PENCERAHAN AGAMA ADALAH TINDAKAN AKSI
- MOHD SYAZREEN ABDULLAH
- Nov 21, 2016
- 3 min read

Seseorang bertanya tentang buku Fundamentalisme Islam ditanganku. Ya, buku ini sangat memberi ispirasi selain buku-buku yang lain. Kenapa buku itu sangat istimewa berbanding yang lain? Pemuda ini melihat gambar seorang tokoh di halaman kulit terus memberi kesimpulan awal tentang kandungannya.
Jawabnya ini buku sesat.
Aku tidak pelik mendengar responsinya selepas ia melihat wajah Hassan Hanafi (seorang tokoh yang mengundang kontroversi dalam sejarah pemikiran keagamaan).
Melalui pergolakan dunia yang semakin pelik dan kemunduran tradisi intelektual Islam, mengapa pemikiran seperti Hassan Hanafi dan pemikir-pemikir lain seperti Arkoun, Nasr Abu Zaid harus diketepikan. Wacana Islam progresif yang bertemakan aksi (dalam tajuk yang digunakan oleh Hasan Hanafi Min Aqidah ila as-Sawrah – iaitu dari dogma (teologi) menuju aksi revolusi) adalah bentuk perlawanan yang harus diberi perhatian dalam usaha melawan kebobrokan pemikiran mahupun kebebalan masyarakat muslim (Melayu Islam) dalam mengamalkan praktis keagamaan.
Agama adalah bentuk sebuah empiris yang membentuk kesedaran penganutnya untuk bertindak ke atas keimanan yang diyakini. Agama tidak menjadikan individu tersebut menjadi seorang yang pasif berdiam diri ke atas kezaliman (kebebalan) dan penindasan.
Lembaran sejarah kemuncak kejayaan dan kejatuhan peradaban Islam harus disemak kritis kembali. Bersifat romantisme terhadap sejarah tidak menjadikan transisi itu terhenti, sebaliknya muncul gerakan-gerakan yang bangkit menentang penindasan dan kesyirikan dalam beragama.
Kelompok yang dikenali sebagai fundamentalis Islam ini bangkit melawan kediktatoran kezaliman penguasa. Kelompok fuqaha ini rela menanggung risiko akibat ketajaman mereka dalam mengkritik kerosakan malah tidak hanya menjawab fatwa persoalan hukum hakam agama melainkan juga turun dalam medan tindakan memprotes kezalimanan.
Para fuqaha salaf seperti Ahmad Ibn Hanbal & Ibn Taimiyah berusaha sehingga menjadikan kelompok fundamentalis kebal dalam menjaga keautentikan Islam daripada ancaman luar dan Barat. Namun era peradaban Islam hanya sekadar sepanjang tujuh abad lalu sebelum mencatat sejarah kejatuhan.
Aku menyambung lagi penceritaan sejarah ini dan dia masih setia tekun mendengar.
Lalu dilanjutkan dengan gerakan melawan imperialis yang digerakkan oleh Jamaluddin al-Afghani mahupun Abdurrahman al-Kawakibi. Kekecewaan pada generasi pertama telah membangkitkan era revilitasi Islam dan gerakan reformasi keagamaan. Namun usaha pencerahan (reform dan liberasi) ini terhenti hingga ke abad -20 terus berakhir dengan konservatif, diktatorisme-autoritarianisme dan kemunduran praktis keilmuan Islam.
Usaha dan gerakan akliah yang dibawa seperti Muhammad Abduh, Rasyid Rida, Rifaat Tahtawi, Thaha Hussein, Mahmud Abbas Aqqad yang membuka lembaran dinamisasi akal juga tumbang akhirnya dengan pengkafiran. Ijtihad menjadi bid’ah dan terlarang.
Kami beralih kepada responsi peredaran zaman kami ketika ini. Dia masih setia mendengar sambungan bicara. Menurut relevansi zaman yang tidak pernah berhenti, soal keagamaan adalah penting untuk difikirkan kembali. Pembangunan pemikiran keagamaan yang mampan harus dikembalikan dengan kesedaran melalui intelektual yang kritis melihat sejarah dan zaman.
Begitu juga kesedaran pencerahan gerakan atau keilmuan ke atas masyarakat yang menjadi tunjang kebangkitan melawan kezaliman.
Zaman ini sebaliknya dipenuhi dengan agamawan palsu yang berdiam diri daripada kezaliman pemerintah, sibuk menjual agama dan melawak di kuliah-kuliah agama. Inilah beban yang harus ditanggung oleh masyarakat moden Melayu Islam hari ini terhadap agamawan zaman ini.
Kesilapan kelompok yang dipanggil fundamentalis Islam pada generasi dahulu adalah terlalu keras dalam menjaga keautentikan agama sehinggakan ia menggambarkan kebekuan lalu mengagalkan gerakan rasionalis dalam tradisi pencerahan sejarah Islam. Zaman kemunduran ini tidak akan keluar dari kegelapan selagi mana umat Islam masih lagi bersikap tidak acuh kepada perubahan dan kemajuan.
Aku menjelaskan lagi tentang kemajuan itu bukanlah lagi teori-teori pembangunan peradaban insani yang selalu dilaung-laungkan oleh sebahagian pihak, namun disebalik teori ini sudah pasti pengorbanan sikap untuk perubahan melalui kesedaran yang menuntut tindakan aksi kita untuk melawan kerosakan kerana agama mengajar kita kepada keadilan dan melawan penindasan.
Islam bukanlah agama tentang hal-hal syurga dan neraka sahaja, sebaliknya diakhir kata Hassan Hanafi ada menyebut bahawa Islam adalah ruh umat sekaligus sejarah, turath dan spiritnya sehingga membumi dihati nurani rakyat bangkit menegakkan revolusi melawan kerosakkan melalui kesedaran pencerahan agama yang tulen.
- MOHD SYAZREEN ABDULLAH
Comments