top of page

KEBANGKITAN KAUM BEBAL

  • ZF ZAMIR
  • Nov 18, 2016
  • 4 min read

AKU memandangnya dengan senyuman. Kami berbual dan saling mengusik sebelum dia mengungkapkan kata-kata ini. Jemari kirinya memeluk rapat jemari kanannya, dan merapatkan ke bibir. Orang ramai lalu lalang, kafe post-hipster ini gamat dengan bunyi tawa dari meja hujung.

{Saya mohon maaf bagi pihak rakyat Amerika}

Aku membulatkan mata tanda terkejut, dan kami serentak tertawa.

{Untuk apa mohon maaf?}

{Kerana mengundi Donald Trump}

{Benar kamu mengundi dia?}

{Oh tidakkk. Tapi ya Ohio mengundi dia dan aku dari sana kan?}

Kami tenggelam lagi dalam perbualan yang panjang di meja yang sama untuk satu jam lagi. Skrin televisyen yang tergantung dari langit menunjukkan siaran CNN dengan tajuk-tajuk anti-Trump, diwakili pengacara perempuan berambut perang berjaket merah yang mewahyukan bacaan masa depan dari pemilik-pemilik bank.

2.

Syed Hussein Alatas dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun memperincikan 1 bab khas untuk menerangkan senario yang sedang kita semua hadapi kini. Bab itu bertajuk /Bebalisme/. Menurut Alatas, /Bebalisme/ didefinisikan sebagai penampilan kolektif.

{Mereka merasakan memiliki kekuatan dan mempengaruhi rakyat, membangkitkan sentimen rasa takut, keseganan, pemujaan dan sebagainya}

Tom Rogan di CNN menyatakan kejayaan sebenar Donald Trump ialah dengan membangkitkan sentimen takut sebagai identiti politiknya. Dia menjadikan dirinya calon kepada rakyat yang merasa kecewa, dalam masa yang sama meletakkan Clinton sebagai wakil calon dari status quo. Walaupun penyokongnya datang dari parti Republikan, Trump juga berjaya mempergunakan rasa takut ini untuk memperoleh undi dari penyokong independen, seperti dilakukannya di ‘swing states’ seperti Florida dan Ohio.

Trump seterusnya berjihad dengan menggunakan slogan yang berbunyi ‘Make America Great Again’. Jadi kolektif yang ‘marah’ ini terpengaruh dengan jihad yang menayangkan sistem yang bobrok kesan daripada globalisasi.

Alatas kemudian menyambung definisi konsep /Bebalisme/ ini;

{Oleh sebab orang-orang bebal tidak mempunyai daya antisipasi, biasanya mereka hanya bertindak balas terhadap peristiwa selepas kejadian – mereka akan membuka payung hanya sesudah hujan membasahi tubuhnya. Sikap ini amat merugikan dalam pentadbiran dan rancangan pemerintahan}

3.

Alatas meneruskan perincian dengan menyatakan /Bebalisme/ tidak mempunyai kecintaan kepada hujah yang tertib dan rasional serta tidak memberi penghargaan kepadanya.

{Kalaupun orang-orang bebal berperilaku secara rasional, itu dipaksa oleh kebiasaan, bukannya tinjauan rasional tetapi ditanamkan pada mereka melalui ritual keagamaan atau kekuatan luar}

{Bebalisme tidak mempunyai kemampuan untuk menilai masalah secara kontekstual, mendalam dan secara berterusan – dia tidak dapat melihat hutan kerana pohon-pohonnya}

Karen Tumulty daripada Washington Post menyatakan; pengundi yang gementar dengan keadaan ekonomi, percaya sistem dibina untuk menekan mereka, takut terhadap terorisme dan marah dengan jurang miskin-kaya, semuanya melihat Trump sebagai penyelamat mereka. Di dalam diri Trump menurut mereka, jagoan yang tidak takut untuk membina semula kaum kulit putih sebagai Amerika yang tak terkalahkan.

Trump bahkan membina kelompok misionaris kulit putih dengan jihadnya melalui kempen anti-gender, anti-bangsa dan anti-agama. Trump melabel pendatang Mexico sebagai perogol dan pembunuh, beliau berjanji untuk menghantar semua pendatang pulang dan membina tembok di sepanjang sempadan untuk mengelakkan mereka memasuki Amerika. Dia juga bahkan melabel Muslim sebagai teroris yang perlu dideportasi keluar dari Amerika.

{Selain itu, tidak menghormati ilmu pengetahuan dan pandangan ilmiah juga merupakan ciri utama /bebalisme/}

{Pelaku /bebalisme/ tidak merasa malu dengan kesalahan yang dilakukan disebabkan kebodohannya dan tidak takut dengan kekurangan intelektualnya}

Terbukti, 75% pengundi kelompok yang mengundi Trump ini, adalah kaum kulit putih yang tidak mempunyai pendidikan tinggi.

4.

Lebih penting untuk difahami, Alatas menegaskan /bebalisme/ bukanlah ideologi.

{/Bebalisme/ bukan merupakan ideologi, sistem kebudayaan, kepercayaan atau falsafah, melainkan sikap berfikir yang lesu, tidak berfikir, tidak terpengaruh oleh logik, kadangkala kasar, tidak estetik, acuh tidak acuh, lekas percaya, tidak ilmiah, tidak suka mengawas diri, berorientasi sepotong-sepotong, tanpa arah, pasif, tidak berdaya cipta dan tanpa tujuan akhir yang diikrarkan dengan sedar}

Dihujung bab ini Alatas menegaskan;

{/Bebalisme/ merupakan parasit dalam fikiran dan tidak mempunyai pendukung, pembela dan tidak menuntut sesuatu}

Walaupun kelihatannya dunia semakin maju dengan misi penerokaan Marikh serta pelbagai perlumbaan dan penerokaan ke angkasa lepas, namun kehadiran iPhone 7 dan Facebook telah menyebabkan topeng-topeng bangang dan baju-baju badut yang dipakai oleh kaum kulit putih ini tertanggal.

Setelah Brexit dan kini, Donald Trump sebagai Presiden Amerika, kesombongan Barat dipecahkan oleh kebodohan mereka sendiri. Mereka kini telanjang menayangkan kemaluan mereka di hadapan warga dunia menyesali kebangangan mereka sendiri, persis seperti kata Alatas kepada kaum yang hanya membuka payung sesudah badan mereka dibasahi hujan.

Kebangkitan kaum bebal ini sebenarnya menakutkan. Setelah melanda Eropah melalui gerakan-gerakan ‘far-right’, kini ia melanda benua Amerika dan tak mustahil fahaman jihadis ala-Trump ini juga boleh menjangkiti warga kita yang berada di kepulauan Melayu ini (atau mungkin sedang mengumpul kekuatannya kini).

Cabaran setelah lahirnya kebangkitan kaum bebal ini ialah, revolusi kaum pandir dan berseleraknya kaum pandir pula akan menyebabkan wujudnya panggilan; ‘Kaum bebal, bersatulah!”

5.

Aku berdiri melihat hujan di hadapan kami. Kami perlu melintas di bawah curahan hujan musim monsun untuk terus ke stesen tren Bangsar di hadapan. Di kiri kelihatan penjual goreng pisang dan makanan segera berlindung dari tempias sambil memastikan makanannya ditutupi plastik.

Saat dia menarik lenganku untuk melintas baru aku tersedar. Dan kami berlari anak menuju kawasan beratap.

{Dunia yang kita huni semakin pelik} ujarnya ketika tangannya sibuk menekan mesin membeli tiket automatik.

{Manusia yang semakin pelik}

{Ah ya, kamu memang gemar protes!}

{Jumpa lagi ya, selamat terbang 18 jam dan semoga selamat sampai!}

Aku melepaskannya sambil tersenyum dan melihat tren berlalu pergi melawan hujan di atas rel. Di dalam kereta, sayup terdengar lirik Silverchair berjudul Tuna In The Brine;

{So take another pill and tell another lie And lie amongst your lies like tuna in the brine}


 
 
 

Comentarios


© 2014 - 2017 Hak Cipta Terpelihara Thukul Cetak                                                                                                                Penerbitan Independen, Radikal & Progresif

 

 

 

 

bottom of page