ROHINGYA vs ORANG ASAL
- HADRI SHAH
- Dec 1, 2016
- 4 min read

Disinilah aku terdampar.
Meramas kembali helaian demi helaian tulisan dari buku Masharakat Melawan Mahasiswa untuk kali yang hanya Tuhan saja tahu.
Membaca realiti dunia sama ertinya membiarkan nadi kamu disentap dan membenamkan kamu ke dalam lohong hitam yang menggelisahkan.
Di dalam bab Sistem Pendidikan; Alat Kasta Sosial, penulis mentausiahkan pembacanya dengan memperkenalkan Antonio Gramsci di mana si lelaki Itali berakidah Marxisme itu menggunakan istilah "hegemoni" untuk menggambarkan dominasi sesebuah kelas terhadap kelas yang lain. Ini menurutnya bukan sekadar keupayaan untuk kawalan politik dan ekonomi, tetapi juga keupayaan kelas dominan ini untuk memperlihatkan sudut pandang mereka terhadap kelas yang dikuasai. Gramsci menambah keseluruhan sistem kepercayaan, nilai, perilaku serta moral mempunyai kesan untuk menyokong status quo di dalam hubungan kekuasaan ini. Dalam konteks ini, hegemoni boleh didefinasikan sebagai "prinsip terancang" yang disisip ke dalam proses sosialisasi kehidupan seharian.
Dunia ini bukan setakat terpecah kepada beberapa benua serta kepulauan malah dunia menjadi saksi kepada perpecahan kelas, jurang kasta yang terwujud untuk memuliakan sesetengah kaum,bangsa dan individual dan juga menghinakan sesetengah kaum,bangsa,individu lain yang lemah.
Untuk melihat perspektif yang lebih intim, kita tak perlu melihat jauh.
Baru-baru ini makan tengahari aku bersama beberapa rakan sekerja menjadi sedikit panas apabila kami berborak perihal sekolah agama swasta "elit" yang digerakkan oleh orang-orang alim agama dan kader-kader mereka yang terdiri kebanyakkan dari kaum elit profesional.
Soalan pertama yang aku soalkan bertujuan memancing hujah balas supaya perbincangan kecil itu menjadi lebih panas bebrbunyi begini;
Mengapa perlu aku menjalani sebuah peperiksaan sebelum aku diterima belajar di sekolah agama?
Apa rasionalnya? Mengapa kelayakkan aku perlu ditapis sedangkan aku memang berminat untuk belajar, lagi-lagi untuk mendalami ilmu agama? Dan bagaimana pula dengan yuran bulanan sekolah? Rasanya aku jugak tidak mampu menyediakan ratusan ringgit sebulan untuk yuran sekolah. Jika begitu, bagaimana nasib anak-anak marjinal lain? Apakah mereka mempunyai peluang yang sama atau mereka akan sentiasa terpinggir dek kerana aturan sistem pendidikan itu yang meletakkan nilainya berprestij; sesuai bagi yang berkemampuan sahaja?
Umpan aku mengena.
Salah seorang rakan sekerja aku memprotes. Katanya, asal sekolah agama saja mesti percuma, mesti menerima siapa sahaja tanpa memperincikan kelayakkan, akhirnya pelajar yang diterima masuk tak berkualiti, nak menghafal pun tak reti, bagaimana mahu melahirkan ulama baru?
Kasta yang sedang kita bicarakan sekarang terlahir dari pemikiran kita sendiri.
Sejak dari awal pertumbuhan hidup manusia, perkataan kasta inilah yang membezakan antara yang kuat dan lemah, antara kaya dan miskin, antara yang beriman dan tidak. Kasta diperlukan untuk mencipta jurang kelas dan yang lemah akan sentiasa berada di bawah sehingga jasadnya dikubur sebelum dikitar semula generasi mendatang.
Pengkastaan adalah sebab mengapa manusia hidup berpuak-puak (dalam kelompok sendiri) mencurangi fitrahnya untuk hidup dalam solidaritas.
Jika bukan kerana kasta (baca: perbezaan religius) mengapa sebahagian besar umat Islam harini cuma terjerit jerit bila Gaza menerima hujan bom mortar, Syria disimbah api perang tak berkesudahan dan paling baru apabila bangsa Rohingya yang kepala mereka sedang disembelih, rumah mereka dibakar fasis fasis fundemental Buddha dan kerajaan junta Myanmar?
Umat Islam masa kini merasakan merekalah satu satunya penganut agama yang ditindas, menyebabkan mereka begitu selektif dalam bersikap.
Dimana suara suara mereka yang menyakini agama anutan mereka yang menyebelahi kebenaran saat anak-anak Afrika dipaksa bekerja 100 jam seminggu? Di mana peranan mereka ketika kelas pekerja di Asia, Amerika Selatan dinafikan hak, diperbudak seperti hamba oleh majikan syarikat gergasi? Di mana solidariti mereka terhadap kaum asal, kaum yang sedang dimusnahkan dari aspek budaya-sosio dan tentunya tanah adat mereka dirampas kapitalis?
Ini segera mengingatkan aku kepada Tariq Ali di dalam buku kecilnya "Letter To A Young Muslim".
Soal Tariq, "why are so many muslims sunk in this torpor? Why do they wallow in so much self pity? Why is their sky always overcast? Why is it always someone else to be blame?”
Sambung Tariq, "The people of Indo-China suffered more than any Muslims country at the hands of the US government. They were bombed for 15 whole years and lost millions of their people".
Baru minggu lepas ramai Muslim di Malaysia berkobar kobar semangat jihad mereka tatkala bangsa Rohingya sedang hangus dibakar. Entah dari mana datangnya semangat seperti itu, namun ia tidaklah menghairankan. Perkara begini selalu terjadi, dan apabila ianya betul-betul terjadi, maka bersiaplah dengan deretan mesej mesej panjang di Whatsapp, berdengdanglah aura berjihad dalam jiwa jiwa pemuda pemudi Muslim, Ustaz Ustazah berdegar degar bersyarah di madrasah, surau dan masjid, khutbah khatib tidak lagi berbunyi layu, Tok Imam pula tiap tiap Subuh berteriak berqunut nazilah.
Semalam, 41 orang aktivis orang asal Kelantan yang melancarkan resistensi terhadap pencerobohan gergasi Kapitalis balak yang direstui kerajaan Islam Kelantan ditangkap.
Berita penangkapan mereka berbunyi sendu. Tiada satu pun individu mahupun kumpulan Muslim sanggup bersengkang mata menulis panjang-panjang perihal perampasan tanah orang asal, tiada teriakan jihad kedengaran, Ustaz Ustazah di madrasah, surau dan masjid masih bercerita hal aurat, tanggungjawab suami-isteri, manakala Tok Imam sendiri tak pasti samada perlunya membaca qunut nazilah mengharapkan Tuhan menghantar anjing-anjing mengoyak leher leher pimpinan kerajaan Nik Amar dan rakan kapitalis mereka.
Jumaat ini, adakah khatib akan berkhutbah sehingga pecah mimbar tentang nasib orang asal sepertimana marahnya mereka kepada Ang Syu Ki?
Kasta menjijikkan.
Ia mengamankan kebajikan kaum fasis, merendahkan martabat kaum lemah. Tetapi kerana kasta jualah, dari sekecil kecil urusan seperti pendidikan, sosial dan ekonomi manusia terpecah hidup berpuak puak. Kasta tumbuh dalam hati manusia membuatkan mereka hanya bertindak apabila keperluan perut sendiri diragut, tidak pula bertanggungjawab ketika hak kaum lain terjatuh ke tangan penindas.
Dan aku kira, kebodohan sebilangan besar Muslim di Malaysia berpunca dari kesalahan kiblat mereka yang menghala pengkastaan; hanya mengambil peduli tentang saudara sendiri tetapi membutakan matanya saat kaum lain dilanyak lanyak gergasi fasis.
Aku tinggalkan sepotong Hadith disini bukan kerana sikap aku seperti Muslim lain yang menggunakan Hadith mempertahankan status quo, tetapi sebagai ingatan buat mereka yang sakit disebabkan ketololan sendiri.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahwa Rasulullah bersabda ; umat Islam berserikat dalam tiga hal yakni, air, makanan ternak dan api. Memungut bayaran untuk itu haram hukumnya. Abu Said mengatakan yang dimaksud dengan air adalah air yang mengalir. (m/s 145 diambil dari buku Muhammad SAW & Karl Mark : Tentang Masyarakat Tanpa Kelas)
Hadith nabi tersebut merupakan penjelasan dan pengakuan akan hak kepemilikan umum dalam hal-hal tertentu seperti air,rumput dan api. Semuanya adalah kepunyaan umum dan tidak boleh dimiliki oleh seseorang termasuk juga negara.
Sekiranya perkara-perkara asasi ini tidak boleh didominasi kuasa pemodal dan juga pemerintah, bukankah ia juga satu perbuatan kriminal berat, menceroboh dan merampas tanah adat demi kepentingan laba?
Tuhan, menangkanlah seluruh kaum tertindas di dunia ini, semarakkanlah perlawanan mereka terhadap kesemua kelas penindas meski nyawa mereka dipertaruhkan.
Amen!
- HADRI SHAH
Комментарии