top of page

Buku & Projek Pencerahan – Rien Sd

  • Writer: thukulcetak
    thukulcetak
  • Dec 14, 2016
  • 4 min read

Kita semakin bimbang, jika satu hari nanti, buku menjadi lebih haram berbanding korupsi. Berapa ramai yang masih menjadikan buku tema bualan mereka? Orang muda kita buat apa? Apakah kita terus berharap dengan wacana lapuk, tua dan “secondhand” kemudian mengulang-ulang-ulang-ulang benda yang sama?

Kita perlu bergerak, meninggalkan paradigma tua. Beralih kepada perkara yang lebih serius dan menggugat. Buku itu makanan bagi mereka yang ingin tercerahkan, dan alat bagi mereka yang ingin terbebaskan. Membaca buku dengan dorongan-dorongan material (kebendaan) tidak akan ke mana-mana. Di situ , dan terus mengukuhkan lagi sistem celaka yang ada dalam negara.

Kita ada sekolah, kita ada universiti, namun kenapa masyarakat kita masih miskin dan kering akal? Mengapa buku masih belum dimasyarakatkan?

Apa itu buku?

Banyak definisi ‘cliche’ tentang buku. Apapun, buku adalah kertas-kertas yang berisi tulisan-tulisan berdakwat. Jika buku itu alat, maka membaca itu perbuatan ke atas buku. Dalam tradisi Islam, kita selalu mendengar agamawan kita bersurah, bahawa Surah al ‘Alaq itulah surah pertama yang diturunkan untuk bani manusia. Surah membaca, surah menggodek kebenaran dengan membaca. Mengenal identiti dan eksistensi (kewujudan) diri dengan membaca. Kalau kau jumpa umat Islam yang tidak membaca, itu bukan kerana Islam itu cincai, tapi umatnya terlalu semberono menjadi muslim.

Rentetan daripada membaca buku, ataupun apa jua alat akses maklumat (eg: jurnal/makalah/blog dan lain-lain), kita sebenarnya mengajak masyarakat untuk mencintai pengetahuan dan membenci kebebalan. Pengetahuan-pengetahuan yang melunasi persoalan samaada dalam urusan agama, budaya dan hal lingkungan yang tidak beres. Hidup kita memang sentiasa terhidang dengan persoalan dan permasalahan yang berhajat kepada rumus-rumus yang matang dan kritikal. Semua ini tidak terungkai di tengah masyarakat yang membelakangkan buku dan ilmu.

Dan, kemudian, kebebalan membiak-beranak melahirkan zuriatnya yang bakal menggelapkan tamadun dan peradaban. Buku hanya lambakan kertas yang disentuh apabila peperiksaan mampir. Kelompok-kelompok sosial pula, hanya melayan nafsu membaca buku aliran sendiri. Tidak bergaul dan merasa kecairan idea daripada buku aliran lain. Ini sangat bermasalah. Di satu sisi, budaya membaca menjadi gelap, malap.

Ruh buku sepatutnya dibiarkan berteriak semula. Suara-suara yang ada di dalam buku, dikeluarkan dan dibebaskan. Menjadi formula kepada kebejatan sosial, membidas taqlid semberono, mengenal kawan-mengenal lawan.

Membuku kemudian berkubu

Ya, membaca sahaja tanpa kejelasan posisi di tengah masyarakat, itu satu ketumpulan. Membaca bukan intellectual-masturbation, hanyut, zawq (asyik) kemudian lari daripada ketidakberesan sosial dan kecelakaan hegemoni.

Ia perlu diheret sama dalam mengubah masyarakat pasif kepada progresif mencakup semua perkara; berfikir, bermasyarakat, berpolitik, berekonomi, beragama dan lain-lain.

Komuniti buku kena diwujudkan sebagai simbol letak duduk kita di tengah masyarakat. Membaca sendiri, ibarat menyapu sampah dengan sebatang lidi. Buku perlu didiskusikan, didebatkan, diwacanakan untuk mewarnakan lagi pandangan dan pendapat yang rencam.

Jika Surah al-‘Alaq yang mengangkat gagasan membaca sebagai idea awal yang Tuhan promosikan kepada sekalian manusia melalui wahyu, maka surah yang kedua pula, bercerita perihal kebangkitan daripada ketakutan. Bagaimana Tuhan menegur sang Nabi pemberani, yang berselimut (muddathir), untuk bangkit (Qum) dan memberi pencerahan, ancaman, perlawanan (Nazdiro).

Suasana di kota Athens, anak muda dengan guru sama berkaki ayam-untuk berdialog ilmu satu suasana yang perlu dihidupi semula. Dan, kewujudan komuniti buku yang kecil ini, berperanan bukan hanya menyuguh idea yang liar dan jama’, namun juga berperanan menggugat wacana hegemoni yang mendominasi peta fikir masyarakat hari ini.

Pencerahan, aksi melawan pembodohan

Mengapa ruh buku itu perlu hidup semula? Mengapa perlu membaca? Dunia yang besar agam ini, semakin kematian nilai. Kita disuguh dengan material (kapitalis) dan kedudukan (hegemoni). Hari ini, tidak berkuasa itu satu dosa. Maka, siri-siri pembodohan yang mengendurkan budaya ilmu ini perlu dilawan dengan mewujudkan aksi tanding iaitu projek pencerahan.

Membuku dan membaca tadi, adalah natijah kepada skeptik kita dengan banyak hal. Kita diminta menelan, tanpa mempertikai. Semua ini, masalah yang laris dalam sistem (struktural). Selain wacana hegemoni yang mengongkong, ada juga wacana tambahan yang datang dari kelompok sosial yang lain. Yang kemudiannya, mengukuhkan lagi sistem, dan lama-kelamaan tidak mampu diubah.

Mahu tidak mahu, kita perlu beredar daripada terus berleter di daerah yang semakin tegap ini. Sistem semakin hari semakin rosak dan tegap. Di satu sudut, masih ada satu daerah yang boleh kita berpencak, iaitu daerah intelektual. Wacana alternatif, komuniti buku, dan kelompok-kelompok masyarakat sivil masih berpeluang melancarkan projek pencerahan tanpa berhajat kepada restu struktural. Kita tidak perlu dominan untuk merobah sesuatu yang tidak beres.

Masalah yang diternak oleh struktural, antaranya berleluasanya minda tertawan (captive-mind), mati fungsi akal, menjunjung satu aliran pemikiran, tidak bergaul dengan idea daripada jalur berbeza, bertanya satu kesalahan, bertumpu kepada tokoh yang diminati (figure-centric) dan lain-lain. Kita perlu akui, bahawa sebenarnya kita sedar hal ini.

Tiada jalan lain, menurut Isham Rais dalam bukunya Tertangkapnya Sa-ekor Toyo; untuk membebaskan diri kita di tangga awal wahid ialah membaca. Melalui pembacaan buku-buku berkemungkinan dapat digarap satu pemikiran yang membawa kepada harapan dan pembebasan.

Jika kita melihat, membaca dan membuku itu adalah alat menuju pencerahan, maka dorongan ini tidak akan pernah luntur. Kita akan mula serius, meninggalkan orientasi pengetahuan yang disilibuskan untuk kita menjadi diam, patuh, menjadi graduan dada tinggi. Tapi dalam hal menguruskan keharmonian dunia ini, kita seorang gagalis.

Kalau kita belajar dengan membaca, maka kita memahami dengan cinta. Ini pesan Maulana Jalaludin Rumi yang kita perlu ulang-ulang-ulang-ulang.


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page