Berhala Politikus
- Fazallah Pit
- Dec 16, 2016
- 3 min read

Gambar hiasan. Sumber Berita Harian
(i)
TULISAN Naziatul Azrin berjudul Pesta Menyembah YB baru-baru ini, menghantar aku kembali kepada satu peristiwa kira-kira 10 tahun lalu, ketika aku masih wartawan Berita Harian.
Peristiwa itu aku ingat sangat-sangat. Kerana akupun terkejut dan tak sangka ia boleh berlaku dan benar-benar terjadi – bukan melalui kata-kata orang lain atau hearsay tetapi depan mata aku sendiri, disaksikan bersama beberapa rakan wartawan lain.
Itupun, aku enggan mempercayai mata aku. Kerana aku tahu, kita akan nampak perkara yang kita mahu lihat walaupun ia sebenarnya tidak berlaku, hanya imaginasi yang diingini emosi tetapi bukanlah sebenar-benar realiti.
Akupun membuntangkan mata, menumpu sepenuh perhatian supaya dapat memastikan peristiwa yang aku nampak itu benar-benar selaras dengan realiti. Oh, ia betul-betul berlaku, ia benar-benar terjadi.
Seorang lelaki bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dengan bersongkok dan berbaju Melayu, lengkap dengan sampin, menundukkan kepala seiringi kedua-dua tangannya memegang kaki seorang manusia yang status politiknya jauh lebih tinggi daripadanya.
Seorang Perdana Menteri.
Ia bukan seperti dalam tulisan Naziatul yang konteks ‘menyembah’ berfungsi sebagai suatu bentuk metafora; buat merencah keindahan bahasa, merencam perbendaharaan kata. Bukannya menyembah sebagai suatu perbuatan literal.
Sebaliknya, adegan sembah yang aku saksikan itu tak ubah seperti perbuatan seorang anak memohon restu ibu bapa dalam budaya Hindu. Peristiwa itu yang sukar dihadam dengan akal – kerana kedua-duanya Melayu beragama Islam dan menyimpang dari budaya Melayu, berlaku di perkarangan rumah Adun itu ketika majlis perkahwinan seorang anaknya. Anak perempuan kalau tidak silap.
Ada seorang jurugambar veteran dari akhbar Cina cuba merakam kejadian itu, sebaliknya hampir terjatuh ketika mengundur langkah bagi mencari sudut terbaik rakaman gambar hingga terlanggar pasu lalu terbalik dan pecah.
Aku ada bertanya kepada jurugambar yang aku lupa namanya itu sama ada berjaya atau tidak merakam aksi sembah itu tetapi dengan riak wajah kecewa, beliau menjawab lebih kurang begini: “Tak dapat la; terlanggar pasu bunga, Dato’pun terus bangun. Tak sempat tekan (klik button).”
Ironinya, Adun itu terkenal dengan imej gangster dalam kalangan penduduk setempat. Ada yang mengatakan Adun itu seorang ayahanda Pekida. Entah, aku tak pasti. Malas ambil tahu sebenarnya tetapi Adun itu sememangnya jiwa Melayunya, sangat kental lagi kenyal.
Beliau terkenal dengan gelagatnya tersendiri – bersuara garau dan bermulut kecoh tetapi mesra dan ‘pemurah’ dengan pengamal media mainstream serta selalu membahasakan diri sebagai ‘Abang’ tak kira wartawan lelaki mahupun perempuan. Namun, beliau juga mudah garang tak tentu pasal terhadap ‘musuh’ atau sesiapa sahaja yang dianggap menggugat kepentingannya.
Termasuk Menteri Besar Selangor ketika itu, (Dato’ Seri) Dr Mohamad Khir Toyo.
Pada satu peristiwa menjelang satu pilihan raya umum, nama Adun itu tidak tersenarai sebagai calon. Namanya tercicir atau lebih tepat dibuang dari senarai calon yang dipersetujui Menteri Besar yang sememangnya tidak menyukai Adun itu.
Kemudian, Adun itu dikatakan berhari-hari ‘berkampung’ di Putrajaya – mengikut kata seorang rakan, untuk melobi supaya namanya disenarai semula, apatah lagi kawasannya itu boleh dikatakan gerenti menang. Ketika itu, belum berlaku tsunami politik yang menyaksikan negeri itu kemudian ditawan pembangkang.
Ia berlaku. Namanya disenarai semula melalui ‘wahyu’ Perdana Menteri yang disembahnya itu. Sama ada adegan ‘sembah’ di rumahnya berulang semula ketika melobi di Putrajaya atau tidak, itu aku tidak tahu. Aku hanya terima maklumat, Adun itu ‘berkampung’ di Putrajaya.
Dan pada program pengisytiharan calon Barisan Nasional di Pejabat Badan Perhubungan Umno Selangor yang dipengerusikan Dr Mohamad Khir; yang turut dihadiri wartawan termasuk aku, Adun itu turut hadir membawa gelagatnya sendiri. Gelagat orang menang.
Adun itu bercakap-cakap kuat-kuat, ketawa terbahak-bahak ketika Menteri Besar sedang berucap hingga perbuatannya mengganggu majlis. Malah, beliau mundar-mandir di sekeliling bilik mesyuarat bagaikan tidak ada acara rasmi sedang berlangsung. Dr Mohamad Khir hanya mampu menjeling tanpa berkata apa-apa. Adun itu seolah-olah sengaja melakukannya. Seakan-akan suatu revenge.
(ii)
November lalu, aku melepak dengan seorang anak muda yang menetap di Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Dato’ itu. Anak muda yang mengaku penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu diperkenal sepupu aku. Kami bertukar-tukar pandangan dalam isu politik semasa.
Tidak dapat tidak, nama Adun itu ada disebut dalam perbualan kami. Kepada anak muda berusia pertengahan 20 tahun itu, aku ada menceritakan adegan sembah politikus memang wujud dalam budaya Umno. Tahu, apa katanya?
“Oooooh, betul la cerita bapa saya selama ini. Dia ada cerita tapi saya susah nak percaya, bang,” katanya yang kemudian turut menyebut nama Adun itu.
“Bapa hang cerita apa pulak?” Cerita sama ke?”
“Lebih kurang la, bang. Bapa cerita dia sembah kaki Mahathir.”
“Hah?” Giliran aku pula terkejut kerana Perdana Menteri yang aku maksudkan, yang aku nampak kakinya disembah, bukanlah Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Betapa menjadi manusia politik paling berkuasa ada kalanya setaraf berhala!
(iv)
Al-Fatihah.
*Fazallah Pit ialah bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan, SelangorKini/TVSelangor yang memulakan karier kewartawanan di Berita Harian, 20 tahun lalu.
Comments