top of page

Gadis Penjual Ros Merah Di Tehran

  • ZF Zamir
  • Dec 13, 2016
  • 3 min read

Aku sampai di stesen Meydan Enghelab Eslami setelah berjalan sekitar 8 minit dari hostel di lorong Dideh Baan, jalan Fakh-e Razi.

Matahari tegak di atas kepala, jam menunjukkan jam 11 pagi, sekitar jalan Fakh-e Razi ini penuh dengan toko-toko buku. Hawa panas dan kering dengan suhu mencecah 40 darjah yang sangat berlainan dengan cuaca lembab Kuala Lumpur, bercampur dengan suasana di persimpangan jalan, kereta penuh, telahan aku kebanyakannya mungkin Saba, keluaran Saipa. Saipa ialah pengeluar kereta jenama Iran, Saba ni pula model macam Saga kat Malaysia.

Orang ramai berjalan keluar dan masuk dari stesen tersebut, lelaki dan perempuan, yang semuanya berskarf, dan bercadur. Di hujung lorong aku temui 3 mesin tiket, yang gagal aku tukar bahasanya ke English.

Di kaunter, aku teringat pesan Rashedi di hostel, yang menyuruh aku membeli kad kerana lebih dari cukup untuk pelawat yang akan berada di kota ini tak lebih dari 2 hari katanya.

Aku mengeluarkan wang, baki dari pemandu teksi yang berjaya menipu dan mencekik aku malam tadi sesudah menghantar aku dari lapangan terbang. Dengan muka ramah dan bahasa Farsi yang tak aku fahami, dia memeluk dan memimpin tanganku dari laman ketibaan sehingga ke depan mobilnya di tempat meletak kereta lantai bawah.

Ya, lelaki penipu ini memimpin tanganku dengan begitu romantis dari lantai ketibaan sehingga ke depan mobilnya, manis kan? Untuk lelaki asing yang akan ditipunya sebentar sahaja lagi.

Aku melupakan tragedi malam tadi dan kembali fokus kepada lelaki penjaga kaunter tiket di depan sambil mengeluarkan beberapa not yang belum aku biasakan. Dia berkata sesuatu, sebelum menyedari aku tak memahaminya dan kemudian mengambil beberapa not, menggantikannya dengan sebuah tiket.

Aku menggelengkan kepala menyedari tiket tersebut berupa tiket kertas. Kepalaku mengingat keras pesan Rashedi, Kad, Kad, Kad!

Melihat aku menggeleng kepala, dia menukarkan tiket tersebut kepada sebuah tiket lagi, sambil jarinya menunjukkan simbol 2 kepada aku. Aku memegang tiket dan melihat tulisan tertera; 2 hala.

Sekali lagi aku menggelengkan kepala, namun terdapat barisan panjang di belakang, memaksa aku bergerak ke tepi. Setelah berdiri memerhati tiket kertas 2 hala tersebut selama beberapa minit, aku kembali ke kaunter tiket. Kali ini yang menjaganya ialah seorang perempuan berkulit cerah yang rupawan.

Dan tika kami bertentang mata, aku terpempan seketika sebelum mula berkata dalam bahasa Inggeris; “Saya, err, tak mahukan tiket 2 hala, saya mahu kad yang boleh diisi nilainya,” dalam bahasa Inggeris.

Dadaku kencang berdepan gadis bertudung skarf yang cantik ini, kelihatan sedikit rambutnya dibiarkan keluar di bahagian atas. Dia membalas senyumanku, dan menjawab dalam bahasa Farsi. Blablabla.

Aku menggeleng tanda tidak memahami sepatah pun ucapannya. Di belakangnya ialah lelaki yang mula-mula memberikanku tiket 2 hala tersebut, mereka berkata sesuatu sebelum sama-sama tertawa. Kami bertiga, sama-sama menggeleng kepala.

Aku menarik nafas panjang kerana proses menjelaskan bahawa aku mahukan kad yang punya nilai di dalamnya, bukan tiket 2 hala ini mengambil sehingga lebih dari 30 minit. Aku berulang alik dari kaunter lebih dari 3 ke 4 kali, sehinggalah akhirnya gadis kaunter yang cantik itu bangun, keluar dari kaunter dan mengajakku ke kaunter lain, dan berkata sesuatu kepada gadis lain yang menjaga kaunter lain tersebut.

Kali ini setelah beberapa not diambil gadis tersebut, aku diberikan sebuah kad yang akhirnya aku sambut dengan ucapan terima kasih. Aku mengulang ucap terima kasih kepada gadis tersebut, sebelum memberikan senyuman terakhir kepadanya mengingatkan, senyuman terakhir sebelum kami berpisah.

Aku mengambil tren menghala ke Shahid Kolahdooz, tetapi berhenti di Darvazeh Dawlat sebelum menukar tren di sini menghala ke Kahrizak tetapi berhenti di Panzdah-e Khordad. Sepanjang 3 hentian dalam tren pertama, 5 anak kecil, lelaki semuanya, berumur sekitar 10 ke 13 tahun jika tak silap, menjaja barangan seperti stokin, gula-gula getah ataupun ubat gigi dan berus gigi.

Juga di dalam tren kedua, sepanjang 3 hentian, aku lihat corak yang sama, sekitar 4 ke 5 anak kecil berumur tak lebih dari 15, lelaki semuanya menjaja barangan. Panzdah-e Khordad ialah stesen terdekat dengan Grand Bazaar Tehran atau Bazar e Bozorg dalam bahasa Farsi. Bazar ini mencecah 10km panjangnya.

Terkesan dengan pemandangan ini, ketika duduk di dalam sebuah masjid di dalam Bazaar tersebut aku membuat kajian ringkas. Sebuah website TheTower.org pada 24 November 2014 mendedahkan sehingga 1.7 juta kanak-kanak bekerja di seluruh Iran, disahkan oleh Mostafa Fayzi, ‘Head of Inspection Organization of the Tehran Municipality’.

Hamid Yazdan Panah pada 4 Disember 2013 menulis bahawa hampir 3 juta atau 22% kanak-kanak Iran di bawah 18 tahun tidak mendaftar untuk sesi persekolahan. Hampir 200,000 kanak-kanak tinggal di jalanan. Separuh daripada mereka dipercayai dari Afghanistan.

Laman web Humanium.org mendedahkan pada 15 Mac 2012, 14% kanak-kanak Iran dipaksa menjadi buruh paksa dengan 100 anak mati setiap bulan kerana pelbagai sebab.

Bersambung


 
 
 

Comments


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page