CARA-CARA UNTUK MENJADI ANGKUH
- DAYANG SIFAR
- Nov 29, 2016
- 3 min read

Kalau empati aku ini seperti beras di dalam guni, sudah lama aku terpaksa makan ubi. Guni empati aku tidak lama lagi akan kering. Kian berkurang dek kerana terlalu banyak perkara yang berebut-rebut mahukan empati dariku.
Aku melihat orang yang angkuh semakin dipuja dan hidup mereka semakin senang, biarlah kini aku pula menjadi angkuh.
Aku akan berpaling dari empati dan aku akan menjadi angkuh. Cumanya, aku tidak mengerti bagaimana mahu memulakan transformasi ini. Oh ya, mungkin jika aku bertanya kepada orang yang ahli, akan ada yang dapat menunjukkan aku cara-caranya. Meninggalkan mahligai empati dan menuju ke mahligai angkuh.
Sebagai seorang rakyat Malaysia beragama Islam yang baik, dan kerana aku cuba membaiki diri dan ingin mendapat nasihat, aku pun merujuklah kepada seorang Ustaz. Wahai Ustaz, bagaimana caranya untuk menjadi angkuh? Tanya aku dengan penuh pengharapan kepada ahli agama yang disegani ramai. Matanya memandang ku kemudian beralih kepada tablet di tangannya, sambil jarinya menaip sesuatu. Senyumnya sinis apabila mendengar soalan aku.
“Kau naif.” Ujarnya.
Tapi aku benar-benar mahu menjadi angkuh.
“Untuk menjadi angkuh kau tidak perlu belajar bagaimana mahu menjadi angkuh! Kau kumpul saja bilangan pengikut yang ramai, tanpa disedari, merekalah yang akan membimbing tangan kau ke ‘mahligai angkuh’” ujarnya lagi.
Aku memandangnya, mengharapkan ada lagi nasihat yang akan diberi kepadaku. Sudah tentu, ada lagi, benarlah tekaanku, ustaz ini suka benar diberi peluang untuk memberi nasihat.
“Pengikut yang ramai ini akan menjadi penebat kepada surcas empati yang ingin membawa mu kembali kepada mahligai empati. Perhatikan, sesiapa yang ingin menegur aku perlu mengalahkan dulu barisan pengikut-pengikutku yang setia menyokongku. Benar atau salah, belakang kira. Yang penting, namaku sebagai seorang pembawa imej Islam itu dibersihkan. Jika ada yang mencabarku, senang, bawa saja mereka ke mahkamah. Mahkamah akan memihak kepada mereka yang angkuh. Dengar ini, aku tidak punya banyak masa melayan orang seorangan seperti kamu, tinggalkan aku. Aku ingin menambah baik keangkuhanku“.
Belum sempat aku mengucapkan terima kasih, Ustaz itu telah awal lagi menutup ruang perbincangan antara kami berdua. Aku lebih punya peluang jika aku memujinya di ruang komen laman sosialnya yang mempunyai jutaan pengikut, mungkin.
Aku menilai kembali apa yang diujarnya, ingin mencari klu dalam mesej nya. Tidak mungkin aku dapat mengumpul pengikut seramai Ustaz ini. Mahkamah! Baiklah, aku akan pergi menagih nasihat pula di mahkamah yang disebut oleh Ustaz tadi. Aku meneruskan perjalananku ke sebuah bangunan gah di tengah kota. Tertulis jelas menunjukkan bangunan itulah mahkamah yang dicari. Lalu aku berteriak dari luar bangunan,
Wahai mahkamah, ajarkan aku untuk menjadi angkuh sepertimu!
Diam. Tidak berjawab. Aku melaungkan lagi sekali permintaan aku dari luar bangunan yang gah itu. Belum sempat aku menghabiskan laungan, seorang pemuda memanggilku.
“Kau disini, buat apa?“ tanya pemuda itu.
Aku ingin menjadi angkuh, dan aku telah diberitahu bahawa mahkamah ini memihak kepada mereka yang angkuh. Lalu aku ingin mengetahui rahsia untuk menjadi angkuh.
“Ya benar. Baru-baru ini pihak berkuasa telah mengambil ibuku dan mengurungnya di dalam sebuah bilik kecil yang tiada bertingkap, tiada beralas. Aku ingin membuat bantahan kepada mahkamah, dengan angkuh mahkamah mengabaikanku. Tapi aku kira, aku bukanlah yang pertama dipisahkan dari ibu bapa oleh mahkamah ini.”
Aku ingin bersimpati terhadap ibumu. Tapi aku tidak punyai masa untuk ini, aku ingin mencari cara menjadi angkuh.
“Mahkamah ini tidak akan melayan orang seperti kita yang tidak berkepentingan kepadanya. Kau tidak mempunyai peluang untuk bercakap dengan mahkamah ini”
Kalau demikian, bagaimana aku ingin menjadi angkuh?
Pemuda itu diam. Tanpa kusedari, seorang orang tua yang dari tadi memerhati kami bercakap, datang mendekati kami. Di tangannya terdapat kotak plastik berisi paket-paket tisu. Orang tua itu berkata dia tertarik mendengarkan perbualan kami. Aku mengadu kepadanya perihal aku yang ingin menjadi angkuh dan menjelaskan bahawa sebelum datang ke mahkamah ini, aku sudah awal lagi pergi meminta nasihat dari seorang ahli agama negeri ini. Aku sudah menemui jalan buntu.
Orang tua itu kemudiannya ketawa, dan berkata;
“Anak, kau tidak perlu susah payah mencari ahli agama dan kemudian datang berjalan kaki ke mahkamah. Kau hanya perlu berada di tengah-tengah masyarakatmu, sebagaimana aku yang sudah bertahun-tahun berbuat demikian. Dari situlah kau akan belajar cara-cara sebenarnya menjadi angkuh.”
- DAYANG SIFAR
Comentarios