top of page

PESTA MENYEMBAH YB

  • NAZIATUL AZRIN
  • Dec 7, 2016
  • 4 min read

Sejak kecil aku melihat perkara ini. Sama ada melalui paparan oleh televisyen dan akhbar, ataupun dengan mata kepala aku sendiri.

Ya, sejak kecil aku melihat keraian besar-besaran yang diadakan rakyat jelata demi menyambut kedatangan ahli-ahli politik – ‘YB melihat kawasan’, kata orang. Ada khemah, jamuan makan, orang ramai dan para wartawan.

Lalu apabila aku menginjak umur dewasa, dengan suasana politik semasa yang teruk dan penuh kecelaruan ini, aku jadi tertanya-tanya. Apakah perlu acara ‘YB melihat kawasan’ ini diberikan keraian laksana menyambut dewa-dewa dari kayangan?

Melalui bacaan sejarah yang aku buka lipatannya, tidaklah dapat dinafikan bahawa di suatu ketika dahulu, di mana-mana wilayah pun di atas muka bumi ini, sang penguasa pernah dianggap dewa-dewa. Dihantar Tuhan ke dunia dalam bentuk manusia.

Maka, mereka serta zuriat yang dilahirkan daripada keturunan mereka dianggap mulia, tidak tercemar dek dosa bahkan wajib bagi sekalian manusia di bawah pimpinan penguasa ‘dewa-dewa’ tersebut untuk tunduk patuh menjunjung kata-kata (atau perintah) mereka.

Dahulu kala, apabila sang pemimpin ‘dewa-dewa’ bertemu orang dibawah pimpinannya mereka dianggap sedang mencemar kedaulatan mereka. Ini kerana kepercayaan rakyat ketika itu melihat pemimpin tersebut terlalu suci. Rakyat (orang bawahan) terlalu hina untuk didekati pemimpin ‘dewa-dewa’ itu. Maka jika pemimpin ‘dewa-dewa’ itu sudi mendekati, aduhai terlalu besarlah keberuntungan bagi orang-orang bawahan pacal-pacal hina itu.

Peralatan kebesaran dicipta, hikayat-hikayat lama menceritakan kehebatan keterlaluan dikerah untuk dikarang supaya orang bawahan merasa diri mereka kecil. Orang bawahan perlu merasa hina, miskin, kotor serta bodoh. Maka kepada pimpinan ‘dewa-dewa’ yang bijak bestari ini, perlu mereka serahkan jiwa dan raga dan kepatuhan yang tidak berbelah bahagi.

Tetapi, itu dululah. Dulu. Ketika yang sudah terlalu lama ditinggalkan waktu.

Namun di era pasca millennium ini, saat segala urusan harian mampu diselesaikan sekelip mata oleh sesuatu yang kita panggil sebagai teknologi, anehnya, pemikiran ini masih ada yang mewarisinya.

Entah. Mungkin sebab kepercayaan sebegitu rupa sudah bertunjang dalam pemikiran beribu-ribu tahun lamanya. Maka pemikiran semacam itu masih tertinggal dalam kepala walaupun kepercayaan yang benar (terhadap betapa setaranya kejadian manusia di atas muka bumi ini) telah terbentang luas-luas di hadapan mata.

Berbeza dengan sistem monarki yang memelihara susur-galur darah keturunan, amalan sistem demokrasi telah memungkinkan golongan yang tidak berketurunan ‘mulia’ untuk turut berpotensi duduk di ‘kerusi’ kepimpinan. Menjadi pemimpin. Memimpin rakyat. Kerana manusia (dari sudut sosial kontrak) dicipta untuk perlu kepada pemimpin.

Jika sistem monarki agak longgar dalam aspek kredibiliti, karisma atau apa jua yang sewaktu dengannya (asalkan berketurunan ‘mulia’, berdarah campuran pun masih tidak mengapa, bahkan manusia berumur bayi juga boleh diterima!), sistem demokrasi sebaliknya adalah peperangan kredibiliti.

Calon-calon perlu cerdas, perlu berkarisma, perlu petah berkata-kata dan pelbagai syarat lagi diletak untuk dipilih menduduki kerusi kepimpinan. Dalam hal ini, pemimpin adalah pilihan manusia. Bukan lagi kiriman Tuhan. Maka perlukan usaha yang lebih bagi diri pemimpin itu sendiri. Perlu lebih banyak belajar, perlu lebih banyak membaca, perlu pengalaman yang luas, perlu sihat, perlu itu dan perlu ini.

Tidak mudah sebenarnya. Kerana pemimpin dalam sistem ini adalah – orang yang berkerja, berkhidmat untuk rakyat. Jadi mestilah yang benar-benar layak. Calon-calonnya pula terbuka. Tidak ada syarat untuk berdarah ‘mulia’.

Hakikatnya, kerja keras diperlukan untuk membina kredibiliti sehinggalah dipercayai rakyat bahawa mereka mampu memimpin. Mampu berkerja. Mampu berkhidmat. Hanya yang benar-benar layak. Kerana dalam sistem ini, pemimpin dan rakyat adalah (sepatutnya) setara. Kredibiliti yang akan membezakan manusia yang sama, lalu diangkat pula oleh manusia lainnya. Kredibiliti.

Jadi untuk mengaitkan perkara ini dengan acara keraian ‘YB melihat kawasan’, aku fikir kita juga boleh mengerti bahawa pada asalnya, keraian ini adalah untuk meraikan kredibiliti. Kebanggaan kerana punya orang berkredibiliti dalam masyarakat sendiri. Bukan orangnya semata-mata. Kerana jika tanpa kredibiliti, orang itu bukan siapa-siapa pun.

Golongan yang boleh berfikir dengan baik hanya menganggap acara ‘YB melihat kawasan’ adalah lawatan kerja. Itu asas. La-wa-tan ker-ja. Maka bila ia adalah kerja, apakah wajib bagi rakyat bertungkus-lumus mengerah tenaga dan menghabis masa memacak tiang khemah, memasak gulai berkawah-kawah, menyambut dengan paluan kompang, terhuyung-hayang memegang batang bunga manggar dan menabur bunga rampai bagai - sempena lawatan kerja? Siapa yang berkhidmat untuk siapa?

Kenapa tidak ‘YB melihat kawasan’ ini dihormati dan dilayan seadanya seperti orang yang sedang bertugas? Seperti pekerja TNB datang ke rumah kita untuk membaca meter elektrik – atas dasar tugas? (Ini contoh ya, contoh). Jika orang merasa menyambut kehadiran pembaca meter elektrik dengan membentang karpet merah dan bunga manggar adalah kelakar, begitulah yang sepatutnya kita rasa tatkala melihat orang-orang melakukan yang sama ketika YB sedang bertugas.

Sebahagian anak muda (dengan melihat juga keadaan politik semasa) menganggap acara sedemikian rupa selain adalah bosan, ianya terlalu menjengkelkan. Diraikan bukan main tetapi bila suatu isu timbul, kenyataan yang keluar serupa orang tidak sekolah. Satu apa pun tidak dapat diharap sebenarnya. Tetapi itulah, ada orang sanggup pula meraikan, menyanjung tinggi dan memuja-muja mereka dalam keadaan diri sendiri terlalu perit menghadapi kehidupan sempit sehari-hari.

Sungguh mendukacitakan, kerana pemikiran kuno pemimpin ala ‘dewa-dewa’ dalam sistem monarki telah bercampur-aduk dalam demokrasi dan politik yang penuh kekeliruan inilah yang sedang cuba mendekati dan menawan hati kita. Bosannya ya Rabbi.

Persoalannya, sampai bila kita harus melihat budaya aneh orang-orang bawahan meraikan kehadiran ahli-ahli politik dalam lawatan kerja? – yang mana kehadiran itu adalah tugas atau kewajipan mereka, dan bukankah mereka juga yang pernah merayu-rayu memintanya sebelum pilihan raya? Masakan sudah lupa?

- NAZIATUL AZRIN


 
 
 

Comentários


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page