MUSA-KHIDIR MELAWAN MITOS PENDIDIKAN
- AINA WAFI AB KADIR
- Nov 25, 2016
- 4 min read

Gambar kredit: farihinzul1974.blogspot.com
Musa mahukan jawapan kepada pembocoran perahu. Takkanlah Khidir tidak sedar kalau perahu itu sedang dinaiki orang lain, bukan mereka berdua sahaja? Lebih dahsyat, perahu itu hanya menumpangkan mereka tanpa mengambil sebarang bayaran. Tetapi Khidir begitulah. Menolak untuk menjawab soalan dan pertanyaan Musa yang tadi.
*
Rentetan satu kejadian pembunuhan tidak sengaja yang dilakukannya, Musa melarikan diri dari negeri asal, Mesir. Hinggalah Baginda tiba di satu tempat orang memberi haiwan ternakan minum, bumi Madyan. Di situ, Baginda tinggal selama empat puluh tahun dan menerima wahyu dari Tuhan. Kemudian barulah pulang ke Mesir, termasuk melanjutkan pengembaraan ilmu dengan Nabi Khidir a.s.
Kalau hal terbunuh itu sahaja sudah memberi kesan yang sangat besar kepada Musa, apatah pembunuhan sengaja seorang anak yang masih muda, tidak diketahui asal usul, tidak kenampakan buruknya yang baharu sahaja dilakukan Khidir di depan matanya sendiri?
Khidir berlalu dan meninggalkan Musa tanpa menunaikan haknya – jawapan kepada persoalan.
*
Mereka sudah berjalan jauh. Musa sendiri berada dalam keadaan keletihan. Semua penduduk kota tidak sudi pun memberi mereka berdua walau sedikit makanan. Bukankah adab memuliakan tetamu itu sebagian dari perkara baik?
Tetapi Khidir, entahlah atas pertimbangan apa, mudah-mudah membantu dua orang anak kecil membina dinding rumah mereka. Kali ini tidak ada soalan meminta rasional perbuatan itu, melainkan satu cadangan dari Musa, menyuruh Khidir meminta upah untuk pertolongan yang telah diberikan.
Di situlah tempat mereka berpisah. Musa melanggar janji dan Khidir cuma menjalankan tuntutan katanya yang awal tadi.
*
Kau tahu, Musa sebenarnya dikenalkan Tuhan kepada Khidir. Seseorang yang ilmunya lebih tinggi dan dalam berbanding Musa. Kerasulan yang menjadi anugerah buat Musa sekali-kali tidak menjadikannya manusia sombong. Perjalanan dimulakan, melalui kesusahan, berulang-alik dari tempat ini ke tempat itu, bahkan penolakan awal Khidir sendiri dihadapi Musa sebelum diterima menjadi anak muridnya.
Musa membekalkan gurunya dengan janji, kalau Baginda boleh bersabar dan menuruti didikan gurunya itu, Khidir. Tetapi seperkara yang Musa lupa, ukuran ilmu dan pendidikan antara Baginda dan Khidir itu tidak sama, bahkan jauh sekali.
Khidir cuma menerima wahyu dan perintah dari Tuhan, kemudian melaksanakannya. Sedangkan Musa menginginkan penjelasan. Mengapa perbuatan-perbuatan itu dilaksana Khidir? Mengapa perahu dibocorkan? Mengapa anak muda tadi dibunuh? Mengapa memilih untuk membina dinding walau penduduk kota tidak langsung memberi mereka makanan?
Ilmu dan pendidikan di mata Musa ialah satu penjelasan yang terang, asbab-asbab yang boleh dinyatakan secara terus dan diterima akal. Sedangkan Khidir, di sisinya yang lebih penting ialah kesabaran dan ketekunan Musa untuk meneruskan perjalanan dan menerima satu-persatu didikan darinya. Bukan semata keputusan, jawapan dan penerangan-penerangan panjang tentang tiga peristiwa tadi.
*
Kehidupan kita di zaman baru menyaksikan pendidikan dan keilmuan diukur dari cantiknya keputusan peperiksaan dan dari tingginya markah tugasan. Pasca pengumuman keputusan peperiksaan UPSR, tidak sedikit ibubapa yang bersedih, malahan media melaporkan betapa marahnya mereka tentang jumlah anak-anak yang sikit sahaja berjaya memperoleh 6A. Ada yang berkata, pihak kementerian telah meremukkan hati anak-anak dengan keputusan tersebut. Bahkan ada yang merakamkan kekesalan, apalah gunanya anak-anak dihantar ke sekolah kalau keputusan UPSR mereka seteruk ini?
Hanya ibubapa sahajalah yang tahu betapa tekun dan gigihnya anak-anak kecil berumur 12 tahun itu meletakkan usaha dalam menghadapi peperiksaan berskala mega ini. Hanya ibubapa jugalah yang tahu, dan sewajarnya tahu, potensi dan bakat apa yang tersimpan dalam diri anak-anak kita. Kesilapan dan keputusan yang tidak diduga ini bukan datang dari anak-anak, apatah para guru kita yang hidupnya tunggang-terbali harus mengejar sistem baharu yang diletakkan kementerian. Para guru sudah meletakkan usaha, anak-anak pun begitu. Tinggal lagi sistem penggredan berubah dan entah skala bagaimana yang diguna kementerian dalam peperiksaan kali ini?
Cuma, kita terlepas pandang suatu perkara. Bahawa sekolah rendah beserta tempoh 5 tahun anak-anak kita belajar di sana ialah proses tahap satu yang harus mereka lalui. Di peringkat dan ruang inilah anak-anak mula didedahkan dengan pecahan-pecahan ilmu, pencungkilan bakat dan potensi diri, serta pembinaan hubungan yang di akhirnya ia bakal menjadi jati diri pertama sebelum anak-anak berpindah ke alam remaja.
Sedari sekolah rendah lagi kita sudah membentuk-paksa anak-anak bahawa ilmu dan pendidikan itu layak diukur dengan jumlah A dan markah yang tinggi. Kita lupa kalau selain keputusan peperiksaan UPSR itu, ada seribu satu pengajaran yang diajar guru kepada mereka. Kita lupa kalau kekecewaan anak-anak yang sekarang ini bakal menjadikan hati mereka lebih kuat dengan syarat, kita sendiri mempositif dan meletakkan kepercayaan, memberi ruang kepada mereka untuk mula mengekspres diri.
Kesilapan kita ialah meletakkan harapan anak-anak pada jumlah A, pemilihan dan kemasukan ke sekolah berasrama yang katanya penuh berprestij lebih daripada meletakkan harapan mereka kepada diri kita, kepada kepercayaan, peluang, masa dan perhatian yang seharusnya lebih banyak kita beri.
Membina anak-anak yang sabar dan tekun tidak datang dengan keputusan 6A UPSR sahaja. Perjalanan mereka masih panjang. Yang perlu dibekalkan ialah didikan-didikan tentang kesabaran dan luasnya pandangan sehingga peribadi anak itu mampan, mampu membawa diri walau dia pergi bumi mana. Satu nilai tambah, itupun dalam hal kegembiraan anak-anak jika 6A itu bisa dicapai mereka.
Kita sudah kalah jauh dalam permainan sistem. Ia tidak mampu kita selesai dan atasi sekarang, apatah dalam keadaan buru, marah-marah ini. Dan adakah kita mahu kalah sekali lagi dalam menerapkan didikan sebenar buat anak kita?
Keputusan 6A yang sifatnya bernombor dan bergred itu bakal menjadikan anak-anak kita gagal mencari kesabaran, ketekunan dan hikmah dalam perjalanan mereka menuntut ilmu.
Persiapkan anak-anak kita dengan bekala yang sebenar. Kehidupan tidak akan ditempuhi dengan tinggi dan cemerlangnya keputusan peperiksaan mega semata. Mereka akan menghadapai zaman lain yang ujian dan desakannya jauh lebih kuat berbanding kita.
Dan ketika itu, apakah jumlah A yang akan mendominasi jiwa mereka, atau pendidikan-pendidikan kesabaran dan ketekunan dari kita?
- Aina Wafi
Comments