Intelektual Yang Tiada Masa Depan
- Amirul Zumairi Ahmad
- Dec 8, 2016
- 3 min read

Seperti yang terungkap di dalam Intelektual Masyarakat Membangun, Syed Husein Alatas membezakan apa yang dimaksudkan dengan intelektual dengan intellegensia. Persoalan mengenai kepentingan intelektual dalam masyarakat bukan merupakan subjek yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Terdapat beberapa sebab yang memungkinkan hal ini terjadi, pertama; kesedaran yang masih minimum dalam kalangan masyarakat. Kedua; budaya berfikir hanya dipandang lekeh atau tinggi oleh segelintir pihak. Dan ketiga; budaya materialisme yang kukuh.
Intelektual; Ciri dan Bentuk
Kelangsungan MyBrain di peringkat pengajian sarjana(Master) dan PhD merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan bilangan tenaga “pemikir” di negara ini. Kerajaan mempunyai matlamat untuk membiakkan tenaga pakar dalam bidang “pemikiran”.
Namun, jelas bahawa Syed Husein Alatas mengatakan, seorang intelektual tidak dapat diukur melalui pencapaian, sijil dan anugerah yang telah diperoleh.
Mereka yang mempunyai sijil dan pengiktirafan berbentuk penghargaan bertulis hanya boleh dikateogorikan sebagai intellegensia.
Syed Husein Alatas menekankan, seorang intelektual tidak semestinya mempunyai sijil tersebut, tetapi usaha dan daya fikirnya mampu menyumbang kepada masyarakat. Bahkan, seorang intelektual adalah manusia yang hidup dalam kalangan masyarakat, sedar tentang masalah masyarakat, menyuarakan masalah tersebut, dan mempengaruhi orang lain untuk mengambil berat tentang masalah tersebut.
Biarpun seorang intellegensia tidak mempunyai ciri seperti ini, kita tidak juga boleh menolak kemungkinan bahawa intellegensia ini bakal berubah menjadi intelektual. Persoalannya, adakah mereka akan berubah? Dan , apakah faktor yang menyebabkan perubahan itu?
“Setting” Masyarakat
Kita harus kembali ke zaman 70an, suatu zaman yang membentuk generasi di masa sekarang. Pada zaman ini, suasana kampung adalah salah satu ‘setting’ yang memberi peranan yang besar.
Anak-anak kampung melanjutkan pelajaran mereka di universiti dalam dan luar negara. Mereka yang “bertuah” akan meneruskan pengajian di luar negara;Barat ataupun Timur, di bawah seliaan dan tajaan kerajaan.
Salah satu faktor utama yang difikirkan oleh penduduk kampung ketika itu adalah, “belajar tinggi-tinggi, nanti dapat kerja kerajaan. Dapat elaun, dapat duit, dan boleh jaga mak ayah di kampung, ubah hidup dan nasib keluarga”. Faktor ini juga merupakan motivasi kepada anak-anak dari dulu sehingga sekarang. Motivasi berbentuk material.
Dunia tidak bernadi, jika kita tidak menghirup dan menghembus udara dari wang.
Namun, sewaktu pesanan ini masih tersemat di dada, anak-anak kampung ketika itu sudah mula terdedah dengan idea-idea luar. Mereka yang belajar di Mesir tersedah kepada gerakan Ikhwan. Begitu juga mereka yang telah berada di negara Barat. Budaya dan pemikiran Barat telah terdedah kepada mereka.
Tamparan paling hebat pastinya daripada pengaruh Syiah di Iran. Kejatuhan Syah Iran di tangan ulama menandakan; agama mampu melengserkan pengaruh hegemoni Amerika kepada Iran.
Semua budaya ini mampu untuk diterjemahkan di negara dan kampung sendiri. Maka, apakah usahanya?
Halangan Kebudayaan
Kadangkala, penulis sendiri terfikir, jika dialog seumpama ini telah berlaku, mengapakah keadaan kita masih sama seperti dahulu? Mengapa sentimen emosi dan perkauman masih lagi menakutkan rakyat kita sewaktu menjelang pilihanraya? Atau, mengapa masih lagi disoalkan “kamu belajar tinggi-tinggi, rugi kalau kamu bekerja di kampung? Cukupkah makan untuk anak isteri kamu nanti?”
Sehingga sekecil-kecil hal pun agak sukar untuk kita lari daripada warisan pemikiran zaman dahulu.
Sekurangnya, tidakkah pelajar universiti kita mampu untuk meredakan bahang pemikiran lama seperti ini?
Kita belajar, kemudian bekerja, dan berkahwin, menyediakan makanan dan yang terbaik untuk anak dan isteri kita. Kemudian, masalah ekonomi berlaku, siapakah yang harus kita salahkan? Apakah yang harus kita lakukan?
Tidak cukup sekadar menyatakan “kerajaan harus menyelesaikan semua masalah ini”, atau “kita patut menukar kerajaan”.
Malah, jika ada rakan kita yang sibuk berbicara tentang perkara ini, selalunya kita mengatakan, ini sembang kedai kopi, sembang kosong, kita masih lagi bersembang, masih lagi tidak boleh mengubah segalanya.
Jika semua orang berfikir untuk berkahwin, siapakah yang akan terjun untuk membicarakan hal-hal serius seperti ini? Adakah kita hanya membiarkan ustaz untuk memberi ceramah, para pemegang polisi untuk merancang pembangunan, atau barangkali kita menyerahkan segalanya kepada orang lain?
Gejala memandang remeh hal ini hanya menyebabkan kita kerugian.
Ada juga dalam kalangan kita berpendapat, berfikiran untuk lebih ke hadapan terlalu tinggi untuk dicapai.
Sama sahaja di antara memandang pemikiran sebagai satu perkara yang lekeh atau tinggi. Kesannya, kita tidak mahu terlibat serta membiarkan orang lain untuk menyandang amanah ini.
Akhirnya, sehingga apabila timbul gerakan atau penyumbang kepada perubahan, tanggapan sinis dan lekeh juga kita lemparkan. “Mereka terlalu suka berfikir”, “orang tidak memandang apa yang kau fikirkan, jika kau tidak berkerjaya”, “siapa mahu mendengar kata-kata seorang pekebun yang tidak dapat meraih kerja di sektor swasta dan kerajaan”.
Dan, intelektual yang kita impikan, membanteras segala onar yang berleluasa, bukan mati kerana dihukum oleh penindasan tirani puaka. Tetapi mandul kerana masyarakatnya bersifat seperti bangkai bernyawa.
Kerana itulah, lambakan pemikir di Malaysia tidak dapat menyumbang apa-apa jasa. Mereka menyalakan api dan kita mencurahkan air.
- AMIRUL ZUMAIRI AHMAD
Opmerkingen