacana agama, sosial dan budaya.
Bersambung….
Comments